Perihal mengenai pembunuhan anak yang tidak berdosa, dirangkaikan oleh Al-Quran dalam surah Al-Takwir ayat 1 hingga 8 dengan peritiwa-peristiwa besar yang akan terjadi, seperti kehancuran matahari, bintang-bintang berjatuhan, gunung-gunung dihancurkan, lautan dipanaskan, dan dipertemukannya kembali roh dengan badan. Bersamaan dengan semua itulah Al-Quran bertanya, ”Kerana dosa apakah dia (anak perempuan) dibunuh (dikuburkan hidup-hidup)? (maksud Surah At-Takwir ayat 9). Dan yang pastinya ayat terakhir ini tidak bertanya siapa yang menbunuh kerana pada hakikatnya siapapun pelakunya pasti ia telah melakukan perkara yang kejam, diluar batas-batas peri kemanusiaan dan mendapat kemurkaaan Allah SWT.
Ini semua satu isyarat betapa besarnya kebencian dan kemurkaan Allah, sehingga si pelaku (pembunuh bayi) tidak wajar untuk di pandang atau di ajak berdialog dengan Allah SWT. Namun yang ditanya oleh ayat di atas adalah ‘disebabkan dosa apakah anak perempuan itu dibunuh?’ Semacan ayat ini bukan sahaja mengisyaratkan larangan pembunuhan, tetapi mengajak si pembunuh untuk menyedari betapa buruk, kejam perbuatannya, serta memahami mengapa dia harus menerima hukuman.
Walaupun penguburan anak perempuan hidup-hidup (zaman jahiliah) hanya terbatas pada beberapa kabilah sahaja, kecaman Al-Quran terhadap perbuatan keji ini tidak terperi lagi sehingga disandingkan dengan kehancuran alam raya.
Demikianlah juga apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari dimana pembunuhan ke atas bayi-bayi adalah sekadar ingin menutup malu akibat perbuatan zina yang mereka lakukan. Mereka malu kepada ahli masyarakat tapi tidak pada Tuhan. Perbuatan mereka tidak jauh bezanya dengan hubungan yang terjadi di dunia atau alam binatang. Siapa saling suka ia akan melakukan apa sahaja.
Manusia sebagai makhluk yang terhormat sepatutnya tidak layak untuk menempuh kehidupan saperti haiwan dalam memenuhi hajat biologinya. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan pernikahan dengan syarat dan rukunnya bagi tujuan mensucikan hubungan antara dua insan yang telah berniat untuk menjalinkan hubungan suami-isteri. Inilah perlindungan yang paling efektif mengelak dari fenomena perzinaan yang melanda dari pelbagai sudut kehidupan hari ini.
Seingat kita pada zaman jahiliah yang dibunuh atau yang ditanam hidup-hidup adalah anak perempuan, kini yang dibunuh adalah anak lelaki dan juga perempuan. Di zaman itu anak yang akan dikuburkan hidup-hidup akan di hiasi terlebih dahulu, tetapi sekarang pembunuhan anak dilakukan sewenang-wenangnya, dibuang dan dibakar. Sungguh ironis dan kejam.
Kalau zaman jahiliah mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Tapi sebaliknya apa yang berlaku dizaman di mana Islam telah bertapak dengan kukuhnya bayi-bayi perempuan mahupun lelaki dibuang dan menjadikan bayi sebagai sama taraf dengan sampah. Dimanakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa itu yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja.
Terdapat tiga alasan yang diisyaratkan Al-Quran dan Sunnah bagi pembunuhan bayi pada zaman jahiliah dulu. Pertama, di kalangan ibubapa yang miskin dengan kelahiran anak perempuan menurut mereka tidak dapat memberi apa-apa faedah, malah menyusahkan dan menurut mereka anak perempuan tidak produktif. Untuk alasan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kami yang akan memberi rezeki kepadamu (hai para orang tua) dan kepada mereka (anak-anakmu) (maksud Al-quran surah Al-An’am ayat 151) Kedua, kebimbangan anak-anak akan terjeremus dalam lembah kemiskinan bila mereka dewasa kelak. Untuk mereka ini Allah swt mengingatkan bahawa, Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan juga kepadamu (maksud Al-quran surah Al-Isra ayat 31)
Perhatikan bagaimana Al-Quran surah Al-An’am ayat 151 di atas mendahulukan janji pemberian rezeki kepada orang tua yang takut terjerumus dalam kemiskinan, baru kemudian menyebut anak, sedangkan pada surah Al-Isra ayat 31, yang didahulukan adalah anak yang dibimbangi oleh orang tuanya, baru kemudian orang tua yang mengkhawatirkanya. Ketiga, mereka khuwatir akan menanggung aib, akibat ditawan dalam peperangan sehingga diperkosa atau akibat perzinaan. Itu sebabnya,maka, ”Apabila salah seorang diantara mereka diberi khabar tentang kelahiran anak perempuan, hitam (mukanya merah padam) dan dia sangat marah”. (Al-Quran surah Al-NahI ayat 58)
Berkali-kali Al-Quran dan sunnah menperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk Allah SWT. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun-walaupun masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah SWT
Dalam Islam adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertangungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Pada masa jahiliah yang lampau anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan, dan yang belum mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi masa jahiliah moden ini anak dibunuh oleh ibu bapa yang berpengetahuan. Apapun alasan pelaku pembunuhan bayi dewasa ini sebenarnya lebih buruk, kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada masa jahiliah.
Sebagai anggota masyarakat dan atas peranan kita sebagai hamba Allah, kita turut bertanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan dan kaedah yang berkesan untuk menangani gejala sosial yang serius ini. Ada pihak yang mahu peraturan undang-undang dan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas pelaku. Ada juga pihak mencadangkan agar institusi keluarga diperkukuhkan.
Ini langkah-langkah yang perlu. Namun, faktor agama perlu diutamakan. Ini meliputi aspek pendidikan (baik dalam keluarga, di sekolah atau melalui dakwah) serta kempen besar-besaran melalui saluran sesuai agar masyarakat lebih faham dan sama-sama berperanan menangani gejala ini secara Islamik. Kita juga perlu menyediakan pintu taubat kepada mereka yang menyesali perbuatan mereka dan ruang yang lebih besar kepada pihak NGO dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa selaras dengan matlamat kempen Masyarakat Penyayang.
