BUDAYA KERJA CEMERLANG

BUDAYA KERJA CEMERLANG

APABILA bercakap mengenai budaya kerja cemerlang, dengan begitu cepat kita akan membuat penilaian mengenai hasil kerja atau produk yang kita keluarkan. Ia mempunyai ukuran nilai berdasarkan perspektif kualiti atau sejauh manakah hasil keluaran atau produktiviti itu mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan kita. Pelangganlah yang akan menilai sama ada hasil kerja itu berkualiti atau tidak berdasarkan perspektif keperluan mereka.

Pengurusan Islam meletakkan aspek nilai, moral dan kesucian kerana itulah Allah s.w.t menjanjikan bahawa setiap orang akan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya dan akan diadili suatu ketika nanti, iaitu setelah berada di alam kematian nanti. Setiap anggota akan menjadi saksi apa yang dilakukannya sepanjang memegang amanah dan tanggungjawab sama ada sebagai pengurus, pengusaha, pekerja ataupun pelanggan semasa hayatnya.

Kerana itu, modal insan yang berkualiti, dalam perspektif pengurusan Islam merujuk kepada pembangunan pekerja yang mempunyai nilai dan ciri-ciri yang baik, seperti berakhlak, bersopan, berkemahiran tinggi, berpengetahuan dan produktif

Formula Islam dalam pembangunan modal insan ialah dalam kerangka akidah, syariah dan akhlak, di mana pembangunan modal insan digerakkan dari dalam, menekankan nilai-nilai spiritual berbanding pengurusan konvensional yang melihat dari sudut fizikal.

Kekuatan rohanilah telah menentukan kelahiran sebuah peradaban yang cemerlang, proaktif dan berkeupayaan menyumbang. Mereka yang terdorong oleh kejernihan rohani inilah yang mampu menggerakkan disiplin diri yang tinggi dan berkesan, menjadi lebih bertanggungjawab dan seterusnya menganggap pekerjaannya itu sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan seimbang, teratur dan dinamik.

Kecemerlangan organisasi berkait rapat dengan kualiti pengurusan modal insan. Organisasi yang cemerlang memberikan ruang dan peluang yang lebih fleksibel dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, kerana manusia merupakan sumber yang memerlukan dorongan, perhatian dan sentuhan emosi.

Budaya kerja cemerlang yang disarankan dalam perspektif pengurusan Islam ialah budaya kerja murni dan berkualiti. Ukuran kualiti dalam konteks ini ialah nilai akhlak, tingkahlaku dan juga kepakaran dan kemahiran para pekerja.Dalam hal ini para pekerja, dari pihak pengurusan atasan hinggalah mereka yang diberikan tanggungjawab mengendalikan operasi, sentiasa bersedia untuk menyumbang dan meningkatkan produktiviti demi mencapai al-falah.

Semangat bekerja dan berusaha meningkatkan kualiti adalah selaras dengan firman Allah s.w.t: "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka itu sendiri mengubahnya."

Asas akhlak yang tinggi itu adalah hakikat utama kenapa Islam diturunkan kepada manusia menerusi perantaraan Nabi Muhammad s.a.w. Masyarakat sebelum Islam dianggap sebagai jahiliyah kerana tidak menilai kedudukan akhlak sebagai asas peradaban dan tamadun, malah kelunturan moral seperti mementingkan kabilah, menanam bayi perempuan, melakukan penipuan dalam perniagaan, dan sebagainya membuktikan tidak adanya penyatuan dari segi hakikat dan iktikad. Menurut seorang penyair Arab bernama Syauqi Bey, suatu bangsa dikenali kerana akhlaknya (budi pekertinga). Jika akhlaknya telah runtuh, maka runtuh pulalah bangsa itu

Perspektif budaya kerja cemerlang manusia perlu dilihat dari usaha menegakkan kebenaran dan menyingkirkan sebarang bentuk amalan mungkar, kerana kita sebenarnya diberikan dua pilihan: jalan yang sesungguhnya diredhai oleh Allah s.w.t bagi memperoleh al-fallah ataupun jalan kedua, keuntungan material untuk diri sendiri (atau kelompok kecil) tetapi menghancurkan manusia lain. Inilah nilai dan budaya yang perlu kita jadikan pedoman, kerana sebenarnya apa yang kita lakukan sepanjang hidup ini adalah bekalan untuk kita menuju ke akhirat, yang lebih kekal dan abadi.

Dalam menuju destinasi tersebut, tidak bermakna kita perlu meninggalkan hakikat bekerja untuk hidup. Kita harus memahami pendekatan yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w bahawa bekerjalah kamu seolah-olah kamu tidak akan mati selama-lamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokannya. Inilah perimbangan yang perlu ada dalam setiap muslim, kerana itulah melaksanakan tanggungjawab (iaitu bekerja) adalah juga disamakan sebagai bentuk ibadat. Maka, untuk melaksanakan tanggungjawab beribadat, kita perlu membersihkan diri dari prasangka buruk, termasuk menganggap pekerjaan itu sebagai beban dan terpaksa. Keikhlasan melaksanakan tugas dan tanggungjawab, sebagaimana kita dikehendaki membuktikan keikhlasan dan keyakinan kita, rezeki adalah ditentukan oleh Allah s.w.t, tetapi rezeki tidak akan datang bergolek, kalau tidak kita pecahkan ruyungnya.

Islam menekankan peri pentingnya budaya kerja yang dikelilingi suasana persekitaran yang dapat membangkitkan semangat bagi mencapai kecemerlangan. Nabi Muhammad s.a.w mengajarkan kepada setiap Muslim agar apabila menghadap Allah s.w.t pada permulaan solat, sebelum membaca surah al-Fatihah, hendaklah mengucapkan kembali apa yang diajarkan-Nya untuk diucapkan, yang bermaksud: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku kesemuanya adalah untuk Allah, Pemelihara seluruh alam. Dengan membaca dan mengukuhkannya ke dalam hati setiap Muslim, diharap dapat mengarahkan segala aktiviti atau kerja bagi meraih keredhaan Ilahi.

Dari sini dapat dilihat bahawa kerja dalam pandangan Islam memiliki nilai ibadah. Bukankah manusia diciptakan oleh-Nya bertujuan menjadikan segala aktivitinya berkesudahan dan menjadi ibadah kepada-Nya? Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (surah al-Dzariyat: 56), dalam erti, segala aktivitinya berakhir sebagai ibadah kepada Allah s.w.t.

Jika demikian halnya, maka kerja harus disertai dengan keikhlasan, dan ini menjadikan kita tidak semata-mata mengharapkan ganjaran ‘di sini dan sekarang’ (duniawi), tetapi pandangan dan visinya harus melampaui batas-batas kekinian, iaitu kekal di akhirat sana. Dari sini, setiap pekerjaan hendaknya dihiasi dengan niat yang tulus, dan dimulai dengan bacaan basmalah untuk mengingatkan pelakunya (pekerja) tentang tujuan akhir yang diharapkan daripada kerjanya, serta menyedarkan dirinya akan anugerah Allah s.w.t yang menjadikannya mampu melaksanakan pekerjaan itu. Apabila hal ini dihayati, pasti kerja - sejak proses permulaan hingga pengakhirannya - akan selalu benar, bermanfaat, dan sesuai  atau dengan kata lain menjadi amal soleh.

Bertebaran ayat al-Quran dan hadis yang menuntut umat Islam agar bekerja dengan penuh kesungguhan. Dalam al-Quran, surah al-Anam ayat 135 dinyatakan: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yanga akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya."

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah senang apabila salah seorang di anatara kamu mengerjakan sesuatu pekerjaan, (apabila) dikerjakannya dengan baik (bersungguh-sungguh).

Al-Quran mengaitkan dengan erat antara waktu dengan kerja keras, antara lain melalui surah al-Asyr. Di sisi lain, istilah-istilah yang digunakannya adalah untuk menunjukkan bahawa waktu (masa) mengandung makna-makna yang sangat mendalam dalam memantapkan budaya kerja yang dicita-citakan.

Paling tidak, terdapat empat perkataan (kata ) yang digunakannya untuk merujuk kepada waktu. Pertama, asyr. Kata ini biasa diertikan dengan waktu menjelang terbenamnya matahari, dan diertikan pula sebagai masa secara mutlak. Kata asyr sendiri bermakna perasaan, seakan-akan masa harus digunakan untuk memerah fikiran dan tenaga, dan hal ini hendaknya dilakukan bila-bila sahaja dan sepanjang masa.

Waqt (waktu), digunakan dalam erti batas akhir kesempatan atau peluang untuk menyelesaikan suatu peristiwa. Oleh kerana itu, seringkali al-Quran menggunakannya dalam konteks kadar tertentu daripada satu masa, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya". (Surah an-Nisa, ayat 103)

Kata ini memberi kesan akan adanya pembahagian teknik tentang masa yang dialami (seperti saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, dan seterusnya), di samping perlunya adanya penyelesaian sesuatu dalam bahagian-bahagian tersebut, dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rezeki yang tidak diperoleh hari ini, masih dapat diharapkan lebih banyak pada esok hari tetapi waktu yang berlalu hari ini, tidak mungkin berlalu esok.

Pernyataan seorang Muslim dalam solat, yang bermaksud: hanya kepada-Mu kami beribadah, dalam kata jamak kami, menunjukkan bahawa Islam menitikberat semangat kerjasama dalam melaksanakan ibadah, termasuk dalam melaksanakan kerja. Itu sebabnya, solat berjemaah lebih diutamakan daripada solat bersendirian, dan itu pula sebabnya Nabi s.a.w selalu menganjurkan, bahkan mempraktikkan kerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang baginda lakukan.

Suatu ketika Nabi s.a.w bersama para sahabatnya berasa lapar, dan mereka sepakat makan bersama. Salah seorang di antara mereka berkata, Saya mencari kambing. Yang lain berkata, Saya yang menyembelihnya. Yang ketiga berkata, saya yang melapahnya. Yang keempat berkata, Saya yang memasaknya. Sedangkan Nabi s.a.w. bersabda, Saya yang mengumpulkan kayu bakarnya. Demikianlah budaya kerja dan semangat kerjasama yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049188
Hari ini: 110
Minggu Ini: 618
Bulan Ini: 4,650
Tahun Ini: 49,188
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.