Negara Islam adalah negara musyawarah, negara kedaulatan rakyat. Kedaulatan tertinggi bukan terletak pada perintah seseorang tetapi kedaulatan itu tersimpul dalam permusyawaratan. Kebaikan serta keutuhan sesebuah negara serta pemerintahannya tidak sekadar dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin tertinggi saja, tetapi harus sama-sama dipikul oleh semua pihak.
Keberhasilan serta kejayaan umat itu merupakan hasil daripada perpaduan dan kekuatan; yang memimpin dan yang dipimpin. Yang berdaulat dengan sendirinya hanyalah Tuhan semata-mata, tunggal tanpa ada duanya. Sehubungan dengan ini Allah SWT berfirman dalam surah Al-Imran ayat 159 yang bermaksud: ”Maka dengan sebab rahmat(yang melimpah-limpah)dari Allah(kepada mu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut mu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap mu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyurat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya.”
Ayat diatas ditujukan kepada nabi Muhammad saw agar memusyawarahkan persoalan-persoalan tertentu dengan sahabat atau anggota masyarkatnya. Pada hakikatnya ayat ini juga merupakan petunjuk kepada setiap muslim, khususnya pada setiap pemimpin agar bermusyawarah dengan anggotanya. Inilah petunjuk yang diisyaratkan Al-Quran mengenai beberapa sikap yang harus dilakukan seseorang itu bag menjayakan musyawarah.
Pertama; apa yang harus dilakukan dalam musyawarah ini ialah kebulatan tekad untuk melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam musyawarah tersebut. Demikian juga seseorang yang melakukan musyawarah, apalagi sebagai pemimpin, harus menghindari tutur kata yang kasar serta sikap keras kepala. Setiap pemimpin harus berlembut kalau tidak musyawarah akan berakhir dengan kegagalan.
Kedua; memberi maafan menbuka lembaran baru. Dalam ayat diatas disebutkan sebagai Fa’fu anhum (maafkan mereka). Maaf, secara harfiah bererti “menghapus”. Memaafkan adalah menghapuskan bekas luka dihati akibat perlakuan pihak lain yang dinilai tidak wajar. Ini perlu, kerana tiada musyawarah tanpa pihak lain, sedangkan kecerahan fikiran hanya hadir bersamaan dengan sirnanya kekeruhan hati.
Orang yang bermusyawarah juga harus bersedia dari segi mental dan berlapang dada bersedia memberi maaf. Ini kerana mungkin ketika bermusyawarah terjadi perbezaan pendapat, atau keluar kalimat-kalimat yang menghiris perasaan seseorang itu. Dan bila perkara ini masuk kedalam hati akan mengeruhkan fikiran, bahkan boleh jadi akan mengubah musywarah berubah menjadi pertengkaran atau perdebatan yang tidak berkesudahan.
Demikian juga untuk mencapai hasil yang terbaik ketika musyawarah, hubungan dengan tuhan juga harus harmonis. Itu sebabnya perkara seterusnya yang harus mengiringi musyawarah adalah permohonan maghfirah dan ampunan Ilahi, sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT surah Al-Imran ayat 159 diatas.
Jelas musyawarah diperintahkan oleh Al-Quran, serta dinilai sebagai salah atu prinsip hukum dan politik untuk umat Islam. Sikap Al-Quran seperti itu memberikan kesempatan kepada setiap masyarakat untuk menyesuaikan sistem syuranya dengan keperibadian, kebudayaan dan situasi sosialnya.
