JABAL QUBAIS SAKSI KEBANGKITAN ISLAM

JABAL QUBAIS SAKSI KEBANGKITAN ISLAM

Jabal Abi Qubais atau Jabal Qubais adalah sebuah gunung atau bukit di sebelah timur Mekah yang letaknya dekat dengan Masjidil Haram. Bukit ini berhadapan dengan Jabal Quayqian. Jabal Abi Qubais disebut dalam as-Sirah an-Nabawiyah (buku pertama tentang sejarah Nabi s.a.w) sebagai tempat yang biasa diziarahi orang-orang di masa Jahiliah.

Di zaman Islam, Jabal Qubais ini hanya disebut dalam hubungannya dengan penduduk Mekah, termasuk Abu Quhafah (ayah Abu Bakar As-Siddiq), yang naik ke bukit ini dan tempat-tempat ketinggian lainnya untuk menonton dan menyaksikan pasukan Islam yang memasuki Mekah pada hari penaklukan Mekah. Dalam al-Munjid (penolong) karangan Louis Ma’luf disebutkan bahawa Jabal Abi Qubais pernah dijadikan tempat pelontaran manjaniq (alat pelontar batu dalam peperangan) oleh Hasin bin Numayr untuk ditembakkan ke pasukan Abdullah bin Zubair yang bertahan di Kaa’bah. Tembakan dengan manjaniq ini menyebabakan terbakarnya tirai atau kiswah Kaa’bah.

Cerita-cerita yang disebutkan dalam as-Sirah an-Nabawiyah  dan Hayat Muhammad (Kehidupan Nabi s.a.w) oleh Dr. Heikal mengenai Jabal Abu Qubais pada umumnya dihubungkan dengan riwayat Muhammad s.a.w sebelum diangkat menjadi rasul. Disebutkan pula, bahawa nama bukit itu diambil dari nama seorang penduduk dari Bani Jurhum, iaitu Qubais bin Syalikh, yang tewas di atas jabal (gunung) itu.

Dalam hubungannya dengan Nabi s.a.w, disebutkan bahawa ia pernah dibawa oleh datuknya Abdul Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa meminta hujan. Nabi s.a.w masa itu masih kecil dan Mekah dilanda kemarau panjang.

Seorang wanita, Raqiqah binti Abi Saifi bin Hasyim, dalam tidurnya bermimpi mendengar suara yang mengatakan bahawa dari kaum Quraisy akan muncul seorang Nabi. Suara dalam mimpi itu juga memberinya petunjuk bagaimana cara meminta hujan agar dikabulkan Tuhan, iaitu penduduk harus meminta pemimpin mereka (Abdul Mutalib) agar membawa cucunya dan beberapa orang penduduk untuk berdoa bersama-sama. Terlebih dahulu mereka harus bersuci, mencium Hajar Aswad (batu hitam pada Kaa’bah) dan bertawaf sebanyak tujuh kali.

Peristiwa lain yang dihubungkan dengan Jabal Qubais adalah peristiwa Hilf al-Fudul. Seorang pemuda dari Bani Zubaid dizalimi oleh Asif bin Wail, bangsawan Mekah, yang tidak mahu membayar harga barang dagangan yang dibawa pemuda itu. Orang ini mendatangi beberapa pemuda Quraisy untuk  meminta pertolongan tetapi tidak ada seorang pun yang bersedia menolongnya. Kerana kecewa, keesokan paginya ia naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan meneriakkan keluhannya bahawa ia dizalimi dan berharap ada orang yang boleh menolongnya menghadapi orang yang menzaliminya. Seruan orang itu disambut oleh Zubair bin Abdul Mutallib, bapa saudara Nabi s.a.w. Ia lalu memanggil tokoh-tokoh Bani Hasyim dan mengadakan rapat di rumah Ibnu Jud’an yang membuahkan perjanjian Hilf al-fudul yang bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap Asif bin Wail, sehingga ia membayar harga barang yang dibelinya daripada orang yang mengadu itu.

Jabal Abu Qubais juga muncul dalam mimpi Atiqah binti Abdul Mutalib di mekah, tiga hari sebelum Perang badar. Ia bermimpi melihat seorang penunggang unta datang ke mekah, kemudian masuk ke Masjidilharam dengan diikuti orang ramai dan naik ke atas Kaa’bah serta berteriak memperingatkan penduduk akan datangnya bencana tiga hari kemudian. Dari sana, ia turun dan naik ke Jabal Abu Qubais. Di puncak bukit ini ia kembali memperingatkan orang ramai akan datangnya musibah. Setelah itu, ia mengambil batu besar dan melemparkannya. Setelah sampai ke bawah Jabal abu Qubais, batu itu terpecah-pecah menjadi pecahan kecil yang bergerak memasuki semua rumah di mekah.

Sewaktu Nabi s.a.w melaksanakan umrah qada (Haji) setahun setelah perjanjian Hudaibiah, penduduk Mekah banyak yang naik ke Jabal Abu Qubais dan tempat-tempat ketinggian yang lainnya untuk menyaksikan Nabi s.a.w dan sekitar dua ribu orang pengikutnya melaksanakan umrah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017894
Hari ini: 146
Minggu Ini: 489
Bulan Ini: 3,035
Tahun Ini: 17,894
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.