SEJARAH MANUSIA penuh dengan tragedi. Semenjak kedua-dua anak Nabi Adam a.s. bertarung merebut saudara mereka sebagai isteri, bermulalah tragedi dan sengketa sesama manusia yang menyebabkan salah satu pihak terkorban. Sikap ganas yang membuak-buak kerana ingin memiliki sesuatu menjadikan sejarah kehidupan manusia seterusnya semakin penuh dengan tragedi.
Dalam sejarah Islam, tragedi turut menjadi sebahagian latar yang bukan sahaja menyebabkan kehidupan manusia dipenuhi sengketa dan konflik. Semenjak Islam diturunkan sebagai "agama terakhir", Nabi Muhammad SAW tidak diterima secara mudah oleh masyarakat Arab. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja ditentang oleh kaumnya sendiri malah, sanak saudara baginda turut menyanggah apa yang disampaikan oleh baginda itu sebagai permulaan konflik dan berlawanan dengan tradisi atau keyakinan mereka.
Dengan penuh hemah dan kecekalan, Nabi Muhammad SAW akhirnya semakin diterima sehingga agama yang dibawa baginda mencapai tahap keyakinan yang tinggi dalam kalangan bangsa Quraisy. Namun, penyebaran Islam seterusnya mendapat tentangan hebat daripada kelompok agama yang berasaskan wahyu, iaitu Kristian dan Yahudi atas kelainan asal-usul keturunan. Yahudi tidak dapat menerima Nabi Muhammad SAW kerana baginda dilahirkan dalam Bani Ismail, sedangkan kebanyakan nabi-nabi yang diturunkan sebelum itu adalah daripada Bani Israel. Israel menjadi semakin bongkak dan sombong kerana menganggap bangsa mereka menjadi pilihan Tuhan. Maka, apabila Nabi Muhammad SAW diutuskan menyatukan seluruh manusia, bukan sedikit ancaman yang baginda terima.
Namun, yang lebih mendukacitakan ialah ancaman dalam bentuk pemikiran yang kemudiannya terus diasak ke dalam tatacara kehidupan Islam. Umat Islam diasak dan disesakkan dengan pemikiran baharu yang berasaskan logik akal sehingga boleh menjejaskan keyakinan penganutnya. Serangan dalam bentuk akidah itu bertujuan memurtadkan orang Islam, dan kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan.
Penguasaan ilmu pengetahuan dalam bentuk akliah akhirnya membentuk teori faham agama dan ritual agama sebagai dua aktiviti yang berlainan. Mereka terus mengabsahkan bahawa keyakinan beragama adalah milik personal dan bersifat individu, maka kepentingan ummah semakin terhakis. Hakikat itu seterusnya dipersimpangkan secara dikotomi bahawa telah berlaku krisis akidah kerana manusia mula mengganggap apa yang menyebabkan seseorang itu berjaya adalah atas usaha gigihnya sendiri. Hakikat rahmat dan berkat rezeki yang diberikan oleh Allah SWT sudah menjadi sesuatu yang berbaur rasa bersalah dan amat skeptikal.
Penularan fahaman itu menyebabkan Islam menjadi terpisah dengan akar fitrah manakala "atas urusan Tuhan" hanyalah bersifat ibadah dan ritual semata-mata; susun atur kehidupan sosial dan ekonomi ditentukan oleh manusia sendiri. Dalam penentuan tersebut, fahaman falsafah kebendaan menjadi kerangka pemikiran yang semakin kuat dan berpengaruh. Nilai-nilai moral hanyalah penting ketika seseorang itu menghampiri saat kematiannnya, manakala pada masa-masa yang lain ukuran pencapaian semakin menuntut kepada ukuran kuantitatif dan sandaran lojik akal.
Berdasarkan desakan dan tuntutan tersebut, semakin maju manusia mengatur corak kehidupannya, maka semakin bercelaru tindakan manusia dalam mengisi perjalanan sejarahnya. Sebagai memenuhi keperluan hidup, manusia mula membuka langkah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk mencetuskan tragedi, kerana mereka yang mampu melonjakkan kedudukannya merupakan mereka yang sanggup menukar bentuk aktivitinya dan mampu mengharungi tragedi.
Antara damai dan perang, manusia lebih banyak memilih peperangan kerana kemenangan pertarungan itu memberikan impak yang besar. Meneruskan jalan damai merupakan satu langkah yang kurang popular kerana ia jarang menunjukkan kekuatan dan potensi keupayaan sebenar. Dalam hal ini, kita semakin faham bahawa persengketaan menyebabkan manusia lebih sombong dan tidak berperikemanusiaan.
Apa yang menyedihkan ialah semenjak kewujudan Nabi Adam a.s. sebagai manusia pertama menghuni dunia, kemunculan manusia pengkhianat silih berganti. Tidak pernah muncul solidariti yang benar-benar padu hatta, dalam kelompok tertentu, mesti ada yang bakal mencabar dan menentang sehingga menyebabkan kelompok itu berpecah dan akhirnya musnah sama sekali. Saat kelompok itu bersatu, ia menunjukkan kekuatan yang besar tetapi setelah menghampiri ke kemuncaknya, pusingan kehidupan menyebabkan ada sahaja golongan baharu yang muncul dan berhasrat merampas kuasa.
Sejarah ramainya utusan Allah SWT dimartabatkan untuk membimbing manusia, mencatatkan kemunculan mereka tidak terlepas daripada belenggu pengkhianatan daripada kalangan kelompok itu sendiri. Begitulah keadaannya sepanjang penyampaian dakwah Nabi Muhammad SAW bermula daripada peringkat awal sehinggalah ke kewafatan baginda. Baginda berhadapan dengan begitu ramai pengkhianat, bukan sahaja daripada kalangan kaum munafik atau Yahudi tetapi juga daripada kalangan orang-orang Islam sendiri.
Kemunculan golongan ini telah membawa kepada kelahiran satu fenomena politik dalaman yang berselindung di sebalik agama untuk mengkhianat negara sendiri dengan pelbagai tipu daya.Tercetusnya perang saudara antara sesama muslim seperti Perang Jamal dan Siffin adalah disebabkan penyusupan masuk golongan pengkhianat dalam kedua pihak yang bermusuhan. Begitu juga dalam perkembangan falsafah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW dan tamatnya tempoh pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin.
Kemunculan Muawiyyah menyebabkan tersungkurnya Khalifah Ali bin Abi Talib. Setelah khalifah keempat itu meninggal dunia, kelompok Islam semakin berpecah. Kumpulan yang mempertahankan Ali bin Abi Talib sebagai pemimpin utama mereka membentuk satu kelompok yang kini semakin menjadi faktor kepada perbalahan dan persengketaan sesama Islam.
