Baru-baru ini, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita penipuan kutipan derma oleh sebuah NGO, yang mendakwa membantu anak yatim dan mangsa perang. Namun, siasatan pihak berkuasa mendedahkan, wang yang dikutip tidak sampai ke tangan penerima. Sebaliknya, ia disalahguna untuk kepentingan peribadi. Persoalannya, berapa ramai lagi di antara kita yang tertipu atas nama agama?
Sedekah adalah amalan mulia yang bukan sahaja membersihkan harta, tetapi juga jiwa seorang muslim. Sedekah merupakan pelaburan akhirat, satu jalan untuk meraih redha Allah SWT, membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan, dan menyokong perjuangan atau dakwah Islam. Tetapi, seperti semua perkara yang berkait dengan amanah, ia mesti dipastikan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Masalah penipuan atas nama agama timbul oleh kerana beberapa faktor. Yang pertama sekali adalah sikap orang Islam, terutamanya di Malaysia, yang sangat mudah memberi infaq tanpa usul periksa. Siapa yg memohon infaq itu? Siapa pula yang menerimanya? Wujudkah institusi yang meminta itu, atau benarkah orang yang meminta itu betul-betul fakir miskin?
Sedangkan sifat Tabayyun menjadi tuntutan untuk orang Islam, supaya kaum muslimin sentiasa mencari verifikasi sebelum membuat keputusan. Allah SWT memberi peringatan dalam Surah Al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun)…” - (Al-Hujurat, ayat 6)
Sang penipu seringkali membawa tawaran yang dikaitkan dengan agama seperti infaq, pelaburan halal dan lain-lain, tetapi mangsa gagal melakukan penelitian mendalam. Prinsip tabayyun ini bukan hanya untuk berita yang sampai kepada kita, tetapi meliputi semua urusan duniawi, termasuk transaksi kewangan.
Satu sifat manusia, terutamanya di kalangan muslimin, adalah mempercayai orang-orang yang membawa gelaran atau pangkat yang tidak diverifikasi. Penggunaan gelaran Ustaz, Haji, Doktor, Sifu dan sebagainya, serta bacaan ayat Al-Quran ketika live di media sosial, sering cukup untuk meyakinkan orang ramai tanpa membuat verifikasi latar belakang, kelulusan syariah produk yang mereka jual, atau kelulusan pihak berkuasa. Inilah kelemahan yang paling ketara, tidak mengamalkan tabayyun sebelum mempercayai individu lain dengan mengikut gerakan emosi.
Emosi mengatasi rasionaliti, oleh kerana keinginan tinggi untuk beribadah, cepat kaya atau takut dianggap kurang beriman jika menolak tawaran Islamik, yang mengaburi pertimbangan logik. Penipu sengaja memanipulasi emosi ini untuk mengaut keuntungan haram.
Muslimin hari ini juga kurang ilmu praktikal agama, dalam urusan dunia. Ramai antara kita memahami ibadah ritual seperti solat dan puasa, tetapi kurang didedahkan pada konsep muamalat Islam yang menekankan keadilan, transparensi, dan pengharaman penipuan atau gharar. Akibatnya, kita mudah tertipu dengan skim-skim patuh syariah yang menipu atas nama agama.
Kajian oleh Pusat Pemulihan Aset Negara (PERC) mendedahkan ramai mangsa penipuan pelaburan syariah palsu mengaku tidak menyemak status syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau kelulusan Bank Negara Malaysia, hanya percaya pada promosi menggunakan Quran dan perwatakan agama sebagai bahan promosi. Sebagai contoh dalam kes-kes agensi umrah palsu, mangsa membayar deposit tinggi tanpa memastikan dahulu lesen Kementerian Pelancongan (MOTAC) atau rujuk Lembaga Tabung Haji (TH).
Penipuan atas nama agama wujud dalam pelbagai bentuk dan warna. Semuanya menggunakan agama untuk mengaburi mata mangsa dengan pulangan lumayan, dunia dan akhirat. Skim pelaburan emas yang didakwa patuh syariah berjaya mengumpul harta yang banyak. Namun ia hanya permainan wang seperti MLM, dan pelabur yang tertipu atas nama agama masih tidak dapat pulangan dari pelaburan mereka.
Agensi pelancongan tidak berlesen menawarkan pakej umrah dan haji yang murah, dengan jaminan slot haji atau tiket umrah eksklusif. Mangsa membayar deposit besar, tetapi agensi kemudian hilang atau mencipta alasan untuk melepaskan diri.
Skim Wakaf & Sedekah Palsu dengan menggunakan nama “Yayasan Islam”, “Tabung Pembinaan Masjid atau Madrasah”, atau “Hidup Palestin” untuk mengutip dana. Lalu duit itu disalurkan kepada perniagaan lain, atau ke kocek sendiri. Hanya berbekalkan gambar-gambar menyayat hari dan ayat Islamik dalam promosi mereka di media sosial.
Penipuan produk halal dan makanan Sunnah dipromosikan sebagai 100% Halal, mampu menghilangkan segala penyakit, dan dijual dengan harga berkali-kali ganda. Penipuan khidmat Perubatan Islam atau Syifa’, untuk menyelesaikan masalah rumah tangga, masalah kanser dan sebagainya dengan bacaan ayat suci Al-Quran. Bayaran tinggi diminta, tanpa hasil seperti yang dijanjikan.
Malah jaringan keganasan seperti ISIS juga menipu atas nama agama. Mereka menggunakan naratif agama untuk memeras wang dari kaum Muslimin, mendakwa mereka sedang berjihad di jalan Allah. Namun dana yang dikumpul digunakan untuk keganasan dan kegunaan peribadi.
Justeru umat Islam tidak boleh membiarkan niat murni kita dimanipulasi oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Penipuan atas nama agama ini tidak akan terbanteras selagi mana kita tidak kembali kepada seruan tabayyun, dan melakukan verifikasi sebelum membuat keputusan. Semoga Allah menerima amal kita dan melindungi kita daripada fitnah di dunia dan akhirat.
“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” - (Al-Baqarah, ayat 272)
Bersedekah, berwakaf, atau melabur kepada penipu agama adalah tindakan yang tidak bijak. Mereka ini semakin licik, maka penting untuk kita selalu memastikan kesahihan penerima sebelum melakukan transaksi. Jika anda menjadi mangsa penipuan, segera hubungi bank anda atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, kata video kempen pencegahan penipuan Bank Negara Malaysia (BNM).
