Perpaduan dan keharmonian dapat dicipta dengan kepercayaan kepada kepimpinan negara yang telah diberi mandat dan keyakinan daripada rakyat untuk mentadbir negara.
Mentaati pemimpin atau ulil amri merupakan rukun dalam usaha menegakkan maslahah siyasah (kemaslahatan politik) di mana dalam sesebuah negara, seseorang pemimpin itulah yang berusaha keras untuk membangunkan tatacara kehidupan yang aman, kuat dan meransang rakyat mencari kesejahteraan hidup sama ada kehidupan dunia mahupun akhirat. Al-Ghazali misalnya, mengibaratkan agama dan kerajaan itu sebagai dua perkara yang berkembar, dan kerana itu juga dikatakan agama adalah asas manakala pemerintah pula adalah pengawal. Apa-apa yang tidak mempunyai asas akan runtuh dan apa-apa yang tidak ada pengawal akan sia-sia. Ironinya, dalam perkembangan tertentu umat Islam sering bertelingkah kerana mempertahankan kehendak sendiri dan penyakit ini “tidak boleh diubati kecuali dengan adanya pemerintah yang berkuasa dan ditaati bagi menyatukan pelbagai pandangan.”
Berdasarkan dalil firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat ke-59, mentaati pemimpin yang beragama Islam dan memerintah kaum muslimin adalah suatu kewajiban. Ianya termasuk dalam fardhu ‘ain yang berkaitan dengan imarah ataupun imamah kepimpinan dalam Islam. Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika berbantah-bantahan (berselisih) dalam satu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya—jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Tentunya, untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut ia bukanlah satu perkara yang mudah walaupun surah tersebut (an-Nisaa ayat ke-58 dan 59) merupakan ayat perintah selepas Allah SWT mencirikan seorang pemimpin itu mestilah dipilih dari kalangan orang yang layak. Kepimpinan berkaitan dengan amanah dan kerana itu setiap pemimpin wajib melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya secara adil. Imam al-Qurthubi dalam tafsirannya bersandarkan penegasan Ali bin Abi Talib menulis: Tanggungjawab pemerintah ialah meletakkan hukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan melakukan dengan demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah.”
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan :”ungkapan dalam kalangan tabi’in kepada para pemerintah Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat kepada kami dalam firman-Nya dan uli a-amr dari kalangan kamu? Maka dijawab: Tidakkah kewajipan taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya “jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Qur’an) dan ar-Rasul (sunnah) jika kamu benar beriman dengan Allah.”
Ada pula pandangan lain, ketaatan kepada pemerintah bukanlah satu perkara yang mutlak, tertakluk kepada batasan tertentu. Ketaatannya tidak sama ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, kerana ketaatan itu adalah mutlak, tidak boleh dibantah. Pemimpin sentiasa terdedah kepada kepentingan diri dan kerana itu tidak semua yang berlaku adalah untuk kemaslahatan rakyat dan negara. Seperti manusia lainnya, pemimpin juga mempunyai kecenderungan sendiri. Tetapi, jika kecenderungan sendiri itu mendatangkan kerosakan, ia bercanggah dengan prinsip ketaatan sebagaimana diperintahkan oleh Islam.
Dalam memberikan penjelasan tersebut, al-Nawawi berkata: “wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat.” Maksudnya, mentaati pemimpin adalah satu kewajiban yang tidak boleh dilihat sebagai mudah, kerana Islam mementingkan kesejahteraan ramai bukannya memenuhi tuntutan kelompok tertentu. Bagaimanapun, kelompok yang melihat ia sebagai sesuatu yang bertentangan perlu sedar bahawa kedudukan pemerintah adalah lebih stabil berbanding dengan mereka disebabkan wewenang dan kesanggupannya memimpin serta memenuhi kepentingan ramai. Rakyat perlu boleh membezakan antara perkara munkar, zalim dan mafsadah (kerosakan) walaupun ijtihad pemerintah itu bukanlah sesuatu yang berbentuk popular.
Ibn Taimiyyah menjelaskan: Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap muslim. Taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi, kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberikan hal memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala).” Inilah puak oportunis yang wajib dihindari oleh setiap rakyat Malaysia yang mahukan keamanan dan memperjuangkan kesejahteraan, hak untuk hidup dengan harmoni.
Islam mementingkan jemaah, bukannya individu. Persoalan ini telah membawa kepada penetapan rakyat untuk mentaati pemimpin, bagi tujuan mengelakkan pecah-belah, kemunduran ummah dan peperangan sesama sendiri. Mereka inilah yang akan dimuliakan pada hari kiamat, kerana menentang perpecahan, tidak mendengar dan mudah percaya kepada fitnah, menghancurkan sesame sendiri dan bekerjasama mencapai matlamat membangunkan sebuah negara maslahah.
Budaya hidup tiada masa yang lebih penting bagi umat Islam dalam menghidupkan budaya hidup berjemaah yang betul. Apa pun masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan secara berasingan. Justru untuk menyatukan umat Islam dan mengatasi perpecahan, budaya hidup berjemaah yang betul perlu disemarakkan. Nabi SAW menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: Dan sesungguhnya pada jemaah itu ada rahmat,dan pada perpecahan itu ada azab. (Hadis riwayat Iman Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).
Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi r.a pula berkata: “Makna ‘nasihat’ untuk para pemimpin kaum Muslimin ialah nasihat yang ditujukan kepada para penguasa mereka. Iaitu dengan menerima perintah mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara-perkara yang bukan maksiat kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal maksiat kepada al-Khalik. Tidak memerangi mereka selama mereka belum kafir, berusaha untuk memperbaiki keadaan mereka, membersihkan kerosakan mereka, memerintahkan mereka kepada kebaikan, melarang daripada kemungkaran serta mendoakan mereka agar mendapat kebaikan. Kerana dalam kebaikan mereka bererti kebaikan rakyat jelata seluruhnya dan kerosakan mereka bererti kerosakan rakyat seluruhnya.”
Nasihat untuk pemimpin ialah dengan mencintai kebaikan, kebenaran dan keadilan, bukan lantaran individunya. Nasihat untuk para pemimpin dapat juga dilakukan dengan cara membantu mereka untuk sentiasa berada di atas jalan kebenaran, mentaati kebenaran dan mengingatkan mereka dengan cara yang baik, termasuk prinsip Ahli Sunnah Waljamaah, iaitu tidak sekali-kali melakukan provokasi atau penghasutan untuk memberontak terhadap mereka meskipun pemerintah itu berbuat kezaliman, tidak boleh melakukan provokasi sekali-kali baik dari atas mimbar, tempat- tempat khusus mahupun tempat-tempat umum. Jelas, Islam meletakkan ‘adab sopan’ sebagai wadah untuk memelihara hubungan antara pemimpin dengan jemaah. Hubungan yang kukuh di antara kedua-duanya akan menjadikan umat Islam lebih dihormati, disegani dan dapat dicontohi sebagai umat yang bersusila.
Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda: "Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima) arahan itu dan juga tidak boleh taat."(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Wujud dua implikasi yang akan berlaku sekiranya rakyat tidak taat kepada pemimpin. Pertama, apabila rakyat dan penduduk tidak taat, ia akan membahayakan kewujudan negara dan sekaligus akan memusnahkannya. Tanpa ketaatan dan kepercayaan kepada pemimpin, kerajaan tidak akan tertegak dan berjalan sepertimana sepatutnya. Roda pemerintahan akan lumpuh dan muncul fitnah di mana-mana. Atas dasar itu, ketaatan kepada pemimpin menjadi kayu pengukur utama bagi tegak dan utuhnya suatu negara.
Implikasi kedua, dengan rakyat tidak mentaati dan mempercayai pemimpin negara, maka segala perancangan dan agenda untuk memartabatkan Islam akan terjejas. Pemerintah tidak dapat membangun segala infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan umat Islam seperti pembinaan sekolah dan universiti Islam, penubuhan bank Islam, pembangunan ekonomi Islam dan pemerkasaan mahkamah syariah serta pengukuhan segala undang-undang yang membela kepentingan Islam.
Malaysia menikmati keamanan dan kemakmuran melangkaui negara-negara Islam lain sehingga muncul menjadi negara Islam contoh. Sudah tentu, ia bukanlah mudah untuk dipertahankan seandainya dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya untuk kepentingan pihak tertentu sahaja. Mentaati pemimpin bukan bererti memuja pemimpin, kerana konsep pemujaan bukanlah daripada tradisi Islam. Sebaliknya, dengan memberi kepatuhan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin negara, maka sesungguhnya kita jualah yang menjadi penentu kepada kelangsungan dan kejayaan sesebuah negara. Wallahu A’lam.
