Kita dikejutkan dengan pelbagai kes buli di Malaysia yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Nama-nama mangsa seperti Zara Qairina, pelajar tingkatan 2 di SMKA Tun Datu Mustapha, yang meninggal dunia selepas disyaki dibuli. Atau Syamsul Haris Shamsudin, seorang pelatih PALAPES yang maut selepas mengalami kecederaan serius. Malah, kes yang berlaku di MRSM Besut juga hangat diperkatakan, dan iasatan berhubung kes buli ini kini berada di peringkat akhir. Tidak terlupa tragedi yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman, pelajar UPNM yang meninggal akibat diseksa pada tahun 2017.
Semua ini meninggalkan satu persoalan besar kepada kita: Mengapa budaya buli ini semakin menular, malah menjadi semakin kejam?
Jika melihat kepada data tahun 2022, KPM merekodkan 3,887 kes buli yang dilaporkan. Laporan berasingan yang diambil daripada Sistem Disiplin Pelajar (SSDM), mengeluarkan angka yang hampir sama iaitu 3,883 kes bagi tahun itu. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan yang ketara pada 2023. KPM merekodkan 4,994 kes dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun itu. Untuk tahun penuh 2023, SSDM melaporkan 6,528 kes, peningkatan kira-kira 20% daripada 2022.
Trajektori menaik berterusan pada tahun 2024. Sehingga Oktober 2024, KPM merekodkan 6,208 kes buli. Maka, kita perlu bertanya, mengapa kes buli ini semakin membarah dalam masyarakat kita?
Sebab utama seseorang budak atau remaja membuli sebenarnya menunjuk kepada satu faktor besar - kelemahan diri sendiri. Walaupun kedengaran pelik, tetapi mereka yang membuli orang lain sebenarnya sedang cuba menutup kekosongan dalam diri mereka. Ada diantara anak-anak ini yang rasa tertekan di rumah oleh kerana masalah keluarga. Ada yang rasa tidak dihargai. Ada yang mahu dilihat berkuasa atau digeruni. Dengan kata lain, mereka cuba untuk dipandang tinggi, dengan cara merendahkan orang lain.
Sering kali pelaku buli berpunca daripada kelemahan emosi dan psikologi dalaman. Anak-anak yang menjadi pembuli adalah jiwa yang tidak utuh, merenung bayang-bayang sendiri denga penuh keresahan. Mereka menempelak, mencerca, atau menundukkan orang lain bukan kerana mereka lebih kuat, tetapi kerana mereka sendiri terseksa dalam kesunyian. Perhatian ibu-bapa tidak cukup, trauma yang tidak sembuh, dan kehausan kasih sayang dalam rumah, menjadi bahan bakar di sebalik keganasan pembuli. Dalam lubuk hati yang dingin dan tidak berempati, kata-kata sinis dan pukulan ke atas insan lain bukan atas dasar kebencian terhadap orang itu semata-mata, tetapi kerana terdorong oleh kekosongan di dalam jiwanya.
Pengaruh rakan sebaya pula menjadi gelombang yang mendorong; mereka membuli agar terlihat 'cool', agar tidak diketepikan, dan lahir daripada perasaan takut dicerca. Akhirnya, pembuli tidak lahir atas kekuatan fizikal atau mental, tetapi kerana kehampaan dan trauma yang mereka enggan hadapi, yang selalunya bermula dari rumah. Itulah tragedi paling senyap, dan merupakan akar kepada gejala buli yang semakin menular hari ini.
Islam melihat perbuatan buli ini sebagai kezaliman. Rasulullah saw telah memberi amaran keras: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.” - Riwayat Al-Bukhari (6484)
Maknanya, seorang Muslim sejati tidak akan menyakiti orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun dengan perbuatan. Dalam Al-Quran juga, Allah mengingatkan kita:
"Janganlah kamu saling mencela, janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran buruk." (Al-Hujurat: 11)
Islam menolak segala bentuk penghinaan, perendahan martabat, dan kekerasan yang tidak adil.
Sebagai seorang mukmin, kita tidak boleh hanya mengharapkan undang-undang dan hukuman semata-mata. Hukuman itu penting, tetapi yang lebih penting ialah membentuk hati dan akhlak. Jika anak-anak sejak kecil ditanamkan nilai empati, hormat-menghormati, dan rasa tanggungjawab terhadap sesama manusia, mereka tidak akan membesar menjadi pembuli. Inilah yang ditekankan di dalam Islam, untuk memupuk dan membangunkan generasi muslim sebaik-baiknya.
Sekolah, universiti, malah kem latihan mesti ada sistem pencegahan buli yang jelas. Tidak boleh lagi ada budaya “tutup sebelah mata”. Hanya kerana satu pertelingkahan kecil antara anak-anak muda ini, boleh membawa kepada tragedi yang lebih besar.
Kita mesti sedar bahawa membiarkan buli berleluasa adalah sama seperti merosakkan masa depan negara. Hari ini seorang pelajar trauma kerana dibuli, esok dia mungkin tidak mampu lagi belajar atau bekerja dengan baik. Kita akan kehilangan generasi yang sepatutnya menjadi pemimpin, cendekiawan, atau penjaga keamanan yang kuat kerana jiwa mereka hancur akibat buli.
Lebih menakutkan lagi, budaya buli akan melahirkan kitaran ganas. Mangsa hari ini, mungkin menjadi pembuli pada esok hari kerana mahu membalas dendam.
Isu buli ini bukan sekadar masalah disiplin, tetapi menunjukkan kepada masalah jiwa, masalah akhlak, dan masalah masyarakat. Rasulullah saw pernah bersabda: “Barang siapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”
Justeru, kita sebagai orang Islam harus memilih. Adakah kita mahu hidup dalam sebuah masyarakat yang penuh belas kasihan, atau sibuk dengan dunia sendiri hingga membiarkan budaya zalim ini berakar dan membunuh masa depan anak-anak kita? Pilihan itu ada di tangan kita semua.
