Sandiwara Jalanan
Setiap tahun, kita dihidangkan benda yang sama. Protes. Jeritan. Plakad. Konfrontasi. Namun tujuan sebenar himpunan tetap terselindung. Yang tinggal hanyalah sampah di jalan, jeritan slogan dan luka lama yang tidak pernah sembuh. Kini, pada 26 Julai, skrip lama dimainkan semula. Tetapi adakah rakyat masih mahu diperbodohkan?
Apa Yang Sebenarnya Dituntut?
Kononnya turun ke jalanan adalah demi menyuarakan suara rakyat yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi, kelemahan kepimpinan, serta pengkhianatan terhadap amanah. Tetapi di sebalik jeritan suruh turun, terselit satu tuduhan yang lebih bahaya. Mereka menuduh pemimpin hari ini sebagai “zalim”, ibarat seorang diktator yang menindas rakyat. Tetapi apa makna zalim jika pada masa yang sama, kerajaan inilah yang menyalurkan bantuan tunai kepada ribuan keluarga asnaf? Memperkasa institusi zakat dan juga mahkamah syariah? Malah menyuburkan majlis-majlis ilmu melalui JPM Hal Ehwal Agama juga menjadi matlamat utama kerajaan sedia ada.
Data Tidak Menipu
Tidak boleh dinafikan bahawa ekonomi Malaysia perlahan-lahan sedang bangkit. Pelaburan asing atau FDI adalah di paras tertinggi dalam 10 tahun, sektor tenaga hijau dan ekonomi digital berkembang pesat, dan inflasi masih terkawal meskipun dunia dilanda krisis. Namun fakta seperti ini tidak viral, oleh kerana ia tidak menguntungkan naratif berapi-api. Yang penting bagi sesetengah mereka hanyalah kuasa, dan bukan kemajuan rakyat.
Islam Mekar Di Bawah MADANI
Ironinya, kerajaan yang dituduh “zalim” inilah yang memartabatkan Islam secara konsisten. Majlis Ilmu Madani kini menjadi platform ilmuwan Islam dan rakyat berdialog, program pembangunan institusi tahfiz dan guru takmir dipertingkatkan, dan usaha memperkukuh Mahkamah Syariah diberi peruntukan besar. Ini bukan retorik tetapi fakta yang boleh disemak. Justeru mengapa fakta-fakta ini tidak diberi perhatian? Ia kerana naratif kebenaran tidak laku dalam pasaraya fitnah.
Fitnah, Zalim & Perspektif Islam
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini…”
Menuduh seorang pemimpin sebagai “zalim” tanpa bukti dan hujjah kukuh adalah satu bentuk ketidak-adilan baru. Ia hanyalah permainan persepsi di media sosial, hingga terbawa-bawa ke jalanan. Sedangkan medan sah untuk ketengahkan isu-isu sudah tersedia di Parlimen, untuk perbahasan, penjelasan dan semak imbang. Adakah ini budaya politik matang yang akan kita wariskan, atau sebenarnya wajah ketandusan idea?
Dalam Islam, kezaliman bukan sekadar penindasan fizikal atau kejam terhadap rakyat. Maksud zalim itu jauh lebih besar dan mendalam. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:
“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar.” - (Surah Luqman, Ayat 13)
Ini menunjukkan bahawa kezaliman menurut Islam ialah segala bentuk perbuatan yang melanggar batas ketuhanan dan kemanusiaan – termasuklah menuduh tanpa bukti, menyebar fitnah, atau mencipta kebencian dalam kalangan masyarakat.
Hari ini, kita lihat bagaimana sesetengah pihak melemparkan tuduhan zalim sewenang-wenangnya, di pentas ceramah, media sosial, dan kini melalui perhimpunan. Ironinya, mereka sendiri gagal menampilkan bukti kukuh terhadap dakwaan-dakwaan tersebut. Gagal untuk memperjelas tuduhan secara intelektual dan di medan Parlimen. Sebaliknya, diulang-ulang dalam bentuk kempen kebencian yang emosional dan melampaui batas.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 72 pula menyatakan:
“Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” - (Surah Al-Ahzab, Ayat 72)
Ayat ini menjadi cermin kepada kita semua, bahawa tuduhan dan kezaliman sering datang dari mereka yang tidak mampu menguruskan nafsu kuasa dan kecewa kerana gagal mengambil alih pentadbiran negara. Maka persoalan yang lebih penting untuk difikirkan adalah – siapa sebenarnya yang sedang berlaku zalim?
Memaku Dulang Paku Serpih
“Memaku dulang, paku serpih. Mengata orang, dia yang lebih.” Satu peribahasa, seribu kebenaran. Peribahasa ini memberi gambaran jelas tentang realiti politik Malaysia hari ini. Rakyat menilai kepada pencapaian kepimpinan, dan bukan laungan slogan serta serangan peribadi.
Kerajaan hari ini bukan hanya bercakap tanpa tindakan. Sebagai contoh, JPM Hal Ehwal Agama membuktikan komitmen melalui program-program seperti Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani yang membangkitkan kesedaran kerohanian masyarakat, pelancaran International Conference of Religious Leaders serta Majlis Ulama Asia yang membawakan ulama dunia ke tanah air.
Di peringkat nasional, Mahkamah Syariah diperkasakan melalui kajian cadangan Akta 355, melancarkan Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022–2026, serta menggiatkan usaha menangani isu mental melalui sokongan psikospiritual bersama JAKIM dan YADIM.
“Program seperti Bijak Tani Hidroponik dan Musa’adah Tijariyyah turut memberi harapan kepada pertumbuhan keusahawanan asnaf. Tidak lupa juga Pavilion Al‑Falah (2TM) yang menjadikan teknologi robotik, hologram dan VR sebagai medium dakwah interaktif, sambil meraikan pelbagai aktiviti ilmiah Islam.
Ummah Perlu Bersatu
Dunia kini berdepan cabaran besar, dengan kemunculan AI dan ketidaktentuan ekonomi global, serangan Islamofobia dari Barat, serta ancaman kepada nilai moral dan keluarga Islam. Adakah kita mahu hadapi ini semua dalam keadaan pecah-belah dan saling membenci? 26 Julai bukan lagi tentang rakyat semata-mata. Ia adalah panggung sandiwara yang ditulis oleh mereka yang sudah hilang kuasa. Kita boleh memilih sama ada untuk terus dilamun drama politik, atau nekad untuk mengubah sikap diri sendiri. Jangan menzalimi diri kita dengan fanatisme politik, tetapi berusahalah untuk tingkatkan kualiti hidup dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan manusia sekeliling.
