KORBANKAN SIFAT BURUK DALAM DIRI

KORBANKAN SIFAT BURUK DALAM DIRI

HARI Raya Korban berkait rapat dengan ibadah haji yang mana upacara-upacara ritualnya pula berkait rapat dengan Nabi Ibrahim a.s. Beliau adalah seorang Nabi yang sangat diagungkan oleh agama-agama samawi, kerana kesediaannya mengorbankan Ismail putera kesayangannya semata-mata kerana Allah SWT.

Ibadah korban memiliki sejarah yang panjang dalam semua tradisi manusia. Dalam konteks al-Quran, orang pertama melakukan korban adalah Habil dan Qabil sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 27. Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s. 

Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Korban adalah menyembelih haiwan, bukan manusia atau lainnya. Hal ini sebagai simbol pelanggaran yang dilakukan manusia sehingga ia jauh dari Allah SWT dan kerana ia telah mengikuti perilaku negatif binatang yang buas dan rakus, mengabaikan norma dan nilai manusia.

Peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Nabi Ibrahim di mana pada puncaknya dirayakan sebagai Aidiladha atau Hari Raya Korban. Ia mengingatkan bahawa apa yang dikorbankan bukan manusia, tetapi sifat-sifat kebinatangan yang ada dalam diri manusia seperti sifat sombong, tamak (rasuah), rakus, angkuh, gila kuasa, kedekut, menindas, zalim, hipokrit, munafik, bodoh dan jahil.

Kita harus ada stigma baru dalam diri kita semua bahawa pada ketika kita melihat haiwan korban untuk disembelih, tergambar dalam sanubari satu tekad untuk membunuh seluruh sifat bahimiyah (kebinatangan) atau haiwaniyah yang ada pada diri kita.

Kita bunuh seluruh sifat ego yang selama ini menutupi pintu hati kita. Sifat-sifat yang sedemikianlah yang harus dibunuh dan dijadikan korban demi mencapai qurban (kedekatan) diri kepada Allah SWT.

Di sini jelas bahawa korban adalah proses kembali mendekati Allah SWT atau yang lazim disebut dengan taubat. Taubat adalah bermaksud kembali kepada posisi asal kita, dekat dengan Allah. Orang yang jauh dengan Allah adalah orang yang mengingkari fitrahnya sendiri.

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa di sisi kebaikan manusia ada pula sisi gelapnya yang bersifat bahimiyah atau binatang buas, sifat ego, kebodohan dan sifat-sifat lainnya, yang menyebabkan manusia mengalami dehumanisasi (hilang rasa kemanusiaan). Sehingga manusia tidak mampu mencapai cahaya ilahiyah.

Sifat seperti inilah yang menjadikan mereka sering kali terperangkap dengan hawa nafsu yang jahat dan menjadikan mereka sukar memperolehi cahaya kebenaran.

Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal.

Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin.

Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah.

Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan-syaitan - menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya.

Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan-Nya.

Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. (Surah Al-Hajj ayat 37).

Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan untuk membuang sifat-sifat buruk yang ada dalam diri umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan.

Sikap itulah yang akan membezakannya dengan pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.

Dapatkah kita memperkuat takwa kita dengan pengorbanan yang kita lakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah haji? Tentu kita tidak ingin sekadar mendapat yang lahir saja daripada ibadah haji.

Justeru kita harus ingat bahawa korban yang kita lakukan pada hari-hari sekitar Aidiladha ini dengan menyembelih lembu atau kambing, hendaknya ia akan menambah lagi ketakwaan kita.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019374
Hari ini: 224
Minggu Ini: 1,969
Bulan Ini: 4,515
Tahun Ini: 19,374
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.