Mereka datang dengan harapan, demi mencari ketenangan, ingin menyembuhkan luka dalam jiwa, dan membina keyakinan diri semula. Namun apa yang ditemui adalah sesi seksualiti, ritual aneh, dan upacara yang membingungkan. Inilah kisah peserta program eHATI, program motivasi yang kini terjerumus dalam kontroversi. Jika kita tidak menyibukan jiwa dengan kebenaran, maka jiwa kita akan menyibukan diri dengan kebatilan. Hati yang kosong akan menggoda setiap syaitan yang ingin berdiam di dalamnya. Hamba yang soleh akan memiliki aktiviti yang padat dengan ketaatan sehingga dapat mengusir hal-hal buruk darinya.
Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, sewajarnya wanita perlu mengamalkan sikap berhati-hati ketika mencari jalan penyelesaian bagi masalah peribadi dan tekanan emosi agar tidak terjebak dengan kegiatan yang bertentangan dengan ajaran agama. Menurutnya, antara kaedah yang dianjurkan oleh Islam ialah solat, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.
Dalam satu hadis nabi yang bermaksud, ”Setiap manusia itu pergi dipagi hari, lalu ia menjual dirinya. Ada yang memerdekakan dirinya dan ada yang membinasakan dirinya”.\
Kebelakangan ini, sebuah akaun media sosial dengan nama Masyitah Ashari telah membuat beberapa muatan ke media sosial yang mendakwa platform eHati, yang diasaskan Pn. Diyana Tahir dan suaminya, telah membawa ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam. Pn. Diyana telah mengasaskan eHATI sebagai satu platform motivasi dan pembangunan insan, khusus kepada kaum wanita. Mesejnya kelihatan positif - “Wanita bahagia, wanita berjaya.” Namun kandungan sebenar program ini mula dipersoalkan.
Berdasarkan pendedahan oleh akaun media sosial tersebut, program eHati itu didakwa menganjurkan tarian “Rebirth” atau “Kelahiran Semula”, dengan gerakan erotik di dewan beramai-ramai. Untuk menghilangkan rasa malu, akaun tersebut mendakwa para peserta disuruh meminum ramuan yang dinamakan “Piya” oleh penganjur. Kemudian berlaku sentuhan fizikal antara lelaki dan wanita, atas nama “Penyembuhan” atau “Healing”.
Di sebalik kontroversi eHATI, kita sedang melihat kemunculan halus satu gerakan antarabangsa, iaitu fahaman “New Age”. Gerakan New Age telah muncul di Barat pada tahun 1960-an dan 1970-an, diinspirasi oleh pelbagai tradisi rohani dan mistik. Ianya berakar dengan gerakan esoterik Barat yang lebih awal seperti Theosophy dan Spiritualism, serta falsafah Timur seperti Hinduisme dan Buddhisme.
Pergerakan New Age ini dicirikan oleh kepercayaan yang pelbagai dan fleksibel, sering digambarkan sebagai “pasar raya rohani.” Individu dilihat sebagai kuasa muktamad mengenai perkara rohani, dan digalakkan untuk mencari jalan mereka sendiri menuju enlightenment. Mereka juga percaya bahawa segala yang wujud di alam semesta saling berkait, dan ketuhanan itu hadir dalam semua perkara. Gerakan ini juga menerima konsep reinkarnasi, kelahiran semula, karma, dan dharma.
Walaupun ia kelihatan positif, namun hakikatnya ia mengajar manusia bahawa penyembuh masalah hati adalah diri sendiri bukan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 106:
“Dan janganlah engkau menyembah selain Allah apa yang tidak memberi manfaat dan mudharat kepadamu…”
Dan gerakan New Age ini subur dalam kerangka feminisme moden, yang sering mempromosi idea untuk “Membebaskan wanita dari agama dan budaya.” Wanita diajar untuk “melepaskan segala rasa”, termasuk perasaan malu, tetapi tidak diajar untuk menyerah diri hanya kepada Allah.
Islam memuliakan wanita, tetapi feminisme moden hanya ingin memisahkan wanita dari agama, atas premis kekuatan jiwa bagi kaum Hawa. Akhirnya, wanita menjadi mangsa dua kali - Pertama kerana luka yang tidak diubati dengan sebetulnya, dan kedua, kerana menjadi alat kepada agenda kerohanian sesat.
Pihak berkuasa agama sudah mula bertindak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Setia Dr Naim Mokhtar telah pun mengeluarkan arahan kepada JAKIM untuk menyelaraskan kerja bersama Jabatan Agama Islam Selangor. Menurut pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahizan Ahmad, JAIS pernah memanggil individu terlibat pada tahun 2022 susulan aduan yang dibuat bekas peserta dan menasihati mereka mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan.
Berdasarkan aduan itu, penganjur eHATI telah dipanggil oleh Panel Pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor dan telah diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat diperoleh mengenai kejadian yang berlaku di pusat konvensyen itu menunjukkan segala nasihat telah diingkari. Menurut Datuk Shahizan lagi, JAIS akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan doktrin palsu kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan hukum syarak.
Ketika ditanya sama ada kes ini melibatkan ajaran sesat, beliau berkata setakat ini tidak menjurus ke arah tersebut. Ini kerana tiada bukti lagi yang menunjukkan penganjur program tersebut mendakwa perbuatan mereka adalah anjuran Nabi Muhammad SAW, dan mengaitkannya dengan ajaran Islam.
Setiap manusia pasti pernah terluka. Setiap diantara kita mencari kebahagiaan. Tetapi ketenangan yang sebenar tidak datang dari muzik latar, jurulatih New Age, mahupun ritual “Kelahiran Semula” Ia datang dari Allah SWT. Ia datang dari memahami maksud Taqwa, dari solat yang khusyuk, dari amalan sentiasa bertaubat, dan dari ilmu yang bermanfaat.
Dalam Islam, penyembuhan jiwa adalah penting. Rasulullah SAW membimbing sahabat yang sedih, tertekan dan kemurungan. Namun begitu, Baginda SAW tidak pernah menggunakan ritual dari agama lain, kaedah mantera mistik, atau membenarkan sentuhan bukan mahram. Islam mengajar umatnya bahawa penyembuhan hati dan jiwa adalah dengan Zikrullah, mengingatkan diri tentang kebesaran Allah SWT.
Firman Allah dalam surah surah al-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” - (Al-Ra’d, ayat 28)
Semoga Allah SWT melapangkan dada dan melimpahkan kesabaran kepada kita semua.
