JASIN — “Saya sarankan mereka terbabit bertaubat,” Begitulah kata-kata nasihat kepada mereka yang terbabit menyediakan pakej menunaikan haji dengan cara `songsang’ walaupun sudah berulang kali diberi peringatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ketika menyarankan demikian berkata, sebelum operasi haji bermula, tidak kurang 10 kenyataan media dikeluarkan, selain khutbah Jumaat.
Katanya, melalui kenyataan media dan khutbah, masyarakat diperingatkan mengenai bahaya menunaikan haji tanpa permit atau kuota haji dikeluarkan secara sah oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia melalui Tabung Haji (TH).
“Namun perkara tidak diingini berlaku lagi. Saya sarankan mereka terbabit bertaubat,” katanya selepas menyampaikan kelengkapan ibadah kepada masyarakat Islam di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, di sini hari ini.
Beliau berkata, banyak nasihat dan amaran diberi kepada pengendali jemaah haji swasta supaya mendapatkan kebenaran TH bagi menguruskan ibadah berkenaan, namun masih ada pihak mengambil kesempatan memperdaya jemaah.
Media sebelum ini melaporkan 47 jemaah Malaysia termasuk warga emas didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Laporan itu menyebut mangsa didakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah tanpa visa haji.
Mohd Na’im juga mengesahkan syarikat yang dikaitkan dengan penipuan membabitkan 47 jemaah haji itu tidak mempunyai lesen sah atau tauliah sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dibenarkan menguruskan perjalanan haji.
Beliau berkata, hasil semakan awal menunjukkan ejen terbabit bukan daripada mana-mana syarikat yang menerima tauliah sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH) atau Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Saya yakin ini bukan syarikat PJH yang diberikan tauliah atau lesen tambang haji. Kemungkinan besar ia adalah ejen pelancongan lain yang bertindak secara tidak sah,” katanya.
Mohd Na’im berkata, menerusi siasatan, ejen terbabit dipercayai membawa jemaah melalui negara ketiga, dipercayai Turkiye sebelum memasuki Arab Saudi, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung laluan visa dan keberadaan sebenar jemaah yang tidak direkodkan dalam sistem rasmi.
“Dari Jeddah, mereka (ejen) membawa jemaah keluar, kemudian masuk semula ke Jeddah melalui Turkiye. Jadi ada kemungkinan besar, laluan itu digunakan untuk elak pemantauan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya menyemak latar belakang syarikat yang menawarkan pakej haji atau umrah manakala pihaknya akan memperketatkan lagi kawal selia terhadap semua ejen perjalanan haji, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak berlesen.
Sumber: bebasnews.my
