Dalam kesunyian malam, langit Gaza terbakar — bercahaya bukan kerana bintang, tetapi kerana jet-jet pejuang, peluru berpandu dan bom. Anak-anak Palestin tidur dalam ketakutan. Masjid runtuh, dan jenazah diselimuti debu.
Maka terdetik di dalam hati sesetengah orang mukmin, satu soalan yang bergema - “Mengapa Allah tidak tolong?”
Sebenarnya soalan ini bukan lahir dari kekufuran. Tapi dari kesedihan yang amat dalam. Ia timbul dari jiwa yang melihat kezaliman berleluasa, hingga minda mereka tertanya-tanya, di mana pertolongan Allah yang dijanjikan kepada mereka yang tertindas?
Apabila kita bertanya, “Kenapa Allah tidak membantu?” — itu bukanlah perbuatan syirik atau derhaka. Ia sebenarnya sebuah manifestasi suara iman yang kecewa dengan keadaan, bukan hati yang menolak. Kita tahu dan percaya bahawa Allah Maha Adil. Kita tahu Dia mendengar doa orang yang dizalimi. Namun kenapa masih ramai anak Palestin mati tanpa sempat berdosa? Kenapa doa ribuan umat Islam seperti tenggelam dalam langit yang diam?
Ketahuilah — bertanya bukan bermakna tidak percaya. Bahkan para Nabi pun pernah bertanya. Nabi Yaakub AS menangis kehilangan anak. Nabi Musa bertanya tentang kezaliman dalam perjalanan bersama Khidir. Allah tidak marah pada soalan yang jujur. Allah mengajar kita — agar bertanya, merenung, dan mencari hikmah.
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.'...”
(Surah Al-Baqarah: 260)
Ayat ini menunjukkan bahawa bertanya kepada Allah bukan dosa, bahkan Allah menjawab dengan ilmu dan hikmah.
Umat Islam selalu membayangkan pertolongan Allah akan diturunkan dalam bentuk mukjizat. Seperti petir yang menyambar musuh, atau malaikat yang turun dari langit. Tetapi hakikatnya — pertolongan Allah tidak semestinya dalam bentuk yang kita bayangkan. Allah berfirman:
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu…” - (Surah Al-Baqarah: 216)
Pertolongan Allah mungkin datang dalam bentuk ketabahan, dalam doa seorang ibu yang kehilangan semua anaknya, dalam senyuman anak yatim yang masih menghafal Quran di bawah runtuhan. Itulah kekuatan. Itulah pertolongan. Tapi ia halus, senyap, dan penuh hikmah — bukan seperti filem perang yang kita tonton.
Pertolongan Allah datang bukan dalam bentuk keajaiban semata-mata, tetapi kemungkinan besar dalam bentuk kekuatan jiwa, jalan keluar yang tidak dijangka, dan ketenangan hati dan jiwa dalam berdepan dengan musibah.
Allah menetapakan bahawa kemenangan itu tidak ditentukan dengan banyak atau sedikitnya jumlah orang melainkan kemenangan itu datang dari sisi Tuhan yg maha perkasa lagi bijaksana.
“Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah”(Al-Anfal 10)
Allah sudah kurniakan kita dengan akal, hati, tangan, suara, dan harta. Namun dunia Islam hari ini lebih memilih untuk diam daripada bertindak. Pemimpin atasan hanya berbicara. Institusi besar takut kehilangan kuasa. Ulama’ berhati-hati lebih dari yang sepatutnya. Malah orang awam yang berkemampuan masih berat untuk menderma, atas alasan takut ditipu atau diselubungi xenofobia. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” - (Surah Ar-Ra’d: 11)
Kita juga harus sedar bahawa manusia amat terhad dalam memahami perancangan Allah SWT. Kita sangka umat Islam di Palestin sedang kalah. Tetapi mungkin secara hakikatnya, mereka sedang dimuliakan. Mereka sedang dinaikan darjat di sisi Allah. Mereka sedang dijanjikan syurga, sedangkan kita masih sibuk bertengkar sesama sendiri. Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang yang seumpama mereka.” (HR Tirmidzi)
Namun perlu diingat bahawa dalam surah yunus ayat 81 Allah berfirman yang bermaksud: ”Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya perkerjaan orang-orang yang membuat kerosakan”
Bila rakyat Palestin sabar dalam kelaparan, dalam kehilangan, dalam kesakitan — itu bukan tanda Allah benci, tetapi adalah tanda mereka sedang diangkat darjat.Allah sayang mereka. Setiap titisan air mata, setiap anak yang tetap solat walau hilang rumah, setiap ibu yang masih bertudung walau tinggal sehelai baju — itulah sabar. Itulah jihad. Dan itulah kemenangan yang tidak boleh dilihat oleh kamera, akan tetapi dicatat oleh para malaikat.
“Maka bersabarlah kamu sesungguhnya janji Allah adalah benar”(Al-Mukmin 77)
Umat Islam disuruh untuk sentiasa mencari hikmah dan pengajaran dalam setiap kejadian. Bagi rakyat Palestin, penderitaan mereka bukanlah sia-sia. Seluruh dunia sudah mula untuk bangun. Anak muda mula bersuara. Di jalanan New York, di universiti Tokyo, di Kuala Lumpur — nama Palestin disebut dengan bangga. Gambar anak kecil Gaza membuka hati berjuta-juta manusia. Kebenaran yang dulunya ditutup dengan rapi, kini menular bak api. Berapa ramai orang kafir yang memeluk Islam hari ini, akibat keganasan di Palestin? Berapa ramai yang jatuh simpati kepada mereka.Malah kuasa hegemoni global semakin hari semakin lemah genggamannya ke atas rakyat dunia, kerana perlahan-lahan pembohongan dan kezaliman mereka sedang dibongkar.
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”(Al-Insyirah”)
Inilah sebahagian pertolongan Allah. Ia tidak turun dalam bentuk ribut petir dan batu api, tetapi dengan kesedaran global. Ia tidak datang dengan tentera ghaib, tetapi dengan hati manusia yang mula bernafas dengan kebenaran. Pertolongan Allah tidak selalu menghancurkan musuh sekelip mata. Kadangkala ia hadir untuk meneguhkan jiwa yang redha. Bila kita bertanya, “Mengapa Allah tidak tolong?” Mungkin jawabannya ialah: “Kerana Dia sedang tunggu kamu bangkit.”
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” (Surah Muhammad: 7)
Ingat firman Allah yang bermaksud:”Jika kamu bersabar dan bertakwa nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan mudharat kepadamu(Ali Imran 120)
Nabi setiap kali hendak berperang maka beliau berdoa:”Ya Allah Engkau adalah peneguhku dan engkau adalah penolongku. Dengan Mu aku berupaya, dengan Mu aku menerjang dan dengan Mu aku berperang”(Riwayat ahmad,abu daud,Ibnu Majah Dan Ibnu Hibban)
