KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) MENJUNJUNG TITAH DYMM SULTAN SELANGOR : TANGANI PENIPUAN PAKEJ HAJI DENGAN KETEGASAN

Patik bagi pihak seluruh warga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan penuh takzim menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang telah menzahirkan kemurkaan serta kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan rakyat negeri Selangor, khususnya yang terkandas selepas menggunakan visa pelancong. Sesungguhnya, titah Tuanku memperlihatkan keprihatinan seorang Raja berjiwa rakyat yang sentiasa memelihara kebajikan umat Islam, lebih-lebih lagi dalam urusan ibadah yang semulia ini.

Patik menyokong sepenuhnya gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terbabit dalam penipuan ini. Perbuatan menipu atas nama agama dan ibadah haji adalah satu jenayah besar bukan sahaja dari sudut undang-undang, bahkan dari sudut syarak yang mempermainkan kesucian ibadah serta memperjudikan keselamatan jemaah.

Patik juga menghargai tindakan proaktif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyeru agar para mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa dan menasihatkan orang ramai agar hanya berurusan dengan ejen berlesen serta saluran rasmi seperti Tabung Haji.

Sehubungan itu, umat Islam diingatkan sekali lagi seperti sebelum ini agar:

1. Berwaspada terhadap tawaran pakej haji yang mencurigakan, terutamanya yang menggunakan visa pelancong;


2. Menyemak latar belakang syarikat atau ejen haji melalui saluran sah seperti Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC);


3. Melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur penipuan atau penyalahgunaan dalam urusan berkaitan ibadah haji.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Tabung Haji, PDRM, MOTAC dan semua Majlis Agama Islam Negeri bagi membanteras jenayah ini secara menyeluruh. Semoga segala usaha ini menjadi medan untuk kita mempertahankan kesucian ibadah haji dan memastikan umat Islam dapat menunaikannya dengan selamat, sah dan diberkati Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019389
Hari ini: 239
Minggu Ini: 1,984
Bulan Ini: 4,530
Tahun Ini: 19,389
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.