Baru-baru ini, satu berita palsu yang berniat jahat telah tular di media sosial. Dakwaan itu berbunyi - Kerajaan Persekutuan atau Jabatan di bawahnya akan mengarahkan penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.
Tuduhan ini, yang dilemparkan tanpa sebarang sumber sahih atau rasmi, adalah tidak benar sama sekali dan bersifat fitnah. YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Beliau kesal dengan perbuatan tidak bermoral yang menggunakan isu sensitif seperti institusi agama untuk menimbulkan kekeliruan dan mengancam keharmonian masyarakat.
Realiti: Sokongan Penuh Kerajaan MADANI Kepada Sekolah Pondok
Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam. Sekolah pondok, madrasah, dan tahfiz adalah tunjang penting dalam pembangunan Malaysia MADANI.
Tuduhan bahawa kerajaan berhasrat untuk menutup institusi ini adalah satu pembohongan. Sebaliknya, usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa agama adalah untuk memastikan penambahbaikan sistem pendaftaran dan penarafan.
Mengapa penambahbaikan ini penting? Ia adalah demi menjaga kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan, serta kualiti pengajian agama agar lebih tersusun dan diiktiraf. Justeru, tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan.
Prinsip Islam: Berwaspada Terhadap Berita Palsu
Perbuatan menyebarkan fitnah ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab dari sudut undang-undang dan sosial, malah ia bertentangan secara terang-terangan dengan ajaran Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiki dahulu (untuk menentukan) kebenarannya…”
Ayat ini adalah peringatan yang sangat keras. Ia menuntut kita supaya sentiasa bijak dan berwaspada dalam menilai berita yang diterima, terutamanya yang datang dari sumber yang tidak sahih atau bertujuan untuk menimbulkan suasana tidak harmoni.
Rasulullah SAW juga telah memberi amaran. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” - (HR Muslim).
Menyebarkan berita dusta, fitnah, atau khabar angin yang bermaharajalela di media sosial adalah satu dosa besar. Ia merebak umpama wabak dan boleh merosakkan perpaduan umat.
Taktik Politik: Menyebar Fitnah Demi Kuasa
Di Malaysia hari ini, kita saksikan bagaimana sesetengah pihak sanggup menggunakan fitnah dan pembohongan sebagai alat untuk meraih keuntungan politik. Naratif yang dimainkan adalah: Kerajaan hari ini bersifat liberal, tidak menghormati, dan tidak mengamalkan Islam. Dari naratif seperti ini, maka dicipta tuduhan liar seperti hasrat untuk menutup institusi pondok. Ia tidak lain dan tidak bukan bagi membina persepsi bahawa kerajaan kini adalah musuh Islam.
Perlu ditegaskan, Islam bukanlah milik eksklusif mana-mana parti politik di Malaysia. Seseorang yang benar-benar menghayati dan mengamalkan Islam, bertaqwa, tidak akan sekali-kali menggunakan 'fitnah' sebagai senjata untuk mendapatkan kuasa atau menyebarkan naratif politik. Fitnah adalah dilarang keras dalam Islam dan hanya akan menyebabkan manusia diselubungi kesesatan. Penyebar fitnah wajib bertanya diri sendiri satu soalan - Tamadun dan masyarakat apakah yang mereka mahu bangunkan, jika sanggup memfitnah sesama orang Islam?
Menolak Fitnah, Mempertahankan Maruah Institusi
Dato Dr Naim menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan imej dan maruah institusi Islam. Sebarang maklumat sahih berkenaan dasar atau keputusan rasmi akan disalurkan melalui saluran rasmi.
Kita wajib memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam. Fitnah yang berleluasa akan menyebabkan manusia akhirnya diselubungi kesesatan dan sanggup pula menjual agama bagi meraih kepentingan dunia.
Ingatlah, sehebat manapun satu fitnah itu direka, ia tidak akan bertahan lama. Hanya kebenaran sejati yang akan terpacak kekal. Tiada pilihan lain bagi umat Islam melainkan menghadapi cabaran maklumat ini dengan keimanan dan ketakwaan yang mantap, serta kemahiran dalam menilai antara kebenaran dan kepalsuan di media sosial.
“Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).” - Surah Al-Baqarah Ayat 281
