TEKS UCAPAN
YB SENATOR DATO’ SETIA
DR. HAJI MOHD NA'IM BIN HAJI MOKHTAR
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH
MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H/2025M
TARIKH:
2 MEI 2025 / 4 ZULKAEDAH 1446H (JUMAAT)
TEMPAT:
DEWAN WAWASAN 2020, KANGAR, PERLIS
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saya mulai dengan membaca satu Firman Allah SWT dalam Surah Al Israk ayat 9,
Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (Agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun di bumi bertuah Negeri Perlis, dalam suasana penuh keberkatan dan kemuliaan, bagi Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijri bersamaan 2025 Masihi.
Penganjuran tahun ini begitu istimewa sekali kerana dianjurkan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis.
Bagi pihak penganjur, patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas 25 tahun pemerintahan yang penuh berkat, berlandaskan kebijaksanaan, keadilan dan kasih sayang. Di bawah teduhan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Perlis terus meniti kemajuan dalam suasana harmoni dan berdaya saing.
Selain itu, majlis ini begitu siginifkan dengan usaha kerajaan yang berterusan dalam membangunkan ummah dan melahirkan generasi al-Falah yang benar-benar menghayati Al Quran seterusnya menjadi kayu ukur kepada manifestasi Islam mekar dibumi Malaysia yang tercinta ini.
Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan sekalung penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis yang menjadi tuan rumah bagi majlis edisi tahun ini dan juga kepada seluruh jawatankuasa, para pegawai, petugas urusetia, pasukan keselamatan dan semua yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan penganjuran ini. Sesungguhnya kejayaan majlis ini adalah hasil kerjasama, pengorbanan dan komitmen semua pihak.
Al-Quran adalah mukjizat yang tidak mampu ditandingi oleh manusia sejak hari pertama diturunkan hingga hari terakhir menjelang kiamat. Al-Quran yang mengandungi 30 juzuk, 114 surah adalah rahmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada umat manusia.
Jika diamati dengan penuh insaf, keseluruhan ayat Al-Quran menghadirkan taufiq dan hidayah daripada Allah kepada manusia melalui cara membaca, mendengar, mentafsir dan mentadabbur Al-Quran.
Dalam satu anekdot yang masyhur, Saidina Umar Al-Khatab sebelum Islam telah keluar dari rumahnya bertekad untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan seorang lelaki yang bertanyakan tujuannya. Lelaki itu berkata, “Tidak usah kamu bunuh Muhammad kerana adikmu sendiri telah mengikuti ajaran Muhammad”.
Tersentak mendengar jawapan itu, Saidina Umar terus mencari adiknya, Fatimah dan mendapati dia bersama suaminya sedang membaca lembaran Al-Quran dari surah Taha ayat satu hingga enam.
Gementar jiwa Saidina Umar mendengarnya, segala keegoan dan kejahilan telah musnah, muncul taufiq dan hidayah ke dalam hati lalu Saidina Umar melafazkan syahadah dihadapan baginda Nabi SAW. Maka benarlah janji Allah SWT dalam Al-Quran Al Israk ayat 82 yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan daripada Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidak menambah orang-orang zalim melainkan kerugian”
Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
Majlis Tilawah dan Hafazan AlQuran Peringkat Kebangsaan tahun ini telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan seramai 109 orang peserta daripada seluruh negeri dan lebih membanggakan apabila penglibatan golongan belia sebagai peserta begitu memberangsangkan.
Bagi kategori hafazan, ada 4 orang peserta termuda yang berumur 14 dan 15 tahun iaitu peserta dari negeri Perlis, Melaka, Perak dan Kelantan. Manakala bagi kategori tilawah, peserta termuda berumur 18 tahun dari Wilayah Persekutuan. Alhamdulillah, sesungguhnya penyertaan ini adalah salah satu bukti bahawa Alquran begitu subur dijiwa generasi muda.
Majlis tahun ini juga telah melakukan anjakan paradigma dan pembaharuan dari aspek format. Bagi kategori tilawah, para peserta akan dimaklumkan mengenai jenis tarannum wajib yang perlu dipersembahkan pada jam 3.00 petang pada hari bacaan, berbanding jam 9.00 pagi seperti diamalkan sebelum ini.
Bagi kategori hafazan pula, peserta akan membaca 9 hingga 10 baris ayat dalam tempoh 2 minit tanpa disebut nombor ayat, nama surah, juzuk dan muka surat oleh Hakim Fatih.
Perubahan format ini untuk memberi cabaran kepada para peserta dan mencari peserta terbaik antara yang terbaik sekaligus akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Selain itu, JAKIM juga telah melakukan penambahbaikkan kepada sistem penghakiman dengan menggunakan sistem eMTHQ yang lebih sistematik dan cekap. Disamping itu, para jemaah hakim telah menandatangani Perakuan Perjanjian Integriti sebagai menzahirkan komitmen dalam memastikan penghakiman dilakukan dengan adil dan penuh integriti.
Secara keseluruhannya, Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan ini diharapkan akan terus berkembang dari segi kualiti tetapi juga sebagai satu medium untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan Al Quran kepada masyarakat.
Tidak sedikit manfaat yang diperoleh daripada majlis ini untuk memperkukuhkan persaudaraan Islam, serta menanam kecintaan terhadap Al Quran kepada generasi MADANI.
Saya sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak kerajaan negeri Perlis atas kerjasama erat yang diberikan. Sesungguhnya kerjasama ini merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta memperkasa agenda pembangunan generasi Al-Falah yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI seperti yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri.
Demikianlah sembah ucapan patik. Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat ke majlis pada malam ini.
Semoga dengan limpah rahmat Allah SWT, Duli-Duli Tuanku terus dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam kebahagiaan serta kesejahteraan selama-lamanya.
Sekian.
Menjunjung Kasih Tuanku
Ampun Tuanku.
