HIDUP BERADAB, BUKAN BIADAP

HIDUP BERADAB, BUKAN BIADAP

Kamus Dewan (edisi keempat, cetakan kedua, 2007) mentakrifkan adab sebagai: (1) tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan; (2) cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu ~ pergaulan; ~makan; ~ tertib budi bahasa dan tingkah laku (yang halus dan sopan). Manakala beradab pula membawa maksud, (1) mempunyai (menunjukkan) adab, berbudi bahasa, bersopan; (2) telah maju tingkat kehidupan (jasmani dan rohani); bertamadun. (hal. 7).

Pengertian ini membawa maksud, beradab itu melambangkan tingkat kemajuan dan kemajuan itulah pula yang akan mewajahkan kehidupan yang bertamadun. Ertinya, bila seseorang, kumpulan orang atau ahli masyarakat yang tidak beradab, tidak boleh dikategorikan sebagai bertamadun atau telah maju dalam tingkat kehidupan. Mereka yang tidak beradab diistilah sebagai biadap.

Dalam kamus yang sama, perkataan biadab membawa pengertian: (1) tidak ada budi bahasa,  tidak beradab; (2) tidak bertamadun, belum maju. Ada satu satu lagi istilah yang hampir sama, iaitu biadat, membawa maksud: tidak bersifat kemasyarakatan (tidak suka bergaul dengan orang). (hal.178)

Mereka yang biadap adalah mereka yang tidak mempunyai peningkatan kehidupan dan tidak bertamadun. Tentunya, nilai yang diukur bukanlah berbentuk fizikal (walaupun sesuatu tindakan boleh lihat dengan jelas), ia berkait rapat dengan keluhuran budi dan kesopanan tingkah laku. Bagi seseorang yang dianggap beradab ialah orang yang menghormati norma-norma kehidupan yang dipersetujui bersama, yang kemudiannya dilembagakan sebagai budi bahasa dan budi pekerti.

Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa perkataan yang boleh disamaertikan dengan biadab, iaitu: boorish, ill-mannered; impolite;rude; unceremonious; barbaric; primitive; savage; dan uncivilized manakala kebiadadapan pula diistilahkan disrespect; impertinence;insolence; rudeness; barbarism; dan savagery. Memang biadap akan dihubungkan dengan dua perkara, iaitu bahasa yang digunakan dan tindakan yang diambil.

Dalam bahasa Melayu, setiap perkataan yang dilafazkan akan mempunyai maknanya yang tersendiri, tetapi maknanya boleh berubah bila cara melafazkannya tidak menepati dengan situasi. Umpama ketika menerima berita kematian seseorang, secara lazimnya masyarakat Melayu-Islam akan melafazkan inna lillahi wa inna ilaihi raji'un . Frasa itu merupakan sebahagian daripada ayat ke-156 surah al-Baqarah, yang bermaksud:  (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali).

Jika ada pihak yang cuba memberikan interpretasi tentang kematian orang Islam dengan lain-lain perkataan, lafazan itu dianggap biadab dan tidak menepati dengan fitrah manusia. Maka itulah sebabnya, komen-komen yang diposkan menerusi laman sosial berhubung dengan berita kematian seorang tokoh agama beberapa hari lalu dianggap sebagai tindakan biadab dan keterlaluan.

Ekoran komen yang biadab itu, beberapa orang telah bangkit menyuarakan kemarahannya, kerana komen sedemikian tidak sepatutnya berlaku, termasuklah mempertikaikan keputusan untuk menguruskan jenazah di bumi asing, iaitu sebuah tanah perkuburan Islam yang berada di sebuah negara bukan Islam. Orang yang mencetuskan komen biadap itu sudah dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan, tetapi masih belum mampu mengubati hati umat Islam yang terluka.

Prinsip berbahasa dengan sopan dan penuh hikmah dalam budaya Melayu-Islam dipanggil budi bahasa manakala tingkah laku yang menyenangkan dan tidak menyakitinya pula dipanggil budi pekerti. Kedua-duanya saling berkait rapat dan merupakan kembar yang menentukan sempadan biadab dan bersopan.

Ulama terkemuka Indonesia, yang juga merupakan seorang penulis tersohor, Haji Abdul Malik Karim Amirullah (1908-1981), yang lebih dikenali dengan panggilan Buya Hamka menulis sebuah buku khusus menghuraikan tentang kehidupan yang dianggap sebagai berbudi dalam konteks Islam. Budi merupakan suatu suatu pemberian yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Konsep budi menurut Hamka adalah beragam. Misalnya, konsep budi seorang peniaga atau saudagar. Seorang saudagar hendaklah menegakkan prinsip tidak bersenang hati memberikan suatu barangan untuk mengharapkan balasan yang lebih besar. Pemberian secara tidak jujur, mengharapkan balasan akan menyebabkan si pemberi itu dianggap kurang sopan, biadap. Misalnya mengungkit-ungkitkan apa yang didermakan. Oleh itu, jika tidak mahu diri ditipu, sesuatu pemberian yang dilakukan itu tidak dengan cara menipu, atau dalam peribahasa Melayu, ada udang di sebalik batu.

Budi seorang guru, Hamka memerihalkan bahawa seorang guru yang memperolehi kebahagiaan, kesejahteraan dan kemuliaan ialah guru yang tidak hanya mencukupkan ilmunya ketika dalam kelas, tetapi juga pengalaman, pembacaannya begitu luas dan bergaul dengan orang sekelilingnya, serta sedia membantu.

Awang Had Salleh (1934-2013) menyatakan bahawa masyarakat Melayu amat menyanjungi nilai budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa. Jika runtuh budi maka runtuhlah sesuatu bangsa itu. Sebab itulah masyarakat Melayu berpegang kepada konsep, budi bahasa mencerminkan hati budi seseorang; budi merupakan hati kepada sesebuah peradaban atau tamadun. Tanpa budi, budaya sesebuah bangsa tidak dapat ditegakkan.

Bagi Hamka, orang yang berbudi akan merasa berat untuk melakukan sesuatu bentuk kejahatan kerana ia menyalahi keutamaan. Tetapi, apabila berjumpa dengan kumpulan atau orang yang melakukan kejahatan perilaku biadabsecara bebas, bercakap kasar, melanggar norma dan kesopanan, ia akan menyebabkan orang yang berbudi akhirnya turut terpengaruh. Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia, termasuk masyarakat Melayu-Islam yang pernah menghormati budi bahasa dan budi pekerti.

Hamka menggariskan perbezaan antara manusia dan lain-lain makhluk. Manusia mempunyai perbezaan dan kelebihan kerana segala perilaku manusia lahir dari hatinya, dari satu maksud dan satu perasaan yang paling tinggi. Ia berbeza dengan binatang (juga makhluk) di mana gerak gerinya amat bergantung kepada ghazirah atau instic. Setiap tindakan yang diambil tidak disertai dengan pertimbangan.

Setiap tingkah laku manusia terlahir daripada pertimbangan akal fikirannya. Pertimbangan itu pula berdasarkan tujuan (ghayah) dan usaha untuk mencapainya (wasilah). Kesemuanya itu diambil berpandukan kesan atau akibat yang berkemungkinan boleh berlaku, iaitu secara hipotetikal atau andaian.

Bagaimanapun, berdasarkan komen yang tersebar dalam media sosial, pertimbangan kepada kesan tidak diambil perhatian sehingga menyebabkan seseorang begitu berani melakukan kebiadapannya. Mereka yang memberikan komen hanya bersandarkan pemikirannya tanpa mengambil kira sensitiviti orang lain, sedangkan dalam konteks kemasyarakatan, kepentingan lebih besar ialah membangunkan kesejahteraan dan keharmonian bersama. Ini tidak berlaku, kerana ada segelintir orang Melayu-Islam dan bukan Melayu, yang berselisih pandangan politik dan kepentingan, mendakwa kematian tokoh ulama berkenaan akan berakhirnya sebuah krisis politik dalam gabungan pakatan pembangkang. Ia sebuah kenyataan dan kemahuan yang bersifat fatamorgana.

Sebagai sebuah aturan hidup, Islam meletakkan asas yang kuat dan kukuh bagi memperbaiki akhlak manusia. Laluan pertama yang dirintis ialah menghapuskan amalan jahil, seperti beradu kekuatan atas keperluan tertentu, menegakkan pandangan dan pendapat yang bercapah, boleh menceroboh hak orang lain dan sebagainya.

Islam amat mementingkan kehidupan beradab. Kehidupan beradab itu adalah kepada Allah SWT dan juga sesama manusia (termasuk makhluk dan alam sekitar). Ketika berinteraksi sesama manusia, dan alam sekitar, Allah SWT memberikan peringatan yang jelas bahawa mereka yang melakukan sesuatu tindakan, bercakap dan bertindak tanpa mempedulikan orang lain sebagai perbuatan yang zalim. Misalnya, akibat kerakusan menggondol bukit dan mengambil balak secara berleluasa, Allah SWT menimpakan pelbagai malapetaka kepada manusia, termasuk banjir, runtuhan tanah dan juga kematian. Ia telah mengganggu keseimbangan iklim, dan akibat ketidakseimbangan itu suhu bukan sahaja menjadi semakin panas, kehidupan manusia juga menjadi semakin terbatas dan sukar.

Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperbaiki akhlak manusia sebagaimana tertera dalam satu hadis:Hanya sanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang soleh. (Riwayat Imam Ahmad). 
At-Tarmizi turut merakamkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: Bukankah seorang mukmin itu orang yang selalu mengungkapkan keaiban, melaknat, berperangai buruk dan suka menyakiti.

Dalam hadis yang lain, Imam Bukhari mencatatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana mengelakkan kekejiannya.

Kebiadapan seseorang dikira apabila perbuatan atau percakapannya melanggar tatasusila yang ditetapkan, misalnya suka mencarut, menghina, memperlekehkan orang lain, melanggar adat dan yang paling berat ialah menyakitkan hati. Jelaslah, komen yang mempertikaikan seseorang yang berusaha mencari kaedah terbaik untuk mengubati penyakit yang dihadapinya itu bertentangan dengan prinsip ikhtiar. Islam menggalakkan setiap umatnya berubat, walaupun setiap orang Islam sedar, setiap kehidupan pasti akan mati.

Usaha berubat di luar negara bukanlah suatu keputusan yang bertentangan dengan Islam, kerana Islam tidak mengehadkan sempadan kemajuan itu hanya dalam kalangan umat Islam sehaja. Setiap manusia, dengan cara dan kaedah masing-masing mampu memperoleh yang terbaik, kerana manusia mempunyai potensinya yang tersendiri. Apabila kepakaran dalaman kurang memadai tidak mejadi kesalahan untuk mendapatkan kepakaran asing walaupun yang memiliki itu bukan beragama Islam.

Fenomena kebiadapan mencela mereka yang sudah meninggal menggambarkan masyarakat semakin sakit dan sedang dilanda kecelaruan akal. Manusia semakin berhadapan dengan kegelisahan jiwa, suatu kesan negatif daripada peradaban manusia sendiri yang hanya mengutamakan keuntungan material. Suatu bentuk penghakisan moral yang membawa kepada krisis peradaban.

Peradaban yang sedang dialami oleh manusia ketika ini merupakan ayunan kepesatan kemajuan fizikal yang dimulakan oleh barat. Dalam menekuni akibat buruk peradaban materialism Barat, Profesor Dr Yusuf Qardawi menjelaskan, selain memberikan kesan positif, manusia sedang mengalami kesengsaraan dan merasakan kepahitannya. Tanda-tanda kesengsaraan dan kepahitan itu ialah: keruntuhan akhlak, kemusnahan keluarga, kegelisahan jiwa dan kecelaruan akal (Hebatnya Islam: Peradaban Alternatif Masa Depan, 2015).

Menurut Yusuf Qardawi, buah yang dihasilkan adalah sama dengan jenis pokoknya. Pokok materialism dan prgamatisme yang menjiwai tamadun Barat tidak mungkin membuahkan hasil akhlak kemanusiaan yang dapat memperkukuh sendri binaan kemasyarakatan. Ini membawa kepada masalah kecelaruan akhlak, termasuklah perbuatan suka mencarut, kerana hasilnya si pencarut itu akan menjadi bahan kemarahan orang lain.

Kecelaruan akal menyebabkan jumlah mereka yang berhadapan dengan kesihatan mental semakin ramai bahkan menandingi jumlah pesakit lain, sebagaimana disimpulkan oleh Profesor Alexis Karel, kerana rumah-rumah sakit sentiasa penuh, ia tidak mampu lagi menerima pesakita baharu. Agaknya, itulah sebabnya jumlah pesakit mental semakin berkeliaran, dan sebahagian daripada mereka menggunakan media sosial sebagai escapism apabila tidak memperoleh rawatan memadai.

Kesehatan mental turut mempengaruhi perlakuan jenayah dan kekerasan. Amerika Syarikat merupakan negara yang terkaya dari aspek material, kekuatan fizikal dan kemajuan teknolginya, kejadian jenayahnya semakin melata.

Tulis Yusuf Qardawi, melatanya jenayah bererti rasa ketakutan akan menguasai keadaan. Ketakutan adalah seburuk-buruk penderitaan manusia dalam hidupnya. Ia adalah hukuman yang paling buruk bagi perkumpulan manusia apabila melencong daripada jalan lurus dan kufur dengan nikmat Allah seperti sebuah kampung yang diceritakan oleh al-Quran dan dijadikan teladan bagi orang lain.

Amerika Syarikat sekarang hidup dalam ketakutan kerana ancaman terhadapnya ada di mana-mana, kerana sikapnya yang gemar bermusuh dan tamak haloba. Hari ini, sekumpulan masyarakat di Malaysia juga berhadapan yang situasi yang sama, meskipun mereka menguasai ekonomi, sikap dan kemahuannya tanpa batas menyebabkan sanggup menodai kontrak sosial dan seterusnya bertindak di luar batasan orang yang beradab.

Kumpulan tersebut sebenarnya merasai ketakutan yang disumbangkan oleh gelora dalam dirinya sendiri setelah merasakan kekuatan sementara yang diperoleh tidak akan kekal. Itulah sebabnya apabila sebuah parti politik yang diwakili oleh orang Melayu-Islam memutuskan kerjasama, kedudukanya menjadi sedikit terjejas dan memaksa melihat kea rah lain untuk mengkambinghitamkan orang yang telah mati. Suatu kebiadapan yang sukar untuk dimaafkan, walaupun terlepas daripada tindakan undang-undang, sebahagian orang Islam melihatnya bukan lagi sebagai kulit yang tercalar tetapi hati yang terluka.

Hati yang terluka itu amat sukar untuk disembuhkan. Sebab itulah menjaga hati untuk penting dalam budaya masyarakat Melayu-Islam, kerana itulah sebenarnya sempadan budi bahasa dan budi pekerti. Bila maruah tercabar, akan adanya karma yang menimpa, sebab orang Melayu-Islam bagaimana terlupa sekalipun pegangan agamanya, tidak akan terlupa dengan nilai budi bahasa dan budi pekerti.

Nilai yang sedang dipersoalkan, akan membangkitkan sakit hati yang mendalam. Bila sakit hati tiba di kemuncaknya, orang Melayu-Islam boleh bersatu semula untuk mempertahankan haknya, walaupun tidak sepenuhnya disambut oleh orang Melayu-Islam sendiri. Pengajaran kepada Malayan Union membawa kepada penentangan manakala peristiwa 13 Mei 1969, orang Melayu-Islam kembali memahami siapakah kawan mereka sebenar, dan ujian itu sedang berjalan dalam kerangka politik dan pemikiran, ekoran keceluparan dan kebiadapan sekumpulan yang tidak mahu memahami hati budi Melayu-Islam.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048169
Hari ini: 117
Minggu Ini: 1,705
Bulan Ini: 3,631
Tahun Ini: 48,169
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.