ULAMA DAN UMARA SALING MENGINGATI

ULAMA DAN UMARA SALING MENGINGATI

Sebenarnya masalah negara adalah juga masalah ulama. Kenyataan itu bukan menunjukkan bahawa adanya sebilangan ulama kita menggunakan ilmu yang ada padanya mempengaruhi orang ramai supaya menentang kerajaan, tetapi bertujuan agar umat Islam berfikir secara matang dan positif dalam melakukan sesuatu tindakan yang boleh melemahkan pentadbiran dan kepimpinan negara.

Di negara ini ulama memberi khidmat cemerlang sesuai dengan dasar yang ada. Kerjasama dan gandingan antara keduanya telah dan sedang berjalan dengan baik. Di antara ulama dan umara seharusnya saling nasihat dan ingat mengingati.

Ulama-ulama yang berwibawa bersedia memberi teguran dan nasihat yang bertolak daripada perasaan kasih sayang. Manakala pemerintah yang berwibawa pula menerima segala nasihat yang diberi dengan lapang dada. Ini bermakna kedua-dua pihak harus menyedari bahawa peranan dan kegiatan mereka tidak mungkin berkesan dan membuahkan hasil yang memuaskan masyarakat tanpa pertolongan pihak yang lain.

Lebih jauh lagi usaha itu bukan terhad kepada ulama atau umara kerana hakikat sebenar sebagai umat Islam sama ada seorang ulama ataupun penguasa, masing-masing bertanggungjawab untuk menyelamatkan umat Islam sejagat.

Adalah amat dukacita sekiranya berlaku dalam negara kita di mana ulama berada di satu haluan dan umara pula di haluan lain dalam usaha membangun umat Islam. Adalah tidak patut juga berlaku di mana umara hanya sering mencari kesalahan-kesalahan ulama dan ulama pula mencari kelemahan-kelemahan pemerintah sehingga yang bermanfaat pun menjadi tidak betul.

Lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang diduduki pelbagai kaum dan agama. Jika pemimpin beragama Islam yang sedia ada 'digulingkan', belum tentu pemimpin Islam yang lain dapat menjalankan pentadbiran dan perancangan pembangunan dengan lebih baik dan berkesan.

Paling dibimbangi kemungkinan kuasa ketiga yang bukan daripada golongan Islam akan beroleh kesempatan dan 'keuntungan' dari perpecahan itu. Memang tidak dapat dinafikan, masih banyak lagi soal keislaman belum dilaksanakan dengan sempurna. Perkara ini berlaku di negara ini dan negara-negara lain juga. Disinilah letaknya peranan ulama yang ahli dalam bidangnya berusaha untuk menyerapkan nilai-nilai ajaran Islam di kalangan mereka.

Kita mahu ulama dan umara lebih aktif dan bekerja keras bagi menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan dengan agama Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana, ertinya tidak secara emosi dan gopoh-gapah, tetapi dengan menggunakan akal dan tidak dengan perasaan, kerana musuh Islam sentiasa mengintai kelemahan kita. Sekiranya perkara ini tidak diawasi dan tidak diperhitungkan, maka yang rugi adalah seluruh umat Islam dan pimpinan negara.

Justeru itu persefahaman di antara ulama dan umara amat penting supaya tidak timbul jurang yang boleh membawa kepada perselisihan faham. Persefahaman itu hendaklah diasaskan di atas nilai-nilai makruf yang disepakati sepanjang zaman sebagai kebaikan oleh seluruh umat manusia.

Sekiranya persefahaman tidak dapat di wujudkan di antara penguasa dengan ulama, maka akan timbul suasana yang tidak tenteram dan harmoni. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: Dua golongan di kalangan umatku apabila mereka bersikap baik maka baik umat seluruhnya, dan apabila mereka buruk maka buruklah seluruhnya, iaitu golongan umara (pemimpin-pemimpin) dan golongan ulama (ahli-ahli cerdik pandai).

Peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku di negara-negara Islam yang lain, seperti di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Yaman Selatan, Libya dan sebagainya patut dijadikan teladan. Di negara tersebut dikatakan tidak ada kesepakatan para ulama dalam menyatukan bangsa mereka.

Masing-masing lebih mementingkan puak dan suku daripada memikirkan kepentingan ummah seluruhnya. Tuduhan ke atas ulama yang mendampingi kerajaan sebagai ulama fasiq amat tidak berasas kerana persoalan inilah yang kadangkala menjadikan ulama sentiasa dalam keadaan amat sulit dan serba salah. Sedangkan Islam sendiri tidak mengharamkan ulama berpolitik.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017943
Hari ini: 195
Minggu Ini: 538
Bulan Ini: 3,084
Tahun Ini: 17,943
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.