PAK LAH MENGAJAR ERTI KEMANUSIAAN DALAM KEPEMIMPINAN

PAK LAH MENGAJAR ERTI KEMANUSIAAN DALAM KEPEMIMPINAN

KUALA LUMPUR — Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah insan yang mengajar erti kemanusiaan dalam kepemimpinan, memimpin negara dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

Perdana Menteri Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika beliau sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, Perdana Menteri kelima dikenali sebagai Pak Lah itu tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista.

“Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya dalam satu kenyataan di sini susulan kenyataan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin mengesahkan Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara di sini, pukul 7.10 malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Abdullah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.

“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.

“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah menjadi seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia. Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai,” katanya.

Anwar berkata, di bawah kepemimpinan Abdullah, negara juga menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Anwar berkata berita pemergian Pak Lah juga menyentak jiwanya sebagai seorang sahabat.

“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam,” katanya.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Jeanne, Khairy Jamaluddin dan keluarga besar Pak Lah.

“Saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Selamat jalan, Pak Lah.

“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya.

Sumber: bebasnews.my/

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016840
Hari ini: 275
Minggu Ini: 1,645
Bulan Ini: 1,981
Tahun Ini: 16,840
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.