CINTA ABADI MEKAR MEWANGI TANPA HADIR DAN WAJAH

CINTA ABADI MEKAR MEWANGI TANPA HADIR DAN WAJAH

Cinta itu abadi walaupun tidak terlihat.
Cinta itu mewangi seperti bunga yang tidak akan gugur walaupun apa, dan musimnya berganti.
Cinta itu sentiasa hadir dan segar meskipun tiada wajah dan rupa yang menjelma.
Cinta itu sentiasa mekar meskipun dikejar belum kesampaian; cinta yang abadi: tanpa wajah, tanpa dakapan dan tetap hadir dalam seluruh pembuluh darah tanpa rasa sakit oleh kerinduan.
 
"Cintailah semua orang", kata Jalaludin Rumi, "nescaya kau akan selalu berada di antara bunga mawar dan taman-taman syurgawi. Jika kau membenci semua orang, maka BAYANG-BAYANG musuh selalu berada di depan matamu, seakan-akan kau berputar-putar siang dan malam di antara tanaman berduri dan ular yang siap menerkam."
 
"Tidak seorang pun mampu meminta kekasih membuktikan kecantikan kekasihnya," sambung Jalaludin Rumi, "dan tidak ada seorang pun mampu meyakinkan seseorang yang jatuh cinta dengan segala hal yang membolehkan dia membenci kekasihnya. Segala bukti tidaklah berguna. Dan, seseorang itu perlu memasuki ke dalamnya untuk mencari cinta."
 
Biarpun petikan itu adalah hadir dalam bentuk fiksyen, Elif Safak menulisnya berdasarkan pemahamannya yang mendalam tentang "cinta" antara Syamsudin Tabrizi dan Jalaludin Rumi yang terjalin antara tahun 1244 hingga 1247, yang ikut berlaku pasang surutnya, dalam Forty Rules of Love (2007).
 
Rumi dalam "mabuk cinta" meninggalkan beberapa kelazimannya, lebih banyak menghabiskan masa bersama Syam Tabrizi, sehingga menyebabkan sesi pengajarannya diserahkan kepada anaknya, Sultan Walad dan pembantunya, Hishamudin Chelibi.
 
Anak lelaki dan beberapa orang murid mula curiga, akhirnya menyusun strategi untuk menjauhkan Rumi dan Syam Tabriz. Syam sedar "ancaman" tersebut, akhirnya meninggalkan Rumi dalam "kebingungan cinta": mandi tak basah, makan tak lalu, mundar mandir tanpa malu mencarinya.
 
Mencari-cari, berbulan-bulan lamanya. Akhirnya mendapat khabar, Syam masih hidup dan berkelana di sebuah kota, di mana kota itu juga menjadi lokasi pertama pertemuan antara mereka buat pertama kali. Namun, pertemuan pertama itu tidak "membenih rindu", hanya sekadar bertemu dan menyapa. (Leslie Wines, Rumi: A Spiritual Biography, 2000).
 
Diputuskan anaknya, Sultan Walad menjemput Syam pulang ke Konya. Syam kemudiannya bersetuju, dan sebaik tiba di Konya, Rumi menyambut dalam riang dan penuh kegembiraan, ibarat "terhapus hutang" yang ditanggung. Cinta kembali mengalir laju seumpama air sungai tanpa jeram walaupun sedikit berliku.
 
Rumi akhirnya menawarkan calon isteri kepada Syam, iaitu Kimiya, anak tiri dan murid perempuan yang dititipkan oleh sebuah keluarga untuk dididik mengenai al-Quran. Kimiya mempunyai "sixth sense" dan cenderung kepada pengalaman mistik dan Islam. Ayahnya terpaksa mengembara mencari sang guru yang dapat mengajar Kimiya, kerana bukan sahaja dikatakan cerdik, bahkan mempunyai "keajaiban" dalam mencerapi sesuatu, yang tidak mampu dilakukan oleh saudara dan rakan-rakan yang lebih berusia.
 
Perkahwinan Syam dan Kimiya tidak kekal lama, kerana ancaman tidak pernah berhenti. Syam menghilang, ada yang mengatakan dibunuh oleh tujuh orang lelaki yang diutuskan oleh Alaudin, putera Rumi sendiri yang sangat cemburu: cemburu hubungan Syam dan ayahnya sehingga menyebabkan keluarga terasa diabaikan; dan ada dakwaan, Alaudin cemburu kerana Syam berkahwin dengan Kimiya yang turut menjadi idaman dalam diam. Apa lagi, ketika itu Syam sudah boleh dipanggil datuk, sedangkan Kimiya masih belasan tahun. Alaudin masih di akhir remaja, cukup sepadan jika mereka dijodohkan.
 
Atas hubungan antara keduanya, maka lahirlah dua karya besar Jalaludin Rumi, Diwan i-Kabir (Diwan Syam Tabrizi) dan untaian puisi yang panjang, Matsnawi Ma'nawi (Matsnawi atau Matsnawi Hishamudin), setebal enam jilid, yang masih menjadi bacaan spiritual terbesar dalam sejarah. Terjemahan lengkap bahasa Melayu sudah ada (Mathnawi oleh Prof Dr Mohd Ajmal Abdul Razak al-Aidrus, 28 Februari 1959 -16 September 2017, semoga Allah mencucuri rahmat rohnya), namun dalam bahasa Indonesia, belum ada biarpun begitu banyak terjemahan eceran dan ulasan puisi-puisi Rumi diterbitkan.
 
Diwan i-Kabir mengandungi 36,000 bait puisi dan sebahagian besarnya ditulis dalam bentuk ghazal. Matsnawi Maknawi mengandungi 25,000 bait prisa kirik (ada anggaran lain 40,000 bait), yang dihasilkan selama 12 tahun terakhir usia Rumi dan disusun dalam enam jilid yang mengambil ruang setebal 2000 halaman. (Abdul Hadi WM, Jalaludin Rumi Masnawi: Senandung Cinta Abadi, 2017, hal.16-17). Ada pelbagai ragam ejaan mengenai Kumpulan puisi ini, Mathnawi.
 
Hubungan "cinta spiritual" itu ikut diselubungi cemburu, sakit hati dan rasa ngilu, bukan sahaja orang di sekelilingnya, termasuk isterinya yang cukup jelita, Kierra Khatun. Kierra pernah memberontak dan merasa diketepikan setelah Syam hadir dalam kehidupan Rumi. (Franklin Lewis, Rumi, Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalaludin Rumi, 2000; and Annemarie Schimmel, Akulah Angin, Engkaulah Api: Kisah Hidup Jalaludin Rumi, edisi keempat, 2016)
 
Ada cerita yang tidak sahih mengatakan Rumi akhirnya sedar mengenai naluri seorang isteri apabila "diketepikan" oleh suami sendiri. Ghairah seks Rumi dikatakan "kurang" kerana sentiasa berpuasa dan berjaya malam menelaah kitab ayahnya, Bahaudin Walad, al-Maa'rif.
 
Menurut cerita daripada al-Aflaki, salah seorang murid cucu Jalaludin Rumi, yang dipetik daripada seorang wanita yang menjadi tempat Kiera meluahkan "rasa hati": sebab itulah dia tidak pernah melihatku dan tidak pernah pedulikan kecantikan fizikalku. Aku tidak tahu apakah masih ada sifat manusiawi dan ghairah perkahwinan dalam dirinya." Kiera adalah seorang janda muda yang mempunyai dua orang cahaya, usianya masih muda. Ketika berkahwin kaki kedua, usia Rumi sudah 35/35 tahun, dan juga mempunyai dua orang anak. Isteri pertama Rumi, Ghauhar Khatun meninggal dunia pada tahun 1242/1243. Rumi San Ghauhar berkahwin pada tahun 1223/1224 di Larende.
 
Rumi berkahwin kali kedua beberapa bulan (1243/1244) sebelum kedatangan Syam Tabrizi ke Konya (29 November 1244) , yang menjadi sebahagian daripada "olahan jiwa" seorang isteri, ahli keluarga Dan seluruh madrasah yang diterajui oleh Rumi. Menurut al-Aflaki lagi, Rumi mengetahui fikiran isterinya.
 
Pada satu malam, Rumi berusaha "membayar hutang", dan meredakan penasaran psikologi seorang isterinya. Rumi mendekati Kierra dengan ghairah. Malam itu, Rumi menghabiskan malam tanpa rasa penat dan jemu, tetapi Kierra merasa tidak lagi mampu bertahan untuk melayani nafsu Rumi. Keirra melompat keluar bilik dan memanjat bumbung rumah untuk menghindari suaminya, yang kemaruk berahi malam itu. Dikatakan, Rumi melakukannya sebanyak 70 kali, masih belum mahu berhenti. (al-Aflaki, Manaqib al-Arifin, dikutip secara meluas oleh Franklin Lewis dan Leslie Wines).
 
Rumi, yang terkenal dengan bait-bait puisi yang membawa pengalaman, harapan dan perjalanan cinta, terus kekal dijadikan sumber memahami erti cinta, walaupun cinta itu sendiri terlalu sukar untuk didefinisikan.
 
Ulang Elif Safak tentang ajaran cinta Syam Tabriz: Adalah mudah bagi kita untuk mencintai Tuhan yang Maha Sempurna, Suci dan Terbebas dari kekurangan. Yang paling sukar ialah mencintai sesama manusia, dengan segala ketidaksempurnaan dan kekurangannya. Ingatlah, seseorang hanya akan mampu memahami apa yang mungkin dia cintai. Tidak ada kebijaksanaan tanpa cinta. Selama kita tidak belajar untuk mencintai makhluk Tuhan, kita tidak akan dapat benar-benar mencintai sesiapa pun dah mengenal Tuhan."
 
Dan, kerana itu, ajar Syam Tabriz: Kekotoran sebenar itu ada di dalam diri. Ada kekotoran yang nampak dan senang dibersihkan. Tetapi, ada satu jenis kekotoran yang sangat sukar dibersihkan walaupun dengan air bersih. Itu adalah kebencian dan fanatisme buta yang telah melekat di dalam ruh. Kita boleh bersihkan tubuh kita dengan menjalani hidup sederhana (sesederhananya) dan berpuasa. Tetapi, hanya cinta yang mampu membersihkan hati kita".
 
Semuanya kerana "dunia adalah ladang masa depan. Setiap apa yang kita tanam, akan kita tuai hasilnya kelak", yakni kata Imam al-Ghazali "di akhirat nanti".
 
Pesan Jalaludin Rumi lagi, "Akal yang ada di dalam tubuh manusia umpama pemimpin. Selama anggota tubuh taat (setia), maka semuanya akan berjalan dengan sempurna. Tetapi apabila mereka memberontak (anggota tubuh), maka semuanya berantakan."
 
Dan, kerana itu, lanjut Rumi: " Andaikata dunia dipenuhi cahaya, seseorang itu tidak akan mampu melihatnya bila kata tidak bercahaya, dan cahaya itu berasal dari dalam diri.
 
Agaknya, itulah yang dilihat dan menerangi dua hati sehingga cinta mereka kekal mewangi, biarpun dihalang pelbagai sekatan dan rasa ledih. Layla, terkurung oleh dinding yang memisahkan pertemuannya dengan Qais, berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya, akhirnya terbebas oleh belenggu dan sekatan. Tetapi, dia tidak menemui kembali Qais yang mabuk cinta sehingga lupa diri dan hidup bersama binatang di hutan.
 
Layla kemudiannya jatuh sakit dan meninggal. Qais yang mendapat tahu, terpaku kajundi kuburan Layla, dan akhirnya meninggal di pusara kekasihnya. Qais kemudiannya digelar Majnun, yang bermaksud "orang gila, kerasukan atau mabuk cinta", terus hidup sebagai makna cinta sejati. Ia juga menjadi lambang cinta abadi, simbolik cinta seorang pencinta terhadap kekasihnya, dan dalam makna spiritual, cinta sangat tidak menerapkan "mesti memiliki" tetapi "cinta adalah kerinduan tanpa batas dan ruang" terhadap Maha Besar dan Maha Sempurna, Maha Penyayang.
 
Cinta itu harum tanpa hilang walaupun musim berganti dan Siang Bertukar Malam, kerana Malam adalah ruang paling sunyi dan hening, paling kondusif untuk bercinta. Bisik Rumi:
 
Wahai malam, kau senantiasa bahagia.
Maka, kami pun datang dengan gembira
dengan gembira.
Semoga Allah memberimu umur hingga hari Kiamat.
Dalam hatiku ada bara api
yang menyala dari keindahan Kekasih.
Wahai duka,
jika kau punya nyali
datanglah ke mari."
 
(Terjemahan dari Ruba'iyat oleh Kuswadie Syafi'ie, Maulana Rumi: Bawalah Mayatku Pada Kekasihku, 2022).
 
Rumi bukan sekadar meluahkan idiom dalam "belantara kata-kata", tetapi, kata Kuswaidi Syafi'ie, pengasuh dan pengajar Pondok dan Pesantrean Maulana Rumi di Yogyakarta, Indonesia " genangan madu spiritual yang dialaminya sendiri....sebagai bungkus atau kenderaan yang sedemikian ringan dan transparen. Sehingga sangat gesit [tangkas, cepat] terbang menghinggapi fikiran dan jiwa-jiwa para pembacanya.'
 
Kalau dalam hati tidak ada api, kenapa ada asap ini?
Jika kayu gaharu tidak terbakar, dari manakah wangi gaharu ini?
Aku seorang pencinta yang hancur, apakah sebabnya?
Kebahagiaan menyengat,
adalah ketika terbakar oleh lilin,
Kenapa?
....
Apabila seorang pencinta
yang teguh mendengar ancaman musuh,
dia akan menghalau keldainya
dengan penuh kekuatan
menuju tepi Ilahi
Kerana tidak pantas seorang pencinta
meninggalkan kekasih
hanya kerana ancaman musuh
Pun,
tidak pantas berpaling dari hakikat
hanya kerana berpegang
pada prasangka.
 
Walau ringan melanda, ancaman membadai laluan, cinta sejati akan terus hidup dan jiwa semakin kental. Cinta Ilahi adalah tiang rohani yang paling indah dan teguh, terhindar daripada segala parasangka dan praduga, kerana hulu dan hilirnya adalah Allah SWT.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049187
Hari ini: 109
Minggu Ini: 617
Bulan Ini: 4,649
Tahun Ini: 49,187
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.