TUKAR PEMIMPIN LAGI? MENOLAK POLITIK JALANAN

TUKAR PEMIMPIN LAGI? MENOLAK POLITIK JALANAN

Empat Perdana Menteri dalam masa tujuh tahun. Dari Dato’ Seri Najib, kemudian Tun Mahathir, tiba-tiba bertukar ke Tan Sri Muhyiddin, dituruti Dato’ Seri Ismail Sabri, dan kini Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pembangunan terhenti-henti. Dunia memerhati. Pelabur semakin berjaga-jaga.

Kini, satu lagi perhimpunan bakal berlangsung, kononnya untuk selamatkan negara. Namun benarkah ini jalan penyelesaian terbaik? Atau hanya ulangan skrip lama, demi memuaskan nafsu kuasa segelintir politikus?

Pertukaran pemimpin yang terlalu kerap bukan tanda demokrasi yang sihat, tetapi merupakan petanda krisis keyakinan. Dalam politik, kestabilan adalah segalanya. Apabila dasar pembangunan sentiasa berubah, maka pelabur tidak berani melabur, ekonomi tidak mempunyai hala tuju yang jelas, dan rakyatlah yang menjadi mangsa utama.

Tetapi malangnya, ada sesetengah masyarakat yang masih berfikir bahawa menukar pemimpin secara paksa dan tidak menghiraukan demokrasi, akan mengubah nasib dalam sekelip mata.

Islam sangat menekankan kepimpinan dan amanah. Di dalam Surah An-Nisa ayat 59, Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu.” - (Surah An-Nisa, Ayat 59)

Ulama terdahulu seperti Imam Nawawi dan Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa nasihat kepada pemimpin mesti secara hikmah, bukan dengan fitnah atau memberontak di atas jalanan. Islam tidak pernah menggalakkan pemberontakan atau demonstrasi yang merosakkan, lebih-lebih lagi jika tujuannya hanya untuk menjatuhkan individu, bukan berniat untuk menyelamatkan ummah.

Sejarah mencatatkan pertukaran Khalifah dalam sekelip mata, seperti yang berlaku kepada kerajaan Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah, telah mempercepatkan kemusnahan khilafah tersebut. Ia kerana pertukaran pemimpin secara mengejut akan melemahkan pentadbiran serta merencatkan pembangunan Islam dari pelbagai sudut. Akhirnya, kerajaan itu ranap dan musnah akibat serangan musuh.

Maka rakyat perlu bertanya dengan jujur, apa sebenarnya motif demonstrasi ini? Perhimpunan dijenamakan sebagai suara rakyat. Namun siapakah penganjur sebenar? Siapa yang membiayainya? Adakah mereka mempunyai motif politik?

Jika diperhati, perhimpunan ini bukan soal rakyat kelaparan, tetapi soal golongan elit politik yang haus kuasa. Kononnya berjuang kerana ekonomi, harga barang, dan kos sara hidup. Tetapi sebenarnya hanya tertekan kerana tidak berada di puncak kuasa. Sesoleh apapun seseorang itu, mesti akan wujud golongan yang tidak menyukainya, kerana itulah lumrah manusia yang dikuasai nafsu.

Islam tidak larang menegur pemimpin, tapi caranya bukan dengan caci maki dan provokasi terbuka. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa ingin menasihati pemimpin, jangan lakukan secara terbuka, tetapi secara rahsia. Jika dia terima, alhamdulillah. Jika tidak, dia telah menunaikan tanggungjawabnya.” - (H.R. Tirmidzi)

Sudah cukup kita sebagai rakyat dijadikan alat kuasa. Hari ini, kita memerlukan suara yang membina, bukan membakar. Kita perlukan kestabilan, bukan konflik. Di saat dunia sedang menuju era ketidakpastian — dengan kemunculan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan gelombang Islamofobia dari Barat yang semakin licik — umat Islam di Malaysia tidak punya masa untuk terus terjebak dalam konflik politik yang tidak berkesudahan.

Demokrasi telah memberi kita ruang yang adil untuk memilih kepimpinan melalui pilihan raya yang sah dan terbuka. Maka, sudah tiba masanya kita menghormati keputusan itu dan membina negara, bukan meruntuhkannya dengan retorik jalanan yang sia-sia.

Kita sebagai rakyat mesti kembali kepada formula kekuatan sebenar ummah kita, iaitu kerjasama erat antara Ulama’ dan Umara’. Ulama’ membimbing dengan ilmu dan hikmah, manakala Umara’ mentadbir dengan amanah dan tanggungjawab. Tanpa perpaduan kerjasama dua tonggak ini, umat Islam akan longlai dan lemah dalam menghadapi badai global yang mendatang.

Dalam konteks ini, pelancaran Halaqah Ilmu MADANI oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini adalah langkah yang sangat tepat. Inilah medan untuk memperkukuhkan akhlak, ilmu dan taqwa dalam masyarakat. Bukan sekadar ceramah, tetapi satu gerakan pencerahan yang boleh menyatukan rakyat pelbagai latar belakang di bawah panji Islam yang rahmatan lil ‘alamin.

Marilah kita hentikan perpecahan dan kembali kepada jalan ilmu, akhlak dan perpaduan. Malaysia memerlukan kita semua bukan sebagai penyokong parti, tetapi sebagai pendukung ummah.

Dalam Surah Al-Imran ayat 26, Allah SWT mengingatkan:
Engkaulah yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki…” - (Surah Ali-Imran, Ayat 26)

Menukar pemimpin bukanlah satu dosa. Tetapi menukar pemimpin tanpa adab, tanpa sabar, dan dengan jalan pemberontakan, hanya akan membawa padah kepada masyarakat keseluruhannya. Cukuplah kita dijadikan alat. Cukuplah kita ditipu dengan emosi. Kembali kepada prinsip Islam. Kembali kepada akhlak yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019394
Hari ini: 244
Minggu Ini: 1,989
Bulan Ini: 4,535
Tahun Ini: 19,394
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.