KEMERDEKAAN MENGHAYATI KETULUSAN BERAGAMA

KEMERDEKAAN MENGHAYATI KETULUSAN BERAGAMA

Pada 31 Ogos, rakyat Malaysia akan menyambut hari yang bersejarah, iaitu hari memperingati ulang tahun kemerdekaan. Allah SWT menciptakan umat manusia di seantero dunia ini dengan bekal kemerdekaan dan kebebasan agar mereka menjadi umat yang bertakwa. Iaitu satu umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Kemerdekaan Malaysia ini patut menjadi refleksi bagi kita seorang umat beragama, sejauhmana kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan kegiatan yang mendekatkan diri pada Allah SWT dan menyeimbangkan kehidupan antara dunia dan akhirat.

Kemerdekaan merupakan salah satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia. Oleh hal yang demikian itu, kita wajib mensyukuri atas nikmat Allah itu kerana kita diberi kesempatan menyambut kemerdekaan diri dan negara ke-68 dalam suasana yang penuh aman, damai dan sejahtera.

Sekiranya kita menyedari akan hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firmannya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 20 yang bermaksud

``Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: ``Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).

Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. supaya kita memperbaiki diri akan kebebasan kita daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme.

Hakikatnya dalam konteks negara kita yang sudah pun berusia 68 tahun banyak pencapaian dari segi material mahupun spiritual yang telah dicapai. Di manakah rahsia daripada kekuatan kita ini? Adakah pada senjata-senjata yang canggih? Rahsia kekuatan ini tidak boleh dikaji sekadar melihat kepada benda yang ada di depan kita. Tetapi ia harus dilihat ke dalam batin, lihatlah ke dalam jiwa. Sesungguhnya kekuatan kita ialah kepercayaan, kekuatan iman dan akidah kita. Kekuatan inilah yang mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman yang boleh memusnahkannya. Rakyat Malaysia patut bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat menyelesaikan banyak masalah yang amat serius khususnya yang berkaitan hubungan agama dan negara.Beberapa aspek penghayatan syariat islam secara hikmah,yang turut dinikmati orang bukan islam khususnya di Malaysia bukan sahaja disanjungi malah turut dicontohi oleh masyarakat islam dinegara luar.Kesungguhan kerajaan melaksanakan islam yang bermula dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai disekitar tahun 1980an,kemudian diikuti dengan gagasan islam hadhari kedalam sistem pentakbiran Negara secara sistematik dan teratur adalah selaras dengan tuntutan agama..

Banyak di kalangan negara Islam cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengorbankan agama dan memilih sekularisme (fahaman yang memisahkan agama dan negara), atau mengorbankan kepentingan sebahagian anggota masyarakatnya yang majmuk ketika memilih salah satu agama atau fahaman keagamaan dalam mengatur kehidupan berbangsa, bernegara dan bermasyarakat.

Ada dikalangan negara-negara Islam yang cuba cuba menerapkan ajaran Islam secara keras dengan mengabaikan pandangan anggota masyarakat lain, yang akhirnya meletakkan negara mereka sentiasa berkonflik.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam memberi kedudukan yang penting bagi semua agama yang dianuti masyarakatnya dan menuntut mereka sama-sama berperanan membangun bangsa dan negara. Ini sesuai dengan peranan dan fungsi agama itu sendiri dalam sesebuah negara iaitu melaksanakan urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.Demikian juga dalam hubungan pemerentah dan agama di Malaysia.Pengistiharan Malaysia sebagai Negara Islam menggambarkan satu sikap kesederhanaan pemerentah dengan maksud tidak menolak kepentingan sebahagian anggota masyarakat yang majmuk.

Kesedaran bahawa perlunya penafsiran kembali warisan pemikiran Islam dalam rangka menghadapi zaman moden telah berjaya membawa bangsa Malaysia maju dalam bidang ilmu dan teknologi moden. Sikap umat Islam yang jumud - tunduk kepada tradisi, kebekuan idea dari segi praktik dan amalan berjaya dilenturkan atau dirombak lingkaran kejumudannya.

Melalui peranan para cendekiawan agama, kita harus mampu memberi jalan keluar yang realistik terhadap masalah yang timbul dalam masyarakat dan perselisihan mereka. Kerana, jika dilihat tujuan kehadiran para nabi dengan kitab sucinya adalah bertujuan menegakkan kesejahteraan hidup. Agama tidak boleh menjadi sumber perselisihan yang mengakibatkan perpecahan atau penghalang pembangunan negara.

Melalui peranan agensi-agensi Islam kerajaan mahupun pihak swasta, para ahli agama berjaya mematahkan secara bijaksana rintangan-rintangan yang mengganggu kesinambungan dan kemajuan pembangunan, khususnya yang bersifat idea dan pemikiran, seperti tahyul atau khurafat.

Agama akan lebih berperanan dalam pembangunan apabila ahli agama dapat menemukan dari kitab suci, ajaran-ajaran sosial dan interpretasinya dengan keperluan pembangunan, tanpa menyimpang daripada teks dan jiwa ajaran agama. Kerana itu, ahli agama harus dapat menggali nilai-nilai agama untuk menjadi landasan, pendorong dan pengarahan kepada pembangunan nasional.

Agama dengan nilai-nilai universal yang dikandungnya, harus dapat memajukan dan memperkukuh integriti, persatuan dan kesatuan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini.

Malah lebih dari itu pengabdian manusia dalam menjalankan semua ajaran agama dituntut untuk dilakukan dengan penuh keikhlasan.Ketulusan dalam melakukan perkara tersebut menjadi penting dalam pandangan agama.Mereka melakukan pekerjaan itu dengan penuh motivasi dan semangat bekerja yang tinggi,tanpa mengharap pujian dari sesiapapun.Sebaliknya,seseorang yang melakukan pekerjaan tanpa dilandasi ketulusan akan tertanam didalamnya sikap pesimistik,semangat kerjanya yang rendah kerana mempunyai tujuan dan niat iaitu mengharapkan sesuatu dari orang atau pehak lain.

Sebenarnya tanpa berbuat apa-apa dalam mengisi kemerdekaan ini, bererti kita telah berkhianat. Khianat kepada pejuang kemerdekaan yang telah gugur dahulu daripada kita dan mengkhianati nikmat Allah. Sedangkan Allah telah berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.

Jelas bahawa bersyukur itu merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak Allah. Setiap muslim wajib mensyukurkan setiap nikmat yang telah diterimanya dari Maha Penciptanya, jika tidak ia masih dinilai belum Islam dalam erti kata yang sebenar. Orang yang tidak pandai bersyukur sebenarnya dianggap telah kufur pada nikmat tapi belum sampai kufur akidah.

``Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka (tidak bersyukur) dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.'' (Surah al-Isra ayat 16).

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019367
Hari ini: 217
Minggu Ini: 1,962
Bulan Ini: 4,508
Tahun Ini: 19,367
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.