KES ZARA QAIRINA: BULI & KEADILAN SOSIAL

KES ZARA QAIRINA: BULI & KEADILAN SOSIAL

Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya. - Riwayat Tirmizi (1430)

Hadis yang telah dibacakan adalah prinsip keadilan yang diajarkan oleh junjungan kita, Rasulullah saw. Nabi bersifat teguh, tegas, dan tanpa kompromi, walaupun kepada darah daging Baginda sendiri. Tegasnya Nabi saw dalam menjalankan hukuman adalah kerana hendak menegakkan keadilan sosial. Pangkat dan kedudukan tidak mengecualikan seseorang daripada hukuman keadilan. Justeru pemimpin hari ini perlu teguh dalam menegakkan keadilan, supaya masyarakat dapat meneruskan hidup dengan aman.

Di dalam kes Zara Qairina, masalah ‘buli’ ini sebenarnya lahir daripada krisis adab. Dalam Islam, adab adalah asas kepada ilmu dan akhlak. Tanpa adab, ilmu tidak membawa rahmat, dan bakal menjadi senjata yang merosakkan. Imam Malik RH pernah berkata kepada seorang pemuda Quraisy: “Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.” Tetapi realitinya, kita semakin terbalik.

Ibu-bapa hari ini lebih mengejar prestasi akademik dan sekolah-sekolah ternama, namun membiarkan roh pendidikan, iaitu adab, terus terpinggir dan akhirnya mati. Jika siasatan menyeluruh yang sedang dijalankan pihak berkuasa sekarang ini menunjukkan bahawa arwah adik Zara Qairina dizalimi, maka dari sudut Islam kita wajib membela dan membantu keluarga beliau demi menegakkan kebenaran. Ia berdasarkan hadith Nabi SAW yang bermaksud; “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”. - [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2263, 2264 dan 2438]

Di zaman Rasulullah, seorang wanita dari Bani Makhzum, iaitu kabilah yang berpengaruh di kalangan kaum Quraysh, telah mencuri. Namun tiada sesiapa yang berani untuk memaklumkan kepada Nabi saw, kerana menjaga kedudukan Bani Makhzum itu.

Baginda marah lalu bangkit berkhutbah. Sabda Nabi saw: “Apakah kamu meminta syafaat (supaya hukuman digugurkan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” - (HR al-Bukhari dan Muslim)

Keadilan tidak mengenal pangkat, kedudukan atau latar belakang. Inilah sunnah Rasulullah saw yang mesti dihidupkan, dengan menegakkan hak tanpa memilih kasih. Terkini, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah menyatakan bahawa penyiasatan kes adik Zara tidak dijalankan mengikut SOP, dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes akan dikenakan tindakan tegas. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Adakah kita sudah hilang prinsip menegakkan keadilan? Manakala Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya diadakan inkues berhubung kematian adik Zara Qairina. Keputusan ini dibuat selepas pihak Jabatan meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM baru-baru ini. Inkues ini akan dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian termasuk menyiasat sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes yang menyayat hati ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebajikan, dan memberi kepada kaum kerabat, dan Dia melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.” - (An-Nahl: 90) 2

Islam amat menekankan kepada keadilan. Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya berlaku adil dalam semua perkara. Keadilan perlu ditegakkan tanpa mengira siapa. Ini selari dengan firman Allah dalam ayat 135, Surah an-Nisa’ yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum-kerabat kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 135)

Jangan biarkan tragedi seperti ini berulang. Kembalilah kepada adab yang diajar oleh Islam, kerana tanpa adab, generasi masa hadapan kita semua akan menjadi pembuli, dalam apa jua bentuknya. Sebagai orang Islam, sebaik-baiknya kita mendoakan keluarga adik Zara Qairina supaya mereka mendapat hak keadilan yang sewajarnya. Sejurus itu, semua masjid dan surau di bawah JAKIM serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk Allahyarhamah Zara Qairina. Majlis ini diadakan atas arahan Menteri Hal Ehwal Agama sebagai tanda kasih sayang, solidariti dan doa kesejahteraan buat Almarhum serta sokongan kepada keluarganya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019391
Hari ini: 241
Minggu Ini: 1,986
Bulan Ini: 4,532
Tahun Ini: 19,391
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.