LANGKAH MENGELAK CERAI

LANGKAH MENGELAK CERAI

GAMBARAN SISTEM kekeluargaan dalam masyarakat Melayu-Islam semakin berantakan dan menuju parah. Saban hari ada saja pencerian. Ia memberi gambaran keruntuhan keluarga Melayu-Islam seolah-olah tidak dapat diselamatkan lagi. 

Keadaan ini mengingatkan kita tujuan sebenar seorang lelaki dan seorang perempuan diberi naluri ingin berkahwin. Teras penciptaan Allah SWT berbeza jantina adalah untuk membolehkan kedua-dua melayari sebuah kehidupan dalam satu kelainan jantina. Kelainan jantina itulah seterusnya dapat memenuhi fungsi gandaan, iaitu mendapat zuriat sebagai sebuah kelangsungan ummah.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia telah menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada mereka dan Allah jadikan di antara kamu perasaan mesra dan kasih sayang.” (Maksud al-Quran Surah Al-Rum, ayat 21)

“Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka.” (Maksud al-Quran Surah Al-Baqarah, ayat187)

Penemuan kajian oleh Jakim suatu ketika dulu berdasarkan prinsip hubungan dengan permasalahan, sekurang-kurangnya memberikan kita sedikit gambaran bahawa perkahwinan pasangan Melayu-Islam perlu dilakukan sesuatu tindakan pembetulan agar ia dapat diselamatkan. Islam meletakkan kekuatan sesebuah keluarga sebagai asas penting; ia kini menjadi semakin longgar dan mudah dalam perspektif masyarakat Islam sendiri.

Sijil kebenaran berkahwin itu perlu diambil melalui kursus mempelajari ilmu perkahwinan, nampaknya juga telah gagal untuk menurunkan tahap penceraian masyarakat Melayu-Islam.

Perlu ada rasa tanggungjawab dan benar-benar boleh menasihati pasangan yang ingin bercerai berfikir secara lebih mendalam. Apabila seorang teruna dan dara diijabkabulkan, maka terbinalah apa yang disebutkan sebagai rumahtangga. Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumahtangga.

Akan tetapi Islam melihat rumahtangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem keluarga. Islam memandang rumahtangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan dan kediaman. Di bawah naungan rumahtangga, berlaku pertemuan di antara hati-hati, iaitu pertemuan yang ditegakkan di atas lunas-lunas kasih mesra, saling simpati, saling lindung melindungi, saling berbudi, juga ditegakkan di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri.

Di bawah lindungan rumahtangga juga lahirnya anak-anak dan suburnya muda mudi. Dan dari rumahtangga juga, memanjangnya tali hubungan kasih sayang dan hubungan saling bantu membantu.

Kerana itulah al-Quran menggambarkan rumahtangga dengan gambaran yang halus dan lembut, iaitu gambaran hubungan yang terpancar daripadanya rasa kasih mesra. Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum.

Itulah hubungan di antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang dan hubungan perlindungan dan budi baik, malah daripada ungkapan kata-kata al-Quran itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.

Islam memberi segala perhatian dan jaminannya kepada rumahtangga ini sebagai sel atau tapak semaian atau tempat pertemuan keluarga.

Oleh itu banyak ayat al-Quran jika diteliti, jelas menghubungkan persoalan keluarga itu secara langsung kepada Allah. Ini menggambarkan betapa besarnya kedudukan keluarga dalam sistem Islam dan betapa tingginya nilai keluarga di sisi Allah SWT.

Perhatian yang amat besar terhadap kedudukan keluarga adalah sesuai dengan kehendak takdir Ilahi yang sejak dari mula menegakkan kehidupan umat manusia di atas asas keluarga, iaitu ketika takdir Ilahi memutuskan bahawa sel pertama dari kewujudan bangsa manusia di alam ini ialah keluarga Adam a.s. dan isterinya, dan dari sel pertama inilah umat manusia berkembang biak.

Allah SWT memang berkuasa untuk mencipta berjuta-juta manusia dengan sekali gus sahaja tetapi takdir Allah telah menentukan bahawa kewujudan mereka adalah bermula daripada keluarga Adam a.s. kerana satu hikmat yang tersembunyi di sebalik tugas besar keluarga dalam kehidupan manusia, di mana ia memenuhi kehendak fitrah manusia dan kesediaan-kesediaannya, juga menyuburkan sahsiahnya dan budi pekertinya yang mulia, malah menerima kesan-kesan yang paling mendalam dalam hidupnya.

Kemudian perhatian berat Allah SWT terhadap urusan kekeluargaan dalam sistem hidup Islam selaku agama Allah yang terakhir ini adalah selaras dengan takdir Allah yang mula-mula mengatur penciptaan manusia, sama seperti keselarasan yang wujud dalam setiap ciptaan Allah, di mana tidak terdapat keadaan-keadaan yang tidak seimbang dan bercanggah.

Islam juga memberi perhatian yang sebegitu besar terhadap hubungan suami isteri dan keluarga kerana Islam berhajatkan ketinggian hubungan-hubungan insaniyah ini ke taraf kesucian yang merapatkan hubungan dengan Allah dan menggunakan hubungan ini sebagai sarana untuk membersihkan roh dan perasaan, bukannya seperti hubungan yang dipandang oleh agama-agama paganisme dan pengikut agama-agama yang sesat yang menyeleweng jauh daripada fitrah manusia yang telah diciptakan Allah.

Islam tidak memerangi dorongan-dorongan keinginan semula jadi dan tidak memandang keinginan-keinginan semula jadi itu sebagai kotor. Malah Islam mengawal keinginan-keinginan itu dengan peraturan-peraturan, juga membersih dan mengangkatnya dari taraf haiwan ke taraf menjadi paksi kehidupan, di mana beredar di sekitarnya peradaban peribadi dan sosial, juga menegakkan hubungan-hubungan seksual di atas asas perasaan kemanusiaan yang luhur yang menjadikan pertemuan dua badan itu sebagai pertemuan dua jiwa, dua hati dan dua roh. Atau dengan ungkapan yang lebih syumul ialah pertemuan dua manusia yang terikat dengan kehidupan bersama, cita-cita bersama, senang susah bersama, dan masa hadapan bersama yang bertemu dengan zuriat keturunan yang ditunggu-tunggu atau dengan generasi baharu yang akan lahir di dalam rumahtangga yang sama, di mana mereka dijaga ayah dan ibu yang tidak bercerai.

Islam menganggap perkahwinan sebagai sarana untuk membersih dan meningkatkan diri. Ia menyeru umat Muslimin supaya mengahwinkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan mereka untuk merealisasikan sarana yang perlu untuk membersihkan dan meningkatkan kehidupan seseorang.

Islam menamakan perkahwinan itu sebagai ‘ihsan’ atau langkah pemeliharaan dan kawalan diri, dan dengan itu tersematlah di dalam hati orang-orang Mukmin bahawa hidup tanpa kahwin atau tanpa kawalan diri itu, walaupun dalam masa yang singkat, tidak mendapat keredaan Allah. Ujar al-Imam Ali Karramallahu wajhahhu apabila beliau segera berkahwin selepas kewafatan isterinya, Siti Fatimah, puteri Rasulullah SAW; “Aku takut menemui Allah dengan keadaan bujang.” Kerana perkahwinan dalam adat resam orang-orang yang beriman termasuk dalam amalan-amalan ketaatan untuk mendampingkan diri kepada Allah dan meningkatkan diri ke mertabat yang suci.

Yang menjadi pokok pangkal dalam hubungan perkahwinan ialah kemantapan hidup dan kelanjutannya, kerana itu Islam mengawal hubungan ini dengan segala jaminan yang boleh menjamin kemantapan hubungan itu dan kelanjutannya.

Untuk mencapai matlamat ini, Islam mengangkat hubungan perkahwinan ke taraf amalan-amalan ketaatan kepada Allah dan memberi bantuan kepada orang-orang yang miskin lelaki dan perempuan dari wang negara untuk membolehkan mereka mendirikan rumahtangga.

Di samping itu Islam mewajibkan peradaban-peradaban yang melarang perempuan menunjuk-nunjukkan kecantikan diri mereka supaya perasaan lelaki tenteram dan supaya hati mereka tidak tertarik kepada panggilan-panggilan kejelitaan yang mempesona yang didedahkan di pasar-pasar.

Islam juga menetapkan hukuman zina dan hukum menuduh perempuan baik dengan tuduhan yang curang. Islam telah menetapkan kehormatan bagi rumahtangga. Ia tidak boleh dimasuki melainkan terlebih dahulu meminta izin.

Islam mengatur hubungan-hubungan suami isteri dengan undang-undang yang tertentu. Ia menegakkan sistem rumahtangga di atas dasar lelaki sebagai penguasa kerana lelaki merupakan rakan kongsi yang lebih kuat dan lebih mempunyai kemampuan untuk menjadi penguasa rumahtangga.

Langkah ini adalah untuk mengelakkan berlakunya kacau-bilau, kucar-kacir dan pertelingkahan rumahtangga dan lain-lain lagi dari berbagai-bagai jaminan dan peraturan untuk memelihara rumah tangga dari segala kegoncangan selain dari nasihat-nasihat dan bimbingan-bimbingan untuk mengawal perasaan, selain menghubungkan hubungan itu dengan takwa kepada Allah dan pengawasan-Nya.

Namun demikian, realiti hidup manusia membuktikan bahawa terdapat keadaan-keadaan yang membawa kepada keruntuhan dan perpecahan dalam rumahtangga walaupun terdapat berbagai-bagai jaminan dan bimbingan yang dituju untuk mengelakkan keruntuhan itu.

Keadaan-keadaan yang seperti ini perlu dihadapi secara amali sebagai mengiktiraf logik realiti yang tidak lagi berguna dilawan apabila kehidupan suami isteri tidak dapat diteruskan dan apabila usaha untuk mengekalkan hubungan itu menjadi satu usaha yang sia-sia dan tidak dapat ditegakkan lagi di atas mana-mana asas pun.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049193
Hari ini: 115
Minggu Ini: 623
Bulan Ini: 4,655
Tahun Ini: 49,193
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.