Kuasa bukan di tangan rakyat dan bukan juga rakyat menaikan atau menjatuhkan sesuatu kuasa. Juga bukan perancangan pakar strategi atau kuasa hegemoni kaum korperat atau politik antarabangsa. Kuasa sesungguhnya adalah milik Allah Azza Wa Jalla. Di beri kuasa atau di tarik kuasa tentunya adalah kehendak Allah jua. Segala-galanya adalah ujiannya dan qada dan qadarNya yang penuh dengan keadilan dan hikmah. Dialah yang Maha mengetahui baik yang nyata ataupun tersembunyi. PerancanganNya mengatasi apa semua rancangan makhlukNya. Setiap apa yang di kehendaki jadi pasti akan terjadi.
Buatlah beribu himpunan sekalipun untuk menjatuhkan kekuasaan seseorang namun jika ia tidak diizinkan Allah SWT ia tidak akan berlaku peralihan kuasa tanpa izin Allah. Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini dilihat sebagai simbol yang boleh menghancurkan negara kerana kesannya ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Rakyat sebenar sudah terlalu kecewa dengan perbalahan yang tidak henti- henti antara sesama Melayu. Hakikatnya rakyat lebih cintakan keamanan dan keharmonian hidup tenang dalam negara sendiri. Rakyat sebenarnya sudah letih sudah jemu dengan telatah ahli-ahli politik yang tidak pernah puas dan jemu mengadu domba sana sini untuk mendapatkan kuasa. "Engkau,ya Allah Pemilik hak mengatur dalam segala hal. Engkau memberi kekuasaan kepada siapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan siapa yang Engkau kehendaki dan merendahkan siapa yang Engkau kehendaki. Dalam genggaman tangan Mu segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu"( Surah Al-Imran ayat 26)
Kekuasaan milik Allah, Dia yang menganugerahkan kepada sesiapa pun yang Dia kehendaki, maka dari satu sisi ia menjadi amanah dari Allah kepada sang penguasa sekaligus menjadikan penguasa itu menjalinkan kontrak kekuasaan dengan masyarakat yang dipimpinnya. Sudah sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu.
Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibaiat oleh mereka. Ini merupakan kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan baiat kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa meninggal tanpa ikatan baiat, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah (riwayat Muslim).
Dan harus diingatkan bahawa baiat kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati; jika ia suka dipakainya, dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan baiat tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada baiat ini.
Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah). Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah di kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.
Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah sebagaimana sabda baginda bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu (riwayat Ahmad).
Sesunguhnya Allah meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara yang dibenarkan oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah pernah mengingatkan umat baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.
Pertama, ikhlas beramal kepada Allah, kedua, dalam menasihati pemerintah, dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.
Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutamanya semata-mata hanya kerana Allah. Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah dan hendaklah diasaskan di atas rasa kasih sayang, ikhlas dan demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana sebarang kepentingan yang lain. Di atas keikhlasan itulah menyebabkan mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut. Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan. Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri (riwayat Tarmizi).
Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin menasihati sultan (raja) atau pemerintah, tidak harus secara terbuka atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di tengah- tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh Rasulullah. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.
Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya imamah (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini Nabi Muhammad menegaskan dalam suatu hadis yang bermaksud: Barangsiapa taat kepadaku, sungguhlah ia taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat (melakukan kesalahan dari sisi agama) kepadaku, sungguhlah ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada Amir (penguasa), sungguhlah ia taat kepadaku. Dan barangsiapa yang bermaksiat kepada Amir, sungguhlah ia bermaksiat kepadaku (riwayat Bukhari).
Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya (riwayat Muslim).
Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah menerusi sabda baginda yang bermaksud: Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat (riwayat Bukhari dan Muslim).
Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah. Dan prinsip yang keempat ialah kita tidak harus sewenang-wenangnya mengkafirkan penguasa Muslim. Takfir merupakan hak Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan dengan bersandarkan syariat.
Oleh hal yang demikian itu, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah). Meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka, namun kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.
