NORMALISASI ISRAEL: SABOTAJ DARI DALAM UMMAH

NORMALISASI ISRAEL: SABOTAJ DARI DALAM UMMAH

Umat Islam hari ini diserang dari semua arah. Dari luar, dengan peluru dan bom. Gaza. Syria. Kashmir. Pertumpahan darah berlaku di mana-mana. Tetapi sabotaj paling berbahaya bukan dari musuh yang kita nampak, dan bukan dari bom yang meledak. Ia datang dari dalam. Dengan senyuman manis, dengan jabat tangan palsu, dengan perjanjian yang membusuk dari dalam.

Hari ini, satu pengkhianatan besar sedang berlaku di hadapan mata kita. Sebuah luka menganga yang mengancam untuk memecah belah umat dari akarnya. Normalisasi hubungan dengan Israel.

Persoalan besar yang harus dijawab oleh pemimpin dunia Islam hari ini adalah - Ada apa yang normalnya bila kita bersahabat dengan penjajah zalim? Ini bukan mencari pendamaian, tetapi suatu langkah senyap yang sedang menyalakan api fitnah dalam dunia Islam. Beberapa negara Islam di dunia Arab dan Timur Tengah bersumpah atas nama Allah untuk membela Palestin.

Namun di sebalik pintu tertutup, mereka membina pakatan dengan rejim Zionis Israel, atas nama mencari kedamaian dan pelaburan. Atas nama kestabilan dan membina dunia baharu. Sebuah dunia yang dibina atas darah para syuhada dan air mata rakyat yang tertindas. Maka apa sebabnya mereka mengejar normalisasi ini? Adakah disebabkan takut kehilangan kuasa, harta dan pengaruh? Inilah wajah baharu dunia Arab moden. Memilih Israel sebagai sekutu dan meninggalkan perjuangan ummah. Tidak Menghiraukan suara anak-anak kecil sendiri yang meraung kelaparan.

Zaman ini juga, perang tidak lagi hanya di medan tempur. Perang sebenar berlaku di hujung jari kita, dan peranti yang menghubungkan dunia. Di TikTok, Instagram dan YouTube. Musuh telah pun melancarkan kempen halus, dengan memujuk anak muda Islam supaya melupakan sejarah. Mereka memanipulasi naratif bahawa normalisasi ialah jalan damai.

Malah lebih bahaya, wujud pendakwah dan influencer Muslim yang dibayar untuk menyampaikan mesej beracun ini. Mereka bercakap soal ukhuwah, tetapi diam apabila Al-Aqsa dihina. Mereka menjana kandungan untuk motivasi Islam, tetapi menghalalkan hubungan dengan penjajah. Ini tidak lain dan tidak bukan satu bentuk pengkhianatan berbungkus agama.

Pemimpin Islam di Timur Tengah mengangkat Israel sebagai rakan teknologi dan pelaburan. Kononnya membawa kemajuan, tetapi sebenarnya kemajuan yang membutakan kita dari kebenaran. Inilah bentuk fitnah yang paling halus, dan paling licik. Jika ummah hari ini redha dengan Israel, maka kita redha dengan;
● Peluru yang membunuh anak-anak Gaza.
● Tembok yang memisahkan Masjidil Aqsa dari umat Islam dan yang memenjarakan hati kita.
● Penjajahan jiwa dan fikiran umat Islam, menyebabkan ummah ini semakin dipandang hina.

Justeru normalisasi hanya memperkasakan syarikat-syarikat Zionis. Pemimpin Muslim yang mengkhianati ummah adalah mereka yang tunduk kepada Tel Aviv demi keselamatan masing-masing. Mereka yang memenjarakan para ulama’ dan melenyapkan suara protes.

Jika kita hanya memboikot produk, tetapi bukan sistem, bukan pemimpin, bukan dasar, maka umat Islam tidak akan memecahkan rantai kezaliman sampai bila-bila. Israel kuat bukan hanya kerana senjata, tetapi kerana penguasa Islam yang mempertahankan kewujudannya. Maka boikot juga boneka yang duduk di takhta emas, dan boikot diplomasi pembohongan mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, kelak kamu akan disentuh api neraka.” – Surah Hud, ayat 113

Amaran ini adalah peringatan kepada seluruh golongan masyarakat Islam, baik orang biasa mahupun golongan bangsawan. Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membantu kezaliman, walaupun dengan sepotong kalimat, maka ia akan dibangkitkan bersama si zalim pada hari kiamat.” – (HR Ahmad)

Orang Islam yang bersama dengan puak Zionis, serta mereka yang diam ketika berlakunya kezaliman, adalah umat yang memijak maruahnya sendiri. Apakah kita mahu tergolong dalam golongan itu? Apakah kita sanggup berdiri di hadapan Allah SWT, tanpa maruah, tanpa prinsip, kerana janji dunia yang fana?

Umat Islam tidak boleh lagi tertipu. Kita mesti celik media dan ambil tahu siapa yang membela, siapa yang menjual. Jangan disogok dengan propaganda yang dipersembahkan sebagai kemajuan. Jangan dibutakan dengan janji teknologi dan pelaburan yang akan merantai jiwa kita. Al-Quds adalah tanah suci. Ia adalah amanah. Palestin adalah maruah umat Islam di seluruh dunia. Maka bangkitlah. Bangkit dan pertahankan prinsip. Jangan biarkan sabotaj dari dalam ummah ini meruntuhkan benteng kita.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017951
Hari ini: 203
Minggu Ini: 546
Bulan Ini: 3,092
Tahun Ini: 17,951
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.