Islam adalah agama yang maha baik dan maha benar daripada Allah. Ia diturunkan kepada manusia bagi maksud untuk dijadikan panduan mereka dalam mentadbir hal ehwal dunia ini, iaitu langit dan bumi dengan segala isi dan kandungannya, termasuk diri mereka sendiri.
Tetapi masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini ialah mengapa dan kenapa mereka yang menganut agama yang benar dan baik itu merupakan golongan yang paling mundur dan terkebelakang, bahkan paling hina dan paling malang di akhir-akhir ini.
Apakah kerana bilangan mereka sedikit? Tidak! Apakah kerana negara-negara mereka miskin? Tidak! Apakah golongan lelaki mereka pondan semuanya? Tidak! Apakah wanita-wanita mereka mandul semuanya? Juga tidak.
Pelbagai jawapan yang tidak serupa telah diberi oleh banyak pihak yang berbeza. Rata-rata jawapan itu menyalahkan orang lain saja. Mereka berkata kerana Baratlah maka umat Islam lemah. Kerana sekularismelah yang memundurkan pemikiran Islam. Kerana Yahudi dan Amerika yang menjahanamkan negara-negara Islam dan sebagainya.
Mungkin betul jawapan-jawapan yang berkenaan, tetapi faktor yang lebih besar daripada itu semua adalah berpunca daripada umat Islam sendiri. Mereka salah faham dan silap langkah dalam beramal dengan ajaran-ajaran Islam yang sebenar.
Mereka tidak dapat memahami bahawa Islam bukanlah cuma sebuah agama yang hanya mengajar dan mendidik penganut-penganutnya cara-cara sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan lain-lain tuntutan fardu ain. Atau menggalak umatnya supaya mengasingkan diri di masjid-masjid atau bertapa di tempat-tempat yang jauh daripada orang ramai dengan pakaian yang serebeh dan selekeh.
Tetapi sesungguhnya Islam itu adalah agama yang mengajar dan mendidik manusia bukan saja hal-hal yang berhubung dengan soal keakhiratan tetapi juga yang bersangkutan dengan cara-cara mentadbir dunia yang melibatkan bidang-bidang politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Islam mahu supaya umatnya merupakan golongan yang kuat fizikal dan mental dalam menghadapi tentangan zamannya di samping kekuatan iman dan takwa juga ketinggian akhlak dan moral.
Bertolak daripada pengajaran dan pendidikan seumpama inilah maka umat Islam yang pada awalnya merupakan kabilah kecil dari padang pasir yang keruntang di tengah Semenanjung Tanah Arab telah berjaya menguasai hampir 80 peratus dunia dalam masa yang amat singkat.
Sejarah tidak mungkin dapat melupakan kelahiran kerajaan-kerajaan Islam pimpinan Nabi dan Khulafa Rasyidin di Madinah, kemudian kerajaan Umaiyah di Kufah, Abbasiyah di Baghdad, Umaiyah di Sepanyol, Uthmaniah di Istanbul Turki dan lain-lain.
Kerajaan-kerajaan Islam ini yang telah memerintah ratusan tahun lamanya telah berjaya pula melahirkan tamadun Islam yang begitu hebat dan cemerlang sehingga penganut-penganut agama lain terpaksa menumpang hidup dengan mereka.
Pemimpin-pemimpin dan ulama pada zaman kegemilangan dan kecemerlangan ini sentiasa bekerjasama dan bantu membantu antara satu dengan yang lain. Mereka mengajak dan menyeru orang ramai supaya berfikir dan bermuhasabah diri, bukan semata-mata untuk mati, tetapi untuk hidup di dunia ini, iaitu dunia yang diamanahkan Allah untuk mereka mentadbirnya. Mereka sebagai khalifah mentadbirnya dengan penuh bijaksana secara berkesan dengan menggunakan segala sumber alam bagi kepentingan manusia sejagat.
Mereka selalu berdoa, Ya Allah! Perbaikilah urusan agama kami, kerana ia pegangan kami. Perelokkanlah segala urusan dunia kami, kerana di sini rezeki hidup kami. Perbetulkanlah hal-hal keakhiratan kami kerana di situlah tempat terakhir kami. Dan jadikanlah kehidupan kami penuh dengan kebajikan.
Mereka mempunyai suatu matlamat tersembunyi iaitu yang jahil hendak diilmukan, yang miskin hendak dikayakan, yang lemah hendak dikuatkan, yang kurang hendak dipercukupkan dan yang uzur hendak disihatkan.
Berfikir dan bermuhasabah cara ini memang duniawi sifatnya. Tetapi ini adalah tuntutan Islam yang dinamakan fardu kifayah. Lebih-lebih lagi dunia dan akhirat adalah dua keadaan yang tidak dapat dipisahkan. Semata-mata bertahlil, beristighfar, bertahmid, bertakbir dan sebagainya tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya tidak disertakan dengan amal kerja yang boleh memberi kekuatan dan keperkasaan.
Iman dan takwa yang kuat dan mantap tanpa disokong oleh kekuatan politik, ekonomi dan pelajaran akhirnya iman dan takwa yang berkenaan akan luntur dan boleh hapus sama sekali.
Kata-kata ini adalah benar kerana agama mana sekalipun tidak akan kuat dan tersebar luas melainkan apabila bangsa yang menjadi penganut kepada agama itu kuat dan dihormati. Suatu bangsa hanya kuat dan menjadi tempat menumpang bagi bangsa-bangsa lain apabila ekonominya teguh. Dan ekonomi hanya akan teguh apabila rakyatnya berilmu pengetahuan.
Negara juga hanya akan kuat apabila berada dalam keamanan dan kedamaian. Keamanan hanya akan tercapai apabila rakyatnya dapat menyediakan kelengkapan yang dapat mempertahankan diri menurut keperluan semasa.
Atau dengan kata lain, kekuatan suatu bangsa dan sebuah negara itu diukur berdasarkan kepada kekuatan ekonomi, tentera, ilmu, kekayaan termasuk kekayaan budaya rakyat negara yang berkenaan. Kekuatan sebeginilah yang dapat membentuk tamadun bangsa.
Tetapi malangnya masih ada sebilangan umat Islam, termasuk beberapa orang yang bernama ulama bertindak semacam jahil tentang pentingnya kehidupan di dunia. Keselesaan dan kebahagiaan hidup di dunia dicuainya dan tidak diselaraskan dengan apa yang mereka doa setiap kali lepas sembahyang: Wahai Tuhan kami kurniakanlah kehidupan kami di dunia bahagia dan di akhirat juga bahagia.
Mereka tidak terasa bahawa kerja-kerja mereka sebagai petani, nelayan, guru, peguam, doktor, pensyarah dan lain-lain tugas di dunia ini menurut keahlian mereka sebagai kerja-kerja ibadah yang mendapat pahala daripada Allah.
Mereka melaungkan tentang kesempurnaan dan maha lengkapnya agama Islam dengan istilah tasyamul dan tadhamun, semacam Islam telah mempersiapkan segala jawapan bagi setiap masalah yang timbul berhubung dengan hal-ehwal keduniaan.
Sedangkan dalam banyak hal yang berkaitan dengan pentadbiran politik dan sosial memerlukan perincian jawapan menurut tuntutan zaman dan tempat.
Ini adalah kelapangan dan kelonggaran yang ada pada agama Islam sehingga ia sesuai di setiap tempat dan pada setiap zaman.
Persoalan yang bersangkutan dengan hal-ehwal keduniaan bukan persoalan akidah, kerana ia tertakluk kepada kepentingan umum yang subjektif dan relatif yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Kaedah fikah telah pun menjelaskan perkara ini.
Menyamakan hal-hal politik dengan akidah akan lahirlah dalam kehidupan umat Islam ini apa yang dikatakan agama dalam agama. Hal ini amat mengeliru dan mencelarukan dan menimbulkan keporakperandaan dan kehancuran masyarakat.
Inilah yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi bahawa hukum itu harus diberi ruang bagi menghadapi suasana dan tuntutan semasa yang sifatnya dinamik dan berubah, agar hukum Allah tidak jumud dan beku.
Kita amat mengharapkan supaya pemimpin-pemimpin Islam dan ulama mereka harus mencari jawapan kepada soalan mengapa umat Islam mundur dan umat dari agama lain maju?
