MENOLAK TUDUHAN KERAJAAN BERHASRAT MENUTUP PONDOK

MENOLAK TUDUHAN KERAJAAN BERHASRAT MENUTUP PONDOK

YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Persekutuan atau Jabatan di bawahnya akan mengarah penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah. Dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah.

Beliau dengan penuh kesal menyatakan perbuatan tidak bermoral dan memfitnah ini kerana ia tular tanpa menyatakan sebarang sumber yang sahih atau rasmi. Tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas terutamanya yang melibatkan isu sensitif seperti institusi agama adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian masyarakat.

​Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz sebagai antara tunjang pembangunan Malaysia MADANI.

​Sebaliknya, usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa agama adalah bagi memastikan penambahbaikan sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam, demi menjaga kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan, serta kualiti pengajian agama agar lebih tersusun dan diiktiraf. 

Justeru tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan.

​Dato Dr Setia Naim menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah yang boleh menjejaskan imej institusi Islam serta menimbulkan kekeliruan masyarakat. Sebarang maklumat sahih berkenaan dasar atau keputusan rasmi akan disalurkan melalui saluran rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM, dan agensi berkaitan.

​Beliau mengajak masyarakat bersama-sama memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam, serta menolak segala bentuk fitnah.Dalam surah Al-Hujurat ayat ke-enam Allah berfirman yg bermaksud yang bermaksud:
''Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiki dahulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang kamu telah lakukan.''

Apa yang perlu kita lakukan adalah sejauh mana kita memberi pendidikan dan pengajaran yang secukupnya kepada masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran teknologi maklumat. Dengan pengetahuan dan bekal ilmu yang mantap, umat Islam dengan sendirinya akan dapat memilih dan menapis sebarang maklumat yang menerajang segala sendi kehidupan. 

Berita dusta yang disiarkan melalui internet melalui facebook khasnya media sosial dengan tujuan untuk menimbulkan fitnah adalah sebahagian daripada agenda siri-siri fitnah yang dilakukan oleh manusia fasik dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menimbulkan suasana tidak harmoni di negara kita.

Pengajaran dari surah al-Hujurat ayat enam itu jelas membawa maksud suatu larangan keras terhadap sikap mudah percaya dengan berita yang dibawa oleh seorang yang fasik. Ayat ini menuntut kita supaya sentiasa bijak dan berwaspada dalam menilai sesuatu berita yang diterima. Desas-desus mahupun laporan, terutama yang datang daripada sumber asing dan orang-orang yang tidak mengenalinya perlu diuji dan dibuktikan terlebih dahulu kesahihannya. Dikhuatiri, jika terus dipercayai dan seterusnya diceritakan kepada orang lain pula, maka kesannya akan membawa kemudaratan sehingga menyebabkan kita menyesali akibatnya.

Ayat tersebut juga menjelaskan kepada kita agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan memandang jelek terhadap seseorang sehingga menyebabkan orang itu dihukum kerana berita yang tersebar itu mungkin ternyata hanya suatu pembohongan semata-mata. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (HR Muslim).

Sama ada berita itu hanya bertujuan untuk kepentingan diri mahupun mencetuskan sensasi kosong.Jika tidak ingin tergolong di kalangan orang-orang yang dikutuk Allah kerana penyebaran fitnah, maka berwaspadalah terhadap gejala-gejala yang menjurus ke arah itu. 

Malangnya, ada sesetengah pihak yang menggunakan nama atau simbol agama, tetapi hakikatnya tidak mencerminkan ajaran Islam itu sendiri dengan melulu menyiarkan satu berita tanpa meneliti terlebih dahulu kesahihannya. Agaknya, nafsu syahwat untuk kepentingan diri dan puaknya mengatasi segala kebenaran hakiki yang sepatutnya lebih didahulukan dan diutamakan.

Jauhilah daripada memfitnah, berbohong, mencaci, mencarut, memaki hamun, mengutuk, membuat hukuman sendiri, menggalakkan keganasan, menghasut perbuatan jahat dan menyebarkan khabar angin yang kini bermaharajalela di dalam media sosial. Ia merebak umpama wabak dengan amat cepat lantas sukar untuk kita menepis dan melaksanakan perintah Allah sepertimana perintah Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-enam itu.

Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”

Allah SWT turut memerintah agar fitnah itu bukan sahaja wajib dihindar, bahkan diperang berdasarkan kemudaratannya kepada agama: "Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.”(surah al-Baqarah:193).

Dalam hal ini Allah juga berfirman yang bermaksud: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (surah an-Nur : 15)

Dalam ayat yang lain Allah juga berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian”)". (Surah an-Nur : 19)

Fitnah yang berleluasa akan menyebabkan manusia akhirnya diselubungi kesesatan dan sanggup pula menjual agama bagi meraih kesenangan kebendaan. Syed Abul Hassan Ali Nadwi (1914-1999), seorang ulama terkenal dari India ketika mengulas dan menterjemahkan surah al-Kahfi berpendirian: ciri terpenting yang membentuk peradaban kebendaan hari ini adalah penipuan dan penafian yang angkuh yang menampakkan dominasinya dalam semua aspek kehidupan. Tidak ada satu sudut kehidupan hari ini yang bebas daripada pengaruh yang merosakkan.”(Baca, Faith versus Materialism: The Message of Surat al-Kahfi (IBT, K. Lumpur: 2005).

Sesungguhnya, sehebat manapun satu fitnah dan kebohongan itu direka, ia tidak akan  bertahan lama. Serapat dan seketat mana satu pendustaan itu cuba ditutup-tutupi, suatu saat ia pasti akan terdedah baik dengan cara yang disengaja mahupun tidak disengaja. Hanya kebenaran sejati yang akan terpacak kekal selama-lamanya.

Penyebaran maklumat dan fitnah melalui media sosial yang berlaku dewasa ini suatu saat mungkin berubah wajah dalam bentuk dan wahana lain sesuai dengan peredaran zaman. Namun yang pasti, segala bentuk fitnah dan maklumat liar tidak akan berhenti meskipun alat perantaranya sudah berubah. Tiada pilihan lain bagi umat Islam semua itu mesti dihadapi. Hanya dengan keimanan dan ketakwaan sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada perangkap maklumat dan fitnah yang sentiasa mengintai kita.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019394
Hari ini: 244
Minggu Ini: 1,989
Bulan Ini: 4,535
Tahun Ini: 19,394
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.