Doa adalah senjata orang mukmin. Ia penghubung rohaniah antara hamba dan Pencipta. Namun hari ini, disebabkan perbalahan politik, doa yang asalnya baik disalahguna. Sama ada sedar atau tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika, dan telah mencipta jurang persaudaraan Islam dan kemanusiaan yang semakin lebar dan dalam.
Qunut Nazilah adalah doa yang diajar Rasulullah SAW bagi memohon pertolongan Allah saat umat Islam dizalimi oleh musuh yang nyata. Ia bukan senjata politik untuk menjatuhkan sesama Muslim. Sepatutnya doa yang ditujukan kepada umat Islam hendaknya berbentuk kebaikan umum dan menyeluruh seperti memohon keselamatan, petunjuk hidayah, jalan petunjuk yang lurus dan sebagainya. Sebab itulah doa melaknat manusia lain untuk sesuatu tujuan jahat maka biasanya permohonan itu tidak diperkenankan oleh Allah SWT, sama juga dengan solat yang dilakukan dengan niat yang tidak ikhlas iaitu solat bukan kerana Allah tetapi kerana niat bermegah-megah, sekalipun tujuan solat itu adalah baik dan dibenarkan tetapi permohonan itu tetap tidak termakbul.
Pada hakikatnya doa yang buruk yang ditujukan kepada umat Islam lain itu, akan terkena pada dirinya juga kerana kita sendiri sebahagian daripada mereka. Adapun berdoa berjemaah meminta kehancuran pemerintah, ia jelas perbuatan bidaah dan maksiat mirip amalan Khawarij.
Doa ke atas pemerintah di hadapan khalayak, ia bukan doa. Barangkali ia lebih kepada riak menzahirkan amal ibadah. Apapun, doa ke atas pemerintah di hadapan khalayak lebih sesuai dikatakan sebagai MENGHASUT dan MENCERCA pemerintah. Ia bukan doa.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan Al-Kafi #1993 bertajuk “Hukum Membaca Doa Qunut Nazilah Ke Atas Sesama Orang Islam” telah menyatakan; “Perbuatan membaca doa qunut nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan. Apatah lagi jika hanya melibatkan perselisihan faham dan pandangan yang biasa dalam politik dan seumpamanya.
Hal ini seharusnya dielakkan kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan yang ekstrim dan melampau dalam agama.” Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Naim Mokhtar juga telah menegaskan bahawa; “Doa adalah amalan yang harus menenangkan jiwa, bukan menyemarakkan radikalisme politik.”
Beliau menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati kedudukan doa dari sudut syariat Islam serta menggunakannya secara sempit demi kepentingan diri serta kumpulan tertentu.
Menurut Dato dr Naim lagi politik yang mencipta naratif kebencian dan tuduhan yang ghuluw tidak akan memberi impak positif kepada negara. Ia hanya akan memecah-belahkan masyarakat dan menjadikan perbezaan pendapat politik menjadi parah, dan mengundang kecaman berbalas-balas.
Ibadah seperti doa bukan hak eksklusif mana-mana parti politik. Menjadikan doa sebagai alat membina persepsi buruk kepada pihak lawan adalah manipulasi agama yang sangat bahaya. Ia akan membuka ruang kepada fahaman radikalisme, ekstremisme dan perpecahan ummah yang sangat mendalam.
Rasulullah SAW bersabda: “Mencela seorang muslim adalah fasik dan membunuhnya adalah tindakan kufur.” [Muttafaqun ‘alaih].
Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: as-Sabb bererti: mencela dan berbicara tentang kehormatan manusia dengan sesuatu yang mencelanya. Dan al-Fisq secara bahasa bererti keluar, dan yang dimaksud dengannya dalam syari’at adalah keluar dari ketaatan. Maka mencela seorang muslim secara tidak benar adalah haram berdasarkan ijma’, dan pelakunya adalah orang fasik, seperti yang dikabarkan oleh Nabi SAW.’ (Syarh Muslim: 2/241).
Maka apakah orang-orang yang mendoakan keburukkan ke atas orang Islam lain atas dasar politik, tidak tahu bahawa dengan hal itu mereka menjadi orang-orang fasik? Islam tidak menafikan kewajipan menasihati pemimpin, tetapi ia harus dilakukan dengan adab dan cara yang diajar oleh syarak. Menegur di hadapan umum dengan niat memalukan, mencaci, atau menjatuhkan maruah pemimpin bukanlah ajaran Islam.
Umat Islam di Malaysia perlu matang dan bijak menilai. Jangan benarkan agama diperalatkan demi nafsu politik kepartian. Jangan biarkan emosi mengatasi akal, dan jangan biarkan fitnah memecahkan ummah. Berdoa itu sepatutnya menyatukan umat, bukan mencetuskan perpecahan. Amatlah dikesal kiranya, di negara kita terdapat segolongan manusia yangIslam memohon hajat kepada Allah SWT agar dimatikan musuh politik tidak lain hanya kerana tidak sependapat dengan mereka. Mereka mengistilahkan doa itu sebagai doa dibenarkan oleh agama. Sedangkan apa yang kita tahu Nabi SAW tidak pernah memohon kebinasaan bagi suatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal.
Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih.”
Maka, tanggungjawab kita hari ini adalah mendukung dakwah yang ikhlas, bukan dakyah yang penuh kepura-puraan. Dakyah untuk merebut kekuasaan dengan menperalatkan agama. Apakah Ini gambaran akhlak sebenar mereka yang ingin memerintah atau menguruskan negara? Berhentilah menbaca doa memusnahkan sesama umat Islam, lambat laun jika mereka masih berdegil doa yang sering dibaca itu akan bertukar melaknat diri sendiri.
