PEMBANJIRAN BERITA?

PEMBANJIRAN BERITA?

Semasa belajar teori komunikasi, kita yakinkan bahawa bidang komunikasi cukup penting dalam kehidupan manusia: mengukuhkan ikatan dalam kelompok menerusi pembentukan persefahaman bersama (mutual understanding), lawannya, ialah mengelakkan berlakunya salah faham (misunderstanding) dan krisis atau konflik.

Teori komunikasi bukan sahaja meletakkan bidang itu sebagai sarana penyebaran dan pemahaman maklumat, juga menyarankan komunikasi penting perubahan daripada tidak tahu kepada lebih tahu. Tahun 1970-an timbul konsep ‘pengetahuan adalah kuasa –knowledge is power- di mana seseorang yang dapat menguasai maklumat akan menjadikan dirinya berkuasa, lalu berlakulah industri maklumat dengan maraknya pelbagai saluran komunikasi selain buku, radio, televisyen dan agensi pemberitaan. (Alvin Toffler, Future Schock, 1970; Third Wave (1994) dan Powershift: Knowledge, Wealth, and Power at the Edge of the 21st Century, 1991).

Tahun 1980, kemunculan dan perkembangan teknologi komunikasi menjadi perdebatan terutama kehadiran direct broadcasting satellite (DBS). Teknologi itu memungkinkan orang ramai mendapat apa sahaja yang disiarkan sebagai program televisyen dari mana-mana belahan dunia sekiranya seseorang itu mempunyai ceper (disc) atau piring satellite di rumah, serta alat penerima isyarat yang dipanggil decoder.

Tahun 1990-an, tekonologi komunikasi menjadi semakin meluas setelah berlakunya gabungan antara komputer (sebagai alat memproses maklumat), visual dan audio, yang kemudiannya digabungkan dengan teknologi internet menyebabkan radio, televissyen mula berhadapan dengan dilemma sebagai sumber berita atau maklumat yang berpengaruh.

Menjelang tahun 2000-an, teknologi internet, jalur lebar (broadband) dan wide fidelity (wi-fi, iaitu teknologi kesambungan internet tanpa wayar menerusi peranti tertentu) saling berusaha untuk mengatasi satu sama lain, cuba saling melengkapi. Setelah kehadiran peranti bergerak yang lebih kecil dan mudah di bawa, teknologi sambungan internet tanpa wayar, ia turut memudarkan industri persuratkhabaran sebagai sumber berita yang berwibawa.

Kemunculan gajet – handphone, tablet dan smartphone – akhirnya benar-benar mengubah perspektif bidang maklumat, tidak lagi dicari menerusi akhbar, majalah, dan buku, ia dicari dalam alat-alat tersebut di mana-mana sahaja pemiliknya berada. Namun, ia bergantung kepada perkhidmatan internet ataupun sambungan wifi. Malaysia turut mengalami kesuraman itu, sebaliknya mencambahkan kemunculan lebih ramai wartawan yang tidak terlatih dan berorganisasi, yang dipanggil citizen journalist ataupun keyboard wariors.

Media konvensional (akhbar, televisyen dan radio) dianggap tidak mampu menawarkan pertama dalam pemberitaan, beralih kepada pengesahan sesuatu berita, dan dalam kelesuan itu, turut berganding sebagai penyebar maklumat yang dimulakan oleh media sosial. Konteks inilah yang akan saya bincangkan, setelah ada pelbagai keluhan terhadap dinamiknya media sosial, yakni persoalan kebanjiran maklumat atau berita tetapi kosong makna.

Kalau tahun 1960-an, kemunculan dan peluasan media dianggap membentuk perkampungan global atau kemudiannya dikenali sebagai globalisasi (Marshall McLuhan, 1911-1980, The Medium is the Massages: An Inventory of Effects, 1967) maka era selepas modern (postmodern) atau pascamoden, timbul pula perihal post-truth sejak Donald J Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016.

Jean Baudrillard (1929-2007) seorang pemikir dari Perancis memperkenalkan konsep teori kebudayaan yang dikaitkan dengan era pascastrukturalisme (poststructuralisme) dan pascamodenisme (postmodernisme). Juga dijolokkan sebagai Marshall McLuhan baru.

Teorinya berkaitan dengan andaian bahawa media, simulasi (perbuatan yang direka atau ditiru tetapi mirip atau hampir dengan perlakuan sebenar), yang diistilahkan sebagai cyberlibitz telah membentuk pengalaman, pengetahuan dan pemikiran baharu dengan kemungkinan fakta sejarah direkayasakan (ditafsirkan semula). Hal inilah yang kita temui dalam media sosial yang cukup mencorakkan tahap pemikiran dan penilaian masyarakat terhadap sesuatu maklumat atau berita yang diterima, dikembang dan menjadi tular.

Buadrilard dikenali sebagai penteori media dan kebudayaan yang menyambung pemikiran falsafah Jacques Derrida (1930-2004), Michel Foucault (1926-1984) yang berkembang daripada falsafah dan pemikiran Georg Wilhelm Friedrich Hegel (1770-1831). Ertinya, secara bersambungan, Buadrilard merupakan penyambung falsafah Hegel atau Hegelian.

Buadrilard awalnya menyanjungi falsafah pemikiran Karl Marx, akhirnya tidak bersetuju dengan marxisme yang hanya memikirkan mengenai sistem pengeluaran yang dikawal oleh orang yang menguasai mesin, modal dan manusia (pekerja) dalam sistem ekonomi kapitalis.

Bagi Buadrillard, falsafah marx tidak lagi sesuai atau relevan setelah dunia mencapai tahap pemodenan yang berorientasikan kepenggunaan. Barang yang dikeluarkan bukan lagi dapat dikaitkan dengan nilai, ia hanya berupa simbol.

Kata Baudrillard, pada Abad ke-21, manusia hidup dalam peradaban teknologi, iaitu dalam persekitaran dunia layar (screen world). Tetapi, yang lebih jelas ialah kita hidup dalam dunia yang kaya berita (atau maklumat) tetapi penuh dengan sampah atau miskin makna. Oleh kerana itu, simulakrum (simulacrum adalah istilah Latin yang bermaksud meniru rupa) dianggap sebagai imej atau dunia nyata, dan dari situlah lahirnya pseudorealiti  atau reality semu yang kita kenali sebagai hiperealiti (hyperreality) atau ‘yang dipercayai benar’.

Menurut Baudrilland, dalam era pascamoden, kita lebih melazimi peta dan model sebagai realiti sehingga keadaan sebenar terputus akibat hubungan simulasi (apa yang dipaparkan) dan simulakrum (peniruan). Ia membawa maksud, hiperrealiti hadir akibat kegagalan manusia untuk memastikan realiti di ruang maya (internet) wujud atau sebaliknya. Ia terhasil daripada kebolehan manusia  menghasilan pesona atau peniruan yang telah berjaya dipaparkan secara langsung walaupun berbeza dari alam sebenar.

Dunia dinaratifkan oleh media, sama ada teknologi layar ataupun media cetak. Akibatnya, media mempengaruhi pemikiran kita,  membantu membentuk pendapat dan pendirian. Oleh kerana itu, kata Baudrilland, media telah menanggalkan realiti dan juga tanpa makna, sehingga memanjangkan senarai perkara-perkara yang abstrak dalam kehidupan kita.  

Kalau sebelumnya, kesan media dibandingkan antara fakta dan rekaan (fiction), sekali lagi dalam persekitaran maya perbandingan sedemikian menjadi semakin melebar. Kalau dahulu, kanak-kanak beranggapan bahawa dengan memakai busana Superman, dirinya juga ada kuasa sekuat Superman. Hal ini menyebabkan ada kanak-kanak menjadi cacat bahkan meninggal dunia kerana meniru aksi Superman. Hal yang sama turut berlaku, tetapi kepada kumpulan umur yang tinggi beberapa tahun lalu apabila menjadi pemain kepada permainan yang berasaskan augmented reality (AR), iaitu Pokemon Go. Tidak kurang ada yang meninggal kerana mengejar ‘hantu’ meskipun terpaksa mengikuti posisi tersebut hingga ke jalan raya.

Juga menerusi media, kita memperoleh maklumat yang cukup berbeza dengan pengetahuan atau pendirian kita sebelumnya, misalnya  “Islam adalah agama pelampau”. Menerusi media kita mengetahui bagaimana Amerika Syarikat berusaha untuk menarik perhatian masyarakat mengenai kewajarannya menyerang Irak dan memburu Osama Benladin, makna jihad dalam pandangan bukan Islam  dan kegelisahan Amerika Syarikat bila berlakunya kebangkitan semula Islam yang dicetuskan oleh semangat Revolusi Iran pada akhir tahun 1970-an.

Menerusi media juga kita tahu bahawa Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang kuat, dan kerana itu, Amerika Syarikat akan campur tangan secara langsung atau tidak langsung ke atas mana-mana negara yang difikirkan boleh dipengaruhi atau dikawal. Menerusi media juga kita tahu, pembabitan Amerika Syarikat di negara-negara Arab adalah kerana ingin mengawal dan memanfaatkan hasil minyak. Dan, ini semakin jelas apabila tentera Amerika Syarikat berjaya memindahkan 50,000 gelen minyak yang berjaya dikeluarkan daripada telaga minyak yang dikuasai oleh puak Kurdis ke Iran.

Kurdis merupakan kelompok yang dibantu Amerika Syarikat untuk melancarkan pemberontakan ke atas pemimpin Syria, Hafiz al-Assad.  Al-Assad dibenci kerana ketegasannya menentang Israel dan menolak hegemoni barat. Setelah berjaya membunuh Gadafi, al-Assad menjadi sasaran kerana kekuatan Saddam Hussein berjaya dilumpuhkan selepas dibunuh pada tahun 2006.

Minyak Syria itu dipindahkan ke Irak, negeri yang masih dikuasai oleh Amerika Syarikat walaupun dinyatakan, tenteranya akan ditamatkan. Amerika Syarikat masih mengatakan Iraq perlukan pengawasan tentera Amerika Syarikat kerana ancaman puak-puak pelampau masih ada, termasuk ISIS (DAESH).

Minyak Irak sudah dibahagi-bahagian antara firma Amerika Syarikat. Irak mempunyai stok minyak berjumlah 115 bilion tong, ketiga terbanyak di dunia. Libya yang sudah dikeronyokkan oleh Amerika Syarikat menguasai sektor minyak dan gas, yang mempunyai  stok48 bilion tong, merupakan negara ke-8 terbanyak. 
Negara paling banyak mempunyai simpanan minyak ialah Venezeula melebihi 300 bilion tong manakala Arab Saudi di tangga kedua dengan 259 bilion tong.

Ini bermakna, tindakan Amerika Syarikat di Timur Tengah adalah sangat dipengaruhi oleh keperluan menguasai minyak. Inilah realiti kenapa Amerika Syarikat cukup bersemangat untuk menguasai negara-negara Islam di Timur Tengah selain melindungi Israel. Secara tidak berasaskan realiti, Amerika Syarikat menggunakan media untuk merangkaikan tindakan tersebut sebagai menjaga atau menstabilkan Timur Tengah.

Amerika Syarikat akan mencipta pelbagai watak yang boleh dijadikan kambing hitam seperti DAESH yang asalnya adalah tajaan Amerika Syarikat untuk menimbulkan pemberontakan di Irak dan Syria. Ini diakui oleh laporan dan kenyataan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Media juga digunakan untuk mempromosikan makna cantik berdasarkan perspektif psikologi mata, atau sudut pandangan luaran. Sehingga kini, definisi cantik  dalam kamus gaya hidup yang diciptakan ialah berkulit putih, langsing, berdahi licin, kulit halus dan rambut mengurai atau berdandan rapi.

Wanita yang bertudung dianggap sebagai cenderung ganas, sebagai topeng untuk melindung diri. Untuk itu dicipta pelbagai gelaran yang bersifat bomseks seperti pinggul tercantik, bibir mulut romantik, mata paling menarik, bentuk kaki termahal dan sebagainya. Usaha itu adalah untuk tujuan komersial, mempromosikan produk-produk khusus dari pakaian dalam, wangi-wangian dan kosmetik. Kesemuanya mesj ini membentuk kebahagiaan palsu (false happiness).

Berkenaan media sebagai agen propaganda, Baudrillard menilai bahawa iklan yang disiarkan menerusinya turut berusaha mempengaruhi pendapat, mengawal fikiran seolah-olah semua yang diberitahu itu adalah benar seperti 9 dari 10 artis gunakan sabun x. Secara tanpa sedar, pengeluar sabun itu ingin menyatakan ia adalah pilihan utama para artis, dan kerana artis kebanyakannya cantik, maka menggunakan sabun tersebut boleh membuat anda juga cantik.

Benarkah sabun itu telah mencantikkan artis? Apa buktinya? Tidak ada, hanya satu keputusan khayal dan seumpama delusi. Artis memang sudah cantik, sabun apa yang digunakan tidak akan kesan ke atas kecantikannya, kecuali mampu melembabkan kulit dan menggelupaskan daki. Itu sahaja. Berapa lama artis tersebut menggunakan sabun berkenaan? Berapa lama pula produk tersebut mula dikeluarkan? Jangan terpengaruh, hanya kemam boleh jadi gebu, apa dia yang gebu itu?

Itulah sebabnya Baudrillard namakan sebagai media cuba menaikkan ego dan kebahagiaan. Ego mungkin benar, tetapi kebahagiaan palsu. Ego memang boleh kita baca dan teliti mesej yang ditular. Seseorang yang ghairah memuatnaik gambar sendiri, hampir setiap hari atau di mana pergi, sebenarnya  adalah seorang yang cukup ego.

Apa tidaknya? Setiap kali berada di tempat tertentu, beritahu semua orang atau rakan-rakan yang menjadi kenalannya di facebook atau instastory. Lebih menyedihkan, sehabis cantik memuatnaik gambar bermulut itik, atau bermuncung seperti muncung haiwan tertentu. Apakah tidak malu kalau benar-benar terjadi, bermuncung itik? Tidakkah kita sedar, bahawa setiap apa yang kita katakana itu umpama doa. Begitu juga setiap apa yang lakukan, ada ganjarannya.

Untuk mendapat like atau follower yang ramai, bukan itu caranya. Untuk dicaci atau dikomen ‘hancing’ itu adalah cara terbaik, tetapi bila dikecam mula jadi nanar atau tak keruan. Siapa yang salah, diri sendiri atau orang lain. Misalnya kisah seorang artis Indonesia, Dinar Cindy.

Sekitar bulan Ogos tahun lepas, Cindy memberikan komen melalui akaun media sosial miliknya. Beliau memuatnaik (upload) komen bagi menunjukkan dirinya sangat tertekan dengan pelanjutan PPKM (sama seperti PKP di Malaysia) tahap 4. Komennya menimbulkan reaksi balas yang memalukan, akan turun ke jalan raya memakai bikini sambil membawa pelakat ‘Saya stress Kerana PPKM Diperpanjang’. Dia ikut berharap Pak Jokowi membacanya, sebab, Cindy memang mensasarkan kepada Presiden Indonesia.

Begitu juga di Malaysia, kita pernah temui mesej sebegini: “Kalau parti …..menang dalam PRK, saya akan jalan kaki dan bertelanjang dari Cheras ke KLCC”, atau “Jika orang …..kalah, saya akan berbogel di …..”. Apakah itu suatu kebiadaban atau hanya main-main? Dari segi tindakan, ia adalah main-main tetapi dari segi adab, ternyata tidak beradab.

Saya pernah terbaca sebuah tulisan yang cukup baik untuk direnung. Biarpun untuk mencari tersohor di media sosial, jangan silap mengepos atau memuatnaik gambar-gambar yang boleh menimbulkan riak. Kita kadangkala tidak sedar, riak itu berlaku bila setiap kali berjalan dan berdepan dengan anak-anak lalu dimuatturunkan gambar tersebut dengan komen: “Alahai! Cantikkah sibongsu ni?”, “tidak ada yang hendak dibuat, maka selfielah”, ‘Hari ini malas nak masak, Jom pegi dinner di Rimba Raya restoran, anak sulong belanja. Gaji dah dapat!”. Nasib baik tidak ada yang komen Rimba Raya ke Hantu Raya! Jika tidak, seram-sejuk dibuatnya.

Apakah tujuan itu betul dan kesannya juga betul? Fikirkanlah sebelum komen, menulis caption atau memuatnaik gambar, kadangkala nampak riak yang cukup besar. Riak adalah salah satu cabang ego.

Sebab itulah riak menyebabkan seseorang itu ‘kecanduan’ dan menurut Baudrillard, orang hilang kesedaran adab dan berada dalam tahap disorder (gangguan). Ada kajian lain mengatakan akibat kecanduan media sosial, sangat cenderung memuatnaik gambar sendiri, perbuatan itu termasuk dalam kategori narsistik. Narsistik adalah sejenis penyakit mental, yakni penyakit yang sangat tinggi berperasan dan ‘syok sendiri’.

Kehadiran media sosial, menyebabkan banyak nilai berubah, termasuk persoalan makna sesuatu mesej atau perkataan. Sewaktu belum ada media sosial, saya cukup takut jika dilabelkan ‘brutal’, tetapi maknanya sudah menjadi sesuatu yang berbentuk siulan atau gurauan sinis. Inilah yang dikatakan oleh Baudrillard sebagai perubahan instrumeninasi media.

Media telah berjaya membentuk masyarakat pengguna dan budaya pengguna yang cukup besar. Sebab itulah Lazada, Shopee dan lain-lain platform e-dagang cukup menguntungkan, dan setiap bulan ada jualan. Kadangkala, kerana terpengaruh, kita sebenarnya telah membazir sumber dan barangan. Barangan yang dibeli bukan keperluan, tetapi kerana ego nak membeli.

Itu adalah hiperealiti sosial yang sangat menjerat.  Hiperealiti itulah yang menjadikan kita kadangkala berada dan menanggung fenomena ilusi kerana sangat bergantung kepada media sehingga kecanduan. Kita kurang beraktiviti secara nyata (real), kerana teknologi telah menghubungkan kita di alam maya. Maya, sebelumnya disamakan dengan khayalan atau mimpi, maka kecanduan media itu memanjangkan waktu untuk berilusi, dari masa bangun hinggalah ketiduran menggenggam gajet. Akhirnya, termimpi-mimpi bahawa suami membuka cawangan baharu.

Perlukah kita melihat ke dunia nyata? Kalau perlu, lupakankan dunia maya, habiskanlah masa berkualiti bersama pasangan, berbual-buallah seperti saat anda sedang bercinta. Gunakan masa sebaik-baiknya, buka saling menekan skrin dan skrol whatsAppa, instaStory ataupun facebook. Semuanya tidak membantu anda menemukan kebahagiaan. Apa yang anda temui dalam teknologi skrin ialah ilusi, sakit hati dan banyaknya, sampah.

Saya percaya, rumusan Baudrillard bahawa ‘banjir berita, kosong makna’ memang fenomena media yang menjadikan kita pencandu tahap paling atas. Sebabnya, cuba kira berapa lamakah anda bermedia sosial setiap hari, apa yang anda baca dan apa  pengetahuan baharu yang anda peroleh, bandingkan berapa banyak sampah yang terkumpul. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049182
Hari ini: 104
Minggu Ini: 612
Bulan Ini: 4,644
Tahun Ini: 49,182
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.