DILEMA PEMIKIR ISLAM: EJEN PERUBAHAN ATAU PAK TURUT?

DILEMA PEMIKIR ISLAM: EJEN PERUBAHAN ATAU PAK TURUT?

Gerakan Islam sepatutnya menjadi ejen perubahan, atau seperti yang dinyatakan oleh Professor Khairuddin Aljunied, taghyir. Tetapi mengapa hari ini, ramai pemikir dan gerakan Islam nampak seolah-olah hanya menjadi 'pak turut' dan sudah tidak berani mengetengahkan buah fikiran mereka?

Sewaktu zaman Islam Hadhari, semua NGO-NGO pemikir Islam menulis tentang persetujuan mereka dengan Islam Hadhari. Trend bersetuju ini juga dilihat pada setiap slogan kerajaan sesudahnya. Ia juga tidak terikat dengan slogan kerajaan sahaja, malah diamalkan oleh parti-parti politik pembangkang.

Ini merupakan satu gejala yang menunjukkan hilangnya kebebasan berfikir. Ramai pemikir Islam sudah "tersilap langkah" dan bergerak ke “haluan yang salah”. Mereka lupa bahawa tanggungjawab seorang pemikir adalah untuk menyampaikan kebenaran tanpa rasa takut kepada siapapun selain Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 39:
“Dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” - Surah Al-Ahzab ayat 39

Justeru apakah puncanya? Terlihat tiga penyakit utama yang telah melemahkan gerakan Islam hari ini.

Penyakit Pertama: NGO Islam “Dibirokratkan”
Apabila pemimpin gerakan dan pemikir Islam mula dimasukkan ke dalam institusi kerajaan, ataupun menerima gaji dan imbuhan dari parti politik, mereka secara automatik akan menjadi birokratik. Mereka terperangkap dalam kotak birokrasi dan tidak lagi boleh berfikir menjangkau dari apa yang para penguasa perlukan.

Fokus mereka beralih. Menurut Profesor Khairuddin, mereka sudah mula “makan gaji” dan terpaksa “jaga periuk nasi” masing-masing. Profesor juga mengeluarkan satu analogi yang pedas:
“Kalau dulu, pergerakan Islam menyiapkan nasi untuk kaum du’afa, sekarang pemikir-pemikir Islam perlukan nasi daripada orang-orang yang membayar mereka.”
Apabila habuan dunia menjadi keutamaan, maka kebenaran terpaksa dikorbankan.

...dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (murah), dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.” - Surah Al-Baqarah ayat 41

Penyakit Kedua: "Dipolitikkan"
Gerakan yang sepatutnya bebas telah menjadi “gerakan Islam politik”. Islam yang asalnya adalah “untuk masyarakat” telah bertukar menjadi Islam “untuk politik”.

Akibatnya, projek perubahan menjadi “pragmatik” dan tidak lagi berupaya untuk memandang ke masa hadapan. Pemikir-pemikir Islam yang membawa hasrat dan agenda politik, hanya berfikir tentang kelangsungan atau strategi dalam perebutan kuasa politik, bukan bagaimana untuk mencorak masa depan ummah berdasarkan prinsip yang hakiki.

Penyakit Ketiga: “Kenegaraan”
Fokus yang terlalu sempit pada negara sendiri, seperti “Ke-Malaysia-an” atau “Ke-Indonesia-an” atau “Ke-Singapura-an” telah menjadikan gerakan pemikir itu eksklusif dan berpecah-belah. Mereka mula bersikap “holier than thou” iaitu merasakan mereka sahaja yang betul, berdasarkan kewarganegaraan sendiri. Seolah-olah lupa pada perintah Allah SWT untuk bersatu di bawah satu panji yang lebih besar.

Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran ayat 103:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…” - Surah Ali 'Imran ayat 103

Justeru apakah kesan dari tiga penyakit ini?
Pertama, gerakan Islam sibuk bergaduh sesama sendiri tentang isu-isu polemik dan isu furuk (iaitu perkara cabang) yang kecil. Ini membuatkan isu-isu sebenar ummah diabaikan. Siapa yang bercakap tentang kemiskinan tegar di kalangan umat Islam? Siapa yang membahaskan isu rasuah secara sistematik dari perspektif gerakan Islam? Siapa yang menyuarakan tentang ideologi seksual Barat yang mempengaruhi anak muda melalui telefon pintar? Hampir tiada.

Akibatnya, wujud satu kekosongan yang ketara. Golongan sekular dan liberal pula yang kini lantang bersuara tentang isu keadilan sosial dan kemiskinan, isu-isu yang sepatutnya menjadi teras perjuangan Islam. Kita telah gagal untuk merasai penderitaan ummah seperti yang dituntut oleh Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, menyayangi dan berbelas kasihan adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh tubuh akan merasakannya dengan demam dan tidak dapat tidur.”

Apabila isu sebenar diabaikan, maka banyaklah aktiviti gerakan Islam kini hanya bersifat kosmetik dan kurang impak; menganjurkan persidangan besar-besaran yang gah, tetapi tiada perubahan sebenar di peringkat masyarakat.

Maka gerakan Islam melalui NGO, dan pemikir-pemikir Islam mesti beralih fokus. Kurangkan penglibatan langsung dalam politik kepartian, dan sebaliknya menjadi kumpulan melobi atau lobby groups dan pencorak pemikiran atau “opinion makers” yang berkuasa.

Kita perlu melahirkan pemikir yang berfikiran bebas dan berani merintis jalan baru, dari generasi masa hadapan. Satu generasi yang tidak meninggalkan tradisi keilmuan Islam, tetapi berupaya untuk memikirkan tentang ummah ini. Terutama sekali, anak-anak muda ini mesti dibenarkan untuk mengkritik gerakan mereka sendiri secara terbuka, supaya gerakan itu sentiasa hidup dan dinamik, bukan jumud dan kaku.

Para pemikir Islam mesti berhenti berdebat isu-isu kecil sesama sendiri dan mula menguasai perbincangan isu-isu besar dunia. Di mana suara pemikir Islam yang autoritatif di pentas global dalam isu Kecerdasan Buatan (AI), Perubahan Iklim, atau Penyahmanusiaan (Dehumanization) yang kita lihat berlaku di Gaza dan Sudan?

Persoalannya kini terletak di bahu kita, terutamanya para pemikir dan aktivis. Adakah kita mahu kekal sebagai birokrat yang dibayar gaji untuk mempromosikan slogan? Atau kita mahu ummah ini bangkit menjadi perintis yang berfikiran bebas, yang berani bersuara kerana takutkan Allah SWT, bukan kerana takut kehilangan dunia.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048166
Hari ini: 114
Minggu Ini: 1,702
Bulan Ini: 3,628
Tahun Ini: 48,166
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.