SEKOLAH AGAMA TIDAK BERDAFTAR BAWA MUDARAT

SEKOLAH AGAMA TIDAK BERDAFTAR BAWA MUDARAT

Pembentukan sahsiah dan jati diri seorang Muslim bermula daripada pendidikan agama sejak kecil. Di Malaysia, sekolah memikul tanggungjawab besar dalam mendidik pelajar tentang kehidupan beragama Islam. Namun begitu, pada 5 November 2025 lalu, negara dikejutkan dengan berita mengenai seorang murid tahun lima di sebuah sekolah rendah swasta di Puchong yang tidak dapat menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA pada tahun ini kerana sekolah tersebut tidak berdaftar dan tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Oleh hal demikian, terdapat beberapa kesan yang timbul terhadap pelbagai pihak dalam isu ini.

Antara kesan utama ialah ia menjejaskan masa depan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar tidak mempunyai sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA untuk menilai tahap kecemerlangan pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah. Mereka juga akan ketinggalan, sekali gus mengganggu jadual bagi menduduki ujian lain. Contohnya, ketiadaan keputusan daripada peperiksaan UPKK akan menjejaskan peluang mereka untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama. Oleh itu, jelas bahawa ketiadaan pengiktirafan ini boleh menjejaskan masa depan dan cita-cita pelajar.

Selain itu, pelajar yang menimba ilmu di sekolah tidak berdaftar juga sukar menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran baharu. Ini berikutan kenyataan pihak JAKIM yang menyarankan agar mereka dipindahkan ke sekolah berdaftar. Apabila perkara ini berlaku, pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan silibus dan suasana baharu dalam masa yang singkat, yang boleh mengganggu emosi mereka. Sebagai contoh, perpindahan sekolah boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan dalam menghadapi peperiksaan UPKK. Oleh itu, perpindahan akibat status sekolah yang tidak berdaftar boleh menjejaskan kestabilan emosi dan tumpuan pelajar terhadap pelajaran.

Seterusnya, kewujudan sekolah agama tidak berdaftar turut mengurangkan kualiti pendidikan Islam di negara ini. Tanpa pengawasan daripada JAKIM atau jabatan agama negeri, silibus yang digunakan sukar dipastikan kesahihan dan sumbernya. Hal ini boleh menyebabkan pelajar menerima ilmu agama yang tidak sahih dan membawa kepada penyelewengan fahaman. Misalnya, pengajaran mungkin hanya bersumberkan bahan internet tanpa rujukan yang tepat. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami hukum-hakam Islam sebenar. Justeru, kelemahan sistem di sekolah tidak berdaftar akan menjejaskan kualiti pendidikan Islam dan kefahaman ilmu agama yang tulen.

Di samping itu, isu sekolah agama tidak berdaftar turut membebankan kewangan ibu bapa. Ramai ibu bapa beranggapan sekolah tersebut telah berdaftar, namun sebaliknya berlaku. Mereka sanggup membayar yuran tinggi demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama terbaik. Namun, apabila mengetahui perkara sebenar, mereka menanggung kerugian setelah bertahun-tahun membayar yuran kepada sekolah berkenaan. Situasi ini menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan ibu bapa, sekali gus menggugat kepercayaan terhadap institusi pendidikan tersebut. Oleh itu, isu ini juga memberi kesan kewangan kepada ibu bapa yang perlu mencari alternatif baharu bagi pendidikan anak-anak mereka.

Akhir sekali, imej institusi Islam di Malaysia turut tercemar akibat isu sekolah agama tidak berdaftar ini. Seperti yang diketahui, masyarakat Malaysia lantang menyuarakan pandangan apabila sesuatu isu timbul. Dalam kes ini, sesetengah pihak beranggapan bahawa institusi Islam tidak tegas dalam aspek penguatkuasaan dan pengawasan. Hal ini boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan pihak berkuasa agama negeri. Contohnya, rentetan isu ini telah menimbulkan pelbagai andaian negatif terhadap kecekapan pihak berwajib yang sepatutnya bertanggungjawab. Oleh itu, imej Islam boleh terjejas apabila penguatkuasaan tidak dilaksanakan dengan amanah dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, isu sekolah agama tidak berdaftar memberi impak besar kepada pelbagai pihak, khususnya pelajar dan ibu bapa. Pelajar menjadi golongan paling terkesan kerana berhadapan dengan cabaran yang boleh menjejaskan masa depan mereka. Pihak berkuasa perlu lebih peka dan tidak memandang remeh terhadap perkara ini. Peranan sekolah dan JAKIM amat penting bagi memastikan isu seperti ini tidak berulang. Ibu bapa juga harus peka terhadap maklumat asas sekolah sebelum mendaftarkan anak-anak mereka. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu agar pendidikan agama Islam di Malaysia dapat terus dipelihara. Tuntasnya, pendidikan agama yang berkualiti akan melahirkan insan berdaya saing, berdisiplin, bertanggungjawab dan amanah dalam masyarakat.

Nurul Infaizah Mohamad Monir ialah Pelajar Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Sumber: bebasnews.my

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019394
Hari ini: 244
Minggu Ini: 1,989
Bulan Ini: 4,535
Tahun Ini: 19,394
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.