INDAHNYA BERPRASANGKA BAIK

INDAHNYA BERPRASANGKA BAIK

"Saya rasa dia selalu mengata saya ustaz," kata seorang pelajar dengan kening berkerut. Ada kesan-kesan bengkak di matanya. Barangkali sebab lama menangis.

"Mana kamu tahu dia mengata kamu?" Saya kembali bertanya.

"Saya rasa, sebab dia orang berbisik-bisik." Kata pelajar itu lagi dengan kepala tertunduk. Barangkali berasa sangat rendah diri dengan tubuhnya yang gempal.

“Oh kamu bersangka saja. Barangkali mereka sedang mengata orang lain.” Saya menebak. Dia hanya senyap di hadapan saya. Kepalanya masih tertunduk.

“Kamu tahu apa makna bersangka-sangka?” Saya bertanya lagi. “Maksudnya ialah agak-agak, menduga yang ada padanya keraguan.” Saya menambah.

"Buat tak tahu saja," Kata saya.

"Kamu perlu buat ‘tak perasan’ yang mereka mengata kamu. Bila kamu ‘tak perasan’, maka ia akan mengelakkan buruk sangka kepada kawan-kawan, dan kamu akan sentiasa fokus. Kamu mesti perlu kembali muhasabah niat mengikuti program ini, ingat macam yang ustaz selalu sebut, kekurangan kamu sebenarnya adalah suatu kelebihan."

Peserta itu menyahut, "Ya, ustaz. Saya perlu bersyukur. Dan saya perlu kuat seperti Po si Dragon Warrior." Dia bersuara perlahan dan wajahnya sudah mula diangkat.

Saya tersenyum, "Ya, kamu perlu menjadi Po, apabila ada orang yang mengata tentang dirinya, dia hanya kekal positif kerana kasih sayangnya terhadap cita-cita dan kawan-kawan, sangat besar.” Saya memandang peserta itu yang wajahnya sudah mula cerah. Saya tahu, dengan hanya mendengar, sebenarnya telah menyelesaikan separuh daripada masalah.

Kisah Berprasangka Baik

Inilah kisah berprasangka baik. Yang penting bukan kisahnya, tetapi ibrahnya. Jika ada persamaan, tentulah ia hanya kebetulan sahaja.

Ada dua orang adik beradik yang sudah kematian ibu bapa. Mereka bekerja sebagai peniaga dan setiap hari perlu berjalan sepuluh kilometer jauhnya dari rumah peninggalan ibu bapa mereka demi menuntut ilmu agama. Mereka mementingkan ilmu pengisi dada buat mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba.

Suatu hari si abang berdoa kepada Allah, supaya Allah murahkan rezekinya untuk membeli sebuah kereta bagi memudahkan mereka berulang-alik menuntut ilmu. Tidak lama kemudian, doanya dimakbulkan, dan si abang membeli sebuah kereta hasil dari keuntungan perniagaan mereka.

Lalu si abang berdoa pula supaya Allah mengurniakannya seorang isteri yang rupawan dan baik pekerti. Allah mengabulkannya, dan si abang memiliki isteri idamannya. Kemudian si abang berdoa lagi untuk mendapat sebuah rumah yang selesa dan pekerjaan yang lebih baik, supaya segalanya itu akan menjadikan dirinya semakin dekat dengan Allah. Maka Allah mengabulkan segala permintaannya itu. Selalu.

Tinggallah si adik dengan tiada satu perubahan pun yang berlaku kepada dirinya. Tidak seperti si abang yang cukup dan telah sempurna hidupnya. Dia kekal dengan hidup yang sederhana dan terus tinggal di rumah peninggalan ibu bapa mereka. Si abang yang sibuk dengan pekerjaan baharunya, menjadikan si adik meneruskan kehidupan lamanya, berjalan kaki untuk menuntut ilmu agama setiap hari.

Si abang pun membandingkan kehidupannya dengan adiknya. Doanya yang selalu dimakbulkan, dan adiknya yang terus hidup sederhana itu. Lalu dia teringat, setiap kali adiknya pergi menuntut ilmu dengannya suatu ketika dahulu, adiknya selalu berdoa dengan melihat selembar kertas. Menunjukkan adiknya tidak menghafaz doa, dan hatinya barangkali tidak bersih. Lalu si abang menasihati adiknya supaya membersihkan hati, kerana merasakan hati adiknya masih kotor sehingga doa-doanya tidak dimakbulkan Allah.

Si adik rasa bersyukur dan terharu dengan nasihat abangnya itu. Dia tahu abangnya sangat menyayanginya seterusnya mengucapkan terima kasih di atas nasihat itu.

Sampailah suatu saat ajal kunjung tiba, dan si adik meninggalkan dunia dengan keadaannya yang terus sederhana dan tiada perubahan. Si abang berasa sedih kerana tiada perubahan berlaku dalam hidup adiknya dan menyangka keadaan hati adiknya masih belum bersih.

Si abang menguruskan rumah peninggalan ibu bapa mereka untuk diubahsuai menjadi sebuah surau dan tempat menuntut ilmu bagi anak yatim, sesuai dengan wasiat gemulah adiknya. Sehingga dia terjumpa selembar kertas di dalam lipatan sejadah yang seingatnya selalu dibaca adiknya sebelum pergi berjalan menuntut ilmu. Ada bacaan al-Fatihah, selawat, doa untuk guru dan doa selamat. Matanya terpaku pada ayat terakhir dalam doa itu.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ampunilah dosaku dan abangku, kabulkanlah segala doa permintaan abangku, bersihkanlah hatiku, dan berikanlah kemuliaan hidup kepada abangku, di dunia dan akhirat."

Dan berlinanglah air mata membasahi pipi si abang, kerana adiknya tidak pernah sekalipun berdoa untuk dunianya, hingga akhir hayatnya.

Berprasangka Baik Pembersih Hati

"Wahai orang-orang beriman, jauhilah diri kamu dari banyak berprasangka, sesungguhnya sesetengah prasangka itu adanya dosa." (Hujurat : 12)

Setiap manusia dituntut supaya selalu berprasangka baik sesama manusia, apatah sesama Islam. Prasangka baik menjadi asas kepada makna mahabbah yang amat dituntut oleh baginda Rasulullah s.a.w. Imam al-Ghazali memberikan formula untuk membersihkan hati dengan selalu memaafkan orang lain atas apa sahaja kesalahannya dan sering berprasangka baik. Teruskan usaha untuk memaafkan dengan mencari empat puluh sebab sehingga kita mampu memaafkan orang yang melakukan kesalahan kepada kita.

Salah satu dari kekuatan Islam itu terletak pada ukhuwwah, iaitu sejauh mana nilai mahabbah dipraktikkan dalam hidup bermasyarakat. Jika kita masih gagal untuk membentuk prinsip dan nilai ukhuwwah sesama Islam melalui berprasangka baik, bermakna kita juga gagal untuk menonjolkan cara hidup Islam kepada orang bukan Islam. Imej-imej negatif akan selalu dilontar kepada umat Islam seperti hasad, iri, dendam, sombong dan pelbagai sifat-sifat mazmumah, dan tentulah kita tergolong dalam kalangan Muslim yang rugi.

Pesan daripada Saidina Umar al-Khattab r.a, "Janganlah kamu berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari mulut saudara kamu (sesama muslim) kecuali sangkaan yang baik."

Sebagaimana kita dilarang berprasangka buruk kepada Allah, begitu juga sesama manusia. Kebersihan hati itu terletak pada akhlak seseorang. Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat kelak, seperti sabda baginda s.a.w dalam hadith riwayat Tirmidzi :

"Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat selain daripada akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya."

 Baginda juga pernah ditanya oleh seorang lelaki, siapakah Mukmin yang lebih baik keimanannya. Baginda menjawab, “Yang paling baik adalah akhlaknya."

 Ibadah akan membentuk akhlak individu, manakala akhlak adalah asas pembentukan peribadi Muslim. Benarlah orang yang berakhlak itu ialah orang yang selalu menjaga ibadahnya kepada Allah. Mukmin yang sentiasa mengambil berat tentang ibadahnya, akalnya, seperti solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, apatah menuntut ilmu pengetahuan, akan memiliki daya ketahanan yang tinggi dan upaya berfikir besar merentasi segala macam dugaan duniawi seperti yang ditonjolkan si adik dalam kisah yang menyayat hati itu.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049179
Hari ini: 101
Minggu Ini: 609
Bulan Ini: 4,641
Tahun Ini: 49,179
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.