JANGAN JADIKAN IBADAH ALAT KAUT KEUNTUNGAN

JANGAN JADIKAN IBADAH ALAT KAUT KEUNTUNGAN

PUTRAJAYA — Semua pengendali perkhidmatan umrah diingatkan supaya sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan, bukannya menjadikan ibadah suci itu sebagai alat untuk mengaut keuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang mengingatkan demikian berkata, mengaut keuntungan melalui ibadah adalah perbuatan hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.

Justeru beliau memberi amaran, individu kumpulan atau syarikat yang terbabit dalam penipuan perkhidmatan umrah akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas tanpa sebarang kompromi.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri dengan tindakan yang melanggar undang-undang itu. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media berhubung penipuan perkhidmatan umrah yang membabitkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarga secara tidak sah dan tidak bermoral dalam bahan promosi.

Mohd Na’im berkata, perbuatan itu memperdaya ramai umat Islam yang berniat menunaikan ibadah umrah dengan ikhlas.

“Saya ingin merakamkan simpati dan solidariti kepada semua mangsa penipuan itu. Menipu dalam urusan ibadah adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, terhadap amanah umat Islam dan terhadap nilai kemanusiaan.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama saya ingin menyampaikan peringatan, nasihat serta amaran keras kepada semua pihak.

“Semak sebelum bayar. Agensi umrah perlu dipastikan berdaftar dan sah di sisi undang-undang dengan merujuk laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pengesahan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya jangan tertipu dengan media sosial atau mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih.

“Seterusnya mangsa atau saksi penipuan hendaklah segera membuat laporan kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu jangan membiarkan penipu terus bebas menipu orang lain,” katanya.

Beliau berkata, menipu atas nama agama adalah jenayah berat dan Allah SWT melarang sekeras-kerasnya perbuatan itu.

“Semoga Allah SWT memelihara kita daripada fitnah manusia yang zalim dan semoga semua mangsa diberikan pembelaan serta keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Sumber: bebasnews.my/

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019392
Hari ini: 242
Minggu Ini: 1,987
Bulan Ini: 4,533
Tahun Ini: 19,392
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.