Istilah Disanjung, Amalannya Tertinggal
Dalam politik Malaysia, kita sering didendangkan dengan istilah-istilah Arab yang kedengaran begitu suci. Tahaluf Siyasi, Ta’awun Siyasi dan Maslahah Ummah. Semua ini kedengaran mulia di telinga, tetapi bagaimana dengan amalannya?
Istilah-istilah seperti ini seharusnya membimbing tindakan seseorang atau sebuah organisasi. Namun apa yang kita lihat, ia hanya dijadikan perisai untuk memanipulasi kuasa, memanipulasi persepsi, dan menutup kelemahan diri.
Tahaluf Siyasi: Ketika Kuasa Diidamkan
Tahaluf Siyasi, kerjasama politik demi maslahah bersama. Slogan atau penjenamaan ini digunakan ketika hendak dilihat sebagai meraikan kepelbagaian agama dan bangsa. Namun sejarah membuktikan, istilah ini hanya digunakan ketika kuasa diidamkan. Apabila runtuh kerjasama dengan parti lain, dilabel pula seteru politik sebagai Kafir Harbi.
Pada tahun 2020 pula, muncul istilah Ta’awun Siyasi, dalam euforia menubuhkan Muafakat Nasional. Namun sekali lagi, apabila kerjasama itu tidak lagi menguntungkan, ‘ta’awun’ itu ditinggalkan. Maka melompat pula bersama rakan kongsi baharu atas nama Maslahah Ummah.
Ironinya, jenama atau ‘branding’ yang ‘patuh syarie’ ini digunakan sekadar selendang, dipakai bila sedap, ditanggalkan bila tidak lagi berguna.
Muwajahah Silmiyah: Damai Di Lidah, Fitnah Di Pentas Ceramah
Yang terbaharu sekali muncul pula istilah Muwajahah Silmiyah — perjuangan secara damai. Jenama ini pula digunakan untuk memberi legitimasi kepada demonstrasi jalanan, kononnya perhimpunan menjerit-jerit slogan dan mendoakan kehancuran pemimpin negara itu adalah perjuangan yang damai. Adakah maksud mereka bahawa Muwajahah Silmiyah itu termasuk sekali dengan serangan peribadi, membunuh karakter, mencerca pemimpin, menghina dan mengutuk orang Islam lain?
Adakah versi kedamaian itu dilahirkan melalui Qunut Nazilah terhadap pemimpin negara?
Firman Allah dalam Surah As-Saff, ayat 2-3:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Amat besar murka Allah kepada orang-orang yang hanya mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan.”
Asal-Usul Rekaan Muwajahah Silmiyah
Mungkin mereka tidak sedar bahawa Muwajahah Silmiyah bukanlah istilah yang wujud dalam al-Quran mahupun Hadith. Ia sebenarnya satu istilah rekaan yang dipopularkan oleh sejak 1980-an, sebagai “jenama” kepada pendekatan politik.
Malah gerakan Islamiyah di Timur Tengah, Afrika Utara, mahupun Asia Selatan, tidak pernah menggunakan istilah ini. Justeru Muwajahah Silmiyah diperkenalkan bagi memberi legitimasi syarak kepada percaturan politik mereka.
Contoh pertama dalam sejarah Islam, di mana kita melihat konsep pendekatan Silmiyah dilaksanakan, adalah di zaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Ketika beliau menghadapi golongan murtad sewaktu Peperangan Riddah, beliau memulakan dengan seruan damai, menulis surat, mengutuskan peringatan. Tetapi apabila seruan ditolak, Abu Bakar bertindak tegas demi menjaga agama dan maruah ummah. Namun ketika itu, Saidina Abu Bakar merupakan pemimpin umat Islam, dan bukan parti politik yang ingin kembali berkuasa.
Islam Tidak Perlukan Slogan
Apabila istilah yang berbunyi Islami dimanipulasi, ia hanya bermotifkan untuk mengaburi penyokong, menyalakan emosi mereka dan mencipta naratif bahawa pihak lawan tidak ‘Se-Islam’ seperti mereka. Dan ketika gerakan atau kerjasama politik tidak menjadi, slogan disimpan di dalam almari buruk dan dikunci.
Rakyat hari ini perlu melihat kepada hasil, bukan kepada retorik. Islam itu pula tentang siapa paling jujur dalam menunaikan amanah Allah SWT dan rakyat jelata. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit dari hipnosis dan dendangan istilah-istilah Arab. Kerana agama suci ini tidak perlukan slogan, hanya usaha dan tindakan proaktif untuk memartabatkan Islam dalam negara.
