MUSUH ISLAM SEDANG BERGERAK: JANGAN LEKA DENGAN FITNAH

MUSUH ISLAM SEDANG BERGERAK: JANGAN LEKA DENGAN FITNAH

Hari ini, umat Islam sedang dikepung. Dikepung oleh genggaman Zionis, penyelewengan media antarabangsa, dan naratif di media sosial. Musuh-musuh Islam bekerja siang dan malam untuk memadamkan legasi ummah ini. Untuk menghancur selumat-lumatnya.

Mereka bersatu atas dasar kebencian. Atas dasar untuk menghapuskan Islam dimuka bumi ini. Sedangkan kita, masih leka dan khayal dan berbalah sesama sendiri tentang perkara furu’, tentang siapa yang lebih berkuasa. Betapa naifnya umat Islam hari ini. Kemanakah halatuju ummah kita?

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” - (Surah Al-Baqarah, Ayat 120)

Ayat ini juga adalah ayat zajrun (ayat ancaman) dari Allah SWT, jikalau umat Islam ikut cara beragama Yahudi dan Nasara itu. Yahudi dan Nasrani menyangka agama mereka itulah yang terbaik. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa Islam yang sebenar, mereka berharap bangsa Arab itu memeluk agama mereka.

Mereka juga mahu kita ikut cara mereka, kerana mereka hendak kita tinggalkan agama Islam. Walaupun tidak murtad pun tidak mengapa, asalkan mengikut cara hidup mereka terutama, seperti yang terlihat di zaman ini. Selagi tidak mengikut telunjuk mereka, selagi itu mereka akan mengkhianati umat Islam. Dan bagi yang tidak mengikut, akan dimomokkan pula dengan gerakan Islamofobia.

Di Amerika Syarikat sahaja, lebih 105 juta dollar US dibelanjakan untuk membiayai kumpulan anti-Islam. Mereka mengawal media, memfitnah Islam di parlimen, dan memanipulasi media sosial. Organisasi seperti Clarion Project, David Horowitz Freedom Center, Gatestone Institute dan MEMRI pakar dalam menghasilkan dan menyebarkan propaganda anti-Muslim. Kumpulan ini mempunyai kaitan dengan media arus perdana dan mempengaruhi persepsi awam di peringkat global. Naratif “Islam sebagai ancaman” secara konsisten diangkat melalui filem, artikel penulisan, dan lobi politik yang dibiayai oleh rangkaian ini.

Inilah yang seharusnya umat Islam memikirkan, bukan sibuk berdebat sesama sendiri tanpa sedikit kerisauan tentang gerakan musuh. Inilah kelemahan yang sedang dimanfaatkan oleh mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud;
Paling keras permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang-orang Yahudi dan Musyrikin.” - (Surah Al-Ma’idah ayat 82)

Musuh-musuh Islam memahami bahawa peperangan moden adalah perang naratif. Hari ini, senjata mereka yang paling ampuh adalah maklumat. Mereka mengawal media, membentuk persepsi, dan merosakkan minda umat Islam. Di negara US dan benua Eropah, kejadian buli di sekolah, insiden anti-masjid dan ucapan kebencian dalam talian telah meningkat dengan ketara, disebabkan ekosistem Islamofobia ini. Dari 2014 hingga 2019, lebih 10,000 insiden berat sebelah anti-Muslim dilaporkan, termasuk keganasan fizikal dan jenayah kebencian.

Namun kita masih leka. Anak muda yang sepatutnya menjadi barisan hadapan generasi seterusnya, terjerumus dalam permainan media sosial, meninggalkan adab dan akhlak demi status dan pujian dari khalayak ramai. Malah terikut-ikut dengan tren yang dibawa oleh negara-negara Barat itu sendiri, kerana dianggap progresif dan terbuka. Hilang akal, adab dan akhlak, oleh kerana media sosial.Mereka menjadi manusia yang tidak rasional lagi. Mereka mengikut hawa nafsu semata-mata.

Sedangkan Islam menyanjung tinggi kesempurnaan akhlak. Siapa pun yang mencapai kesempurnaan akhlak pada dirinya melalui usaha dan mujahadah berterusan, maka dia telah memperolehi kejayaan hidup tertinggi dan pastinya akan beroleh ganjaran terbesar di sisi Allah nanti. Ia termaktub kukuh di dalam ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawiyah.

Tetapi sebahagian daripada kita adalah sebaliknya. Semakin tua semakin tidak berakhlak. Semakin tua semakin tidak beradab. Seolah-olah akhlak itu hanya pilihan. Akhlak hanyalah untuk diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Di universiti, semua bebas dengan pilihan masing-masing. Mereka hilang adab terhadap para ulama’ dan guru, orang tua dan ketua atau pemimpin, serta rakan dan taulan.

Walaupun seseorang itu adalah muslim, Allah SWT menolak untuk terus menggelarkannya sebagai seorang yang beriman. Allah menuntut Nabi Muhammad SAW membuat teguran terbuka terhadap arab badwi yang baru memeluk Islam dan berkata, “Kami telah beriman.” Hakikatnya mereka hanya muslim dan belum layak menggelar diri sebagai mukmin.
Katakanlah kepada mereka, kamu belum pun beriman. Tetapi ucaplah, kami telah menjadi muslim, manakala iman itu belum lagi masuk (mengukuh) di dalam hati kamu.” – (al-Hujurat:14)

Allah menuntut muslim bergerak dengan ilmu dan amal untuk menuju iman. Jika seseorang itu jahil, maka sukar baginya untuk menjadi mukmin. Dia hanyalah seorang muslim. Jangan berlagak sombong di hadapan Allah SWT, rasul-Nya dan agama-Nya.

Orang yang menyombong, tidak beradab dan tidak berakhlak di hadapan para guru dan ulama’ akan gagal memperolehi ilmu yang bermanfaat, dan akan keras jiwanya untuk taat kepada Allah SWT.Kehidupan mereka sentiasa dalam kejahilan dan kebodohan. Ia akan kekal sebagai muslim yang belum pun beriman.

Kebodohan merupakan salah satu penyebab fitnah yang paling besar dan penting serta menjadi penyebab jatuhnya banyak orang. Hudzaifah pernah ditanya, fitnah apa yang paling berat? Ia menjawab, ”ia itu ketika kebaikan dan keburukan dihadapkan kepada kamu namun kamu tidak tahu mana yang harus kamu ikuti”

Nabi saw bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di antara syarat tanda terjadinya kiamat adalah melimpahnya harta, banyaknya kebodohan, munculnya berbagai fitnah dan meluasnya perniagaan (Hadis riwayat An-nasai dan al-hakim)

Syaitan dan segala musuh-musuh Allah SWT di luar sana akan sentiasa berusaha untuk memesongkan ajaran Islam. Tanpa ilmu dan amal, seseorang itu akan hilang kesedaran terhadap tipu daya musuh. Akhirnya dia dihiasi dengan perasaan dan anggapan bahawa dia telah baik pengertian Islamnya. Dia merasakan dia setaraf orang-orang yang beriman. Hakikatnya, dia tertipu dan sedang menipu dirinya sendiri. Dia sentiasa di ambang menjadi seorang munafik yang dimurkai Allah.

Umat Islam hari ini berada di persimpangan. Kita boleh terus leka dengan pertelingkahan kecil, atau kita boleh bangkit dan sedar bahawa musuh Islam sedang merancang kejatuhan kita. Firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 46:
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” - (Al-Anfal, ayat 46)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017946
Hari ini: 198
Minggu Ini: 541
Bulan Ini: 3,087
Tahun Ini: 17,946
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.