Bolehkah kita berniaga dengan Allah SWT? Sebenarnya ramai manusia berniaga dengan Allah, tetapi jenis perniagaannya yang salah. Kebanyakan orang inginkan agama untuk memperbaiki dunia mereka. Ramai yang solat dan mendekatkan diri dengan Allah demi barakat. Sedangkan barakat itu bonus tetapi tidak sepatutnya menjadi matlamat utama.
Tijarah atau jual-beli yang benar, tijarah yang betul dengan Allah terdapat di dalam Al-Quran. Kini manusia mahukan agama untuk memperbaiki kehidupan dunia, demi kekayaan dan kesenangan, manakala sahabat mengorbankan dunia untuk mencapai Deen mereka. Ia adalah satu perbezaan yang besar.
AllahnSWTnberfirmanntentangnjenis tijarah yang betul;
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adnin". Itulah kemenangan yang besar.”-(Surah As-Saff, Ayat 10-12)
Betapa indahnya janji Allah SWT, dengan memberi keampunan kepada semua dosa-dosa mereka yang berkorban. Kemudian Allah juga menjanjikan kemenangan di dalam hidup ini. Di saat ini, seperti yang sedang berlaku di Gaza, contohnya, semua orang mencari Nusra dan kejayaan daripada Allah SWT. Tetapi Allah telah pun mengajar orang-orang beriman bagaimana untuk capai kemenangan ini. Setiap kita perlu berkorban. Jiwa, harta, masa, tenaga demi menegakkan agama Allah.
Namun masih ramai yang tidak bersedia untuk berkorban demi Allah. Kerana sayangnya, nilai agama ini tidaklah setinggi mana dalam hati kita. Nilai dunia, wang, harta, rumah besar, kereta baharu, lebih disayangi. Kita sanggup bekerja keras dan menabung demi Mercedes atau BMW terbaharu. Dan kita akan marah jika sesiapa mencalarkan atau merosakkan kereta kita itu. Mengapa? Kerana kita telah mengorbankan segala-galanya untuk kereta itu. Maka nilai kereta itu terpahat di hati.
Tetapi cuba bandingkan apa yang telah kita korbankan untuk agama Islam? Sangat sedikit, jika dibandingkan dengan pengorbanan para sahabat untuk agama ini. Itu bezanya kita dengan mereka. Itulah perubahan di dalam hati dan minda yang sepatutnya berlaku.
“Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan diantara kamu ada orang yang menghendaki akhirat.”- (Surah Ali Imran, Ayat 152)
Maka berusahalah kita untuk menjadi dari kalangan orang akhirat.
Ibnu Athaillah berkata terdapat 2 jenis orang. Seseorang yang bangun pada waktu pagi dan dia berkata, “Apa yang akan aku lakukan hari ini?” Kerana dia memikirkan dirinya sendiri. Yang kedua akan bangun pagi dan bertanya “Apa yang Allah akan lakukan denganku hari ini?” Itu bezanya antara orang dunia dan orang akhirat.
Orang kedua yang mutawakkil, dia akan bangun dengan gembira. Dia akan berjaya sepanjang hari hingga dia tidur. Tetapi yang mengejar dunia, dia akan bangun dan menghadapi masalah, dan kemungkinan akan mengalami hari yang paling teruk dalam hidupnya. Kerana Allah jualah yang berkuasa atas segalanya. Jadi berurusanlah dengan Allah, dan jangan risau dengan mulut manusia lain. Kerana jika mengejar kesenangan di mata orang, nescaya akan terperangkap dengan urusan dunia.
Kesenangan orang lain adalah sesuatu yang tidak boleh dicapai. Namun keredhaan Allah adalah sesuatu yang tidak boleh ditinggalkan. Justeru utamakan Allah SWT sentiasa di dunia ini.
