Assalamualaikum, ustaz…
Ustaz ingat tak cerita ini? Suatu hari Saiyidina Ali bin Abi Talib bertarung dengan seorang lelaki Yahudi yang suka menghina Islam. Lelaki itu diserang bertubi-tubi sampai rebah ke tanah.
Waktu itu Saiyidina Ali tinggal hendak menusuk saja pedangnya ke tubuh si Yahudi itu untuk menamatkan riwayatnya. Tapi tiba-tiba… Puiiiihhh!! lelaki Yahudi itu meludah ke muka Syaidina Ali.
Apa yang berlaku seterusnya, ustaz? Daripada hendak menikam lelaki Yahudi itu, Saiyidina Ali terus membatalkannya. Lelaki Yahudi berasa pelik, lantas dia bertanya kenapa Saiyidina Ali tidak membunuhnya.
Jawab Saiyidina Ali "Memang tadi aku hendak membunuhmu kerana menghina Allah. Aku lakukannya kerana Allah. Tapi bila engkau meludah mukaku... maka andai aku membunuhmu bukanlah kerana Allah lagi, tapi kerana marah."
Ustaz, kata kuncinya, MARAH. Passwordnya, MENAHAN MARAH.
Ini ada satu lagi cerita `lejen.’ Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bertandang ke rumah Saiyidina Abu Bakar r.a, tiba-tiba datang seorang lelaki Badwi. Dia pergi menemui Saiyidina Abu Bakar dan memakinya dengan kata-kata kesat. Namun Saiyidina Abu Bakar tenang saja. Dia meneruskan perbincangan dengan Rasulullah. Melihat hal ini Rasulullah tersenyum.
Tidak lama kemudian, si Badwi itu datang lagi. Kali ini makiannya lebih kasar. Seperti tadi, Saiyidina Abu Bakar tidak menghiraukannya. Beliau tetap sabar dan biarkan lelaki tersebut menghinanya. Rasulullah terus tersenyum.
Semakin marahlah orang si Badwi ini. Untuk ketiga, dia mencerca Saiyidina Abu Bakar dengan cercaan yang lebih menyakitkan. Kali ini, Saiyidina Abu Bakar tak dapat menahan marahnya dan beliau memaki balik si Yahudi tadi.
Lalu terjadilah pertengkaran antara mereka. Melihat insiden itu, Rasulullah bangun dan terus bangkit lalu keluar tanpa mengucapkan salam. Saiyidina Abu Bakar tersedar dan menjadi bingung. Dia mengejar Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, janganlah engkau biarkan aku dalam kebingungan. Jika aku berbuat kesalahan, jelaskanlah apa kesalahanku”.
Ustaz tau kan apa jawapan Rasulullah?
Rasulullah menjawab: "Sewaktu lelaki Badwi itu mencela engkau, dan engkau tidak melayannya, aku tersenyum kerana banyak malaikat di sekelilingmu yang akan membelamu di hadapan Allah. Bila dia datang kali kedua dan mencelamu dan engkau tetap membiarkannya, maka jumlah para malaikat semakin bertambah. Oleh sebab itu, aku tersenyum kembali.
“Namun ketika yang ketiga dia mencelamu dan engkau membalasnya dengan celaan juga, maka seluruh malaikat pergi meninggalkanmu, lalu diganti dengan iblis yang datang mengelilingimu. Oleh kerana itu aku tidak ingin berdekatan dengannya dan aku tidak memberikan salam kepadanya."
Ustaz, itulah dua kisah MARAH dan MENAHAN MARAH.
Asyik-asyik marah dan menahan marah: Apa ceritanya? Ustaz, sekarang zaman marah-marah. Orang miskin marah, orang kaya pun marah. Orang tua, marah, orang muda lagilah marah. Marah pemimpin. Marah GST. Marah teksi. Marah peragut. Marah gangster. Marah polis. Marah Awang Hitam. Marah segala-galanya.
Apabila ahli politik marah, penyokong pun marah. Yang atas pagar marah, yang bawah pagar pun konon-konon marah. Yang kerjanya cucuk jarum, pantas mencucuk untuk bikin orang lagi marah. Hasilnya, semua orang marah.
Marah! Marah! Marah!
Ustaz, tak kiralah apa yang hendak dimarah, tapi hakikatnya kita semua sepatutnya kena bijak mengawal marah. Sebab, marah itu buruk, hasilnya pun buruk. Kalau pokoknya api, tak mungkin ia akan membuahkan air. Bukan begitu, ustaz?
Abu Said al-Khurdi berkata: Rasulullah pernah bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam."
Abu Hurairah al-Bahili pula memberitahu bahawa Rasulullah pernah berpesan: "Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat."
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata, "Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah; 'Nasihatilah aku!' Rasulullah bersabda, 'Janganlah kamu marah!' Orang itu berkali-kali meminta nasihat kepada Rasulullah, tetapi baginda tetap menjawabnya dengan berkata, 'Janganlah kamu marah'." (Riwayat Bukhari).
Ustaz, itu baru mukadimah: Tapi isi penting tulisan ini adalah untuk para ustaz sendiri. Sebab, sekarang ini ramai ustaz yang suka marah-marah dan gagal menahan marah. Ustaz suruh orang ikut sifat Rasulullah, tapi Ustaz sendiri tidak ikut sifat dan pesanan baginda.
Ustaz mesti sudah hafal kisah-kisah di atas tadi, kan? Begitu juga dengan firman dan hadis yang mengiringinya. Namun peliknya, kenapa kini ada ustaz-ustaz dan alim ulama yang bertindak sebaliknya?
Bukan itu saja, golongan yang berpakaian sunnah ini sampai ke tahap mencerca orang yang tidak sealiran. Mereka melabel orang lain dengan pelbagai gelaran keji dan mengaibkan.
Sebagai contoh, tidak lama dahulu ada seseorang yang berstatus ulama, tergamak menggelar ulama pro kerajaan sebagai `Syaitan bisu.’ Ada juga yang menggelar mufti sebagai `syaitan bercakap.’ Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula diejek sebagai ‘mufti poco-poco, mufti yoga, mufti haramsani.’
Mutakhir ini, kumpulan ustaz dan ulama yang sama menghamburkan pula kemarahan mereka dengan menggelar rakan-rakan sendiri yang berbeza pendekatan, dengan gelaran munafik, jebon, khawarij, pondan, gila, syaitan, broker, barua dan sebagainya. Malah ada yang mengejek-ejek dan membacakan doa agar rakan yang berbeza pandangan itu mendapat laknat.
Aduhai. Pelik bin ajaib. Mereka ini bergelar ustaz. Belajar sampai ke Asia Barat, ijazah pengajian Islam panjang berjela, ayat al-Quran di kelopak bibir, tetapi kenapa lidah mereka kesat?
Sudah lupakah mereka kepada hadis Rasulullah: “Memaki hamun orang Mukmin adalah fasik (dosa) dan memeranginya adalah kufur (keluar dari Islam).”(Riwayat Bukhari). Tapi kenapa mereka masih gagal mengawal marah dan gagal menjaga lidah?
Ustaz, orang beriman sepatutnya selalu memaafkan dan menjaga persaudaraan sesama Islam. Di dalam Al-Quran ada menjelaskan tentang hal ini, antaranya firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim” - (al-Hujuraat: 11)
Kenapa hendak menghina orang lain, sebab boleh jadi orang yang dihina itu, lebih baik daripada ustaz-ustaz orang yang menghina itu. Bukankah menghina orang lain itu adalah antara dosa-dosa besar, dan balasannya adalah neraka.
Ustaz, mana perginya pesanan Rasulullah supaya berdakwah dengan hikmah? Mana perginya ingatan supaya kita mengawal lidah? Mana hilangnya semangat bahawa kita semua saudara seagama?
Tentu ustaz tahu, Islam menganjurkan supaya umatnya hidup bersatu padu, aman damai dan saling hormat-menghormati. Islam amat melarang umatnya daripada berpecah belah, bermusuh-musuhan, tuduh-menuduh dan mencaci antara satu sama lain. Ini kerana berpecah belah akan menghilangkan kekuatan dan kekuasaan kita. Tapi, kenapa ada golongan ustaz bertindak sebaliknya?
Ilmu agama kami ini ciput-ciput saja, ustaz. Sebab itu kami memandang tinggi kepada status ustaz. Tambahan pula ramai ustaz yang sedang berjemaah dalam politik untuk menjadi pemimpin negara.
Tapi kalau beginilah sikap dan perangai ustaz, kami tidak dapat membayangkan kalau kelak suatu hari nanti ustaz benar-benar dapat menjadi penguasa negara! Adoiyai... memang teruklah rakyat yang tidak sealiran digelar munafik, syaitan, hantu pisang, hantu Mak Limah balik rumah dan sebagainya!
Wahai ustaz, sebagai penutup, mari kita renungi kisah ini:
Suatu hari seorang lelaki Badwi datang menghadap Rasulullah untuk meminta sesuatu. Nabi s.a.w. memberinya dan bersabda, “Aku berbuat baik kepadamu.” Badwi itu membalas, “Pemberianmu tidak baik padaku.”
Para sahabat rasa tersinggung, lalu mengugutnya dengan marah, namun Nabi memberi isyarat agar mereka bersabar. Kemudian Nabi pulang ke rumah dan kembali dengan membawa barang tambahan untuk diberikan kepada Badwi itu. Nabi bersabda kepadanya, “Aku berbuat baik padamu?”
Badwi itu menjawab, “Ya, semoga Allah membalas kebaikan tuan, keluarga dan kerabat.” Rasulullah s.a.w. memberitahu para sahabat, “Nah, kalau pada waktu Badwi itu berkata sekasar yang engkau dengar, kemudian engkau tidak bersabar dan engkau membunuhnya, maka dia pasti masuk neraka. Namun, kerana aku bimbing dengan baik, maka dia selamat.”
Badwi itu kemudian menjalankan pelbagai permintaan Rasulullah, malah turut menyertai medan jihad dan melaksanakan tugasnya dengan taat serta redha.
Ustaz, begitulah sepatutnya sikap pemimpin dan penguasa. Rasulullah adalah sebaik-baik contoh. Tapi kalau ustaz tidak berupaya mengawal marah, lebih baik diam dan jangan malukan nama baik golongan agama!
Ops… ustaz marah ke dengan tulisan ini?
