MENGUKIR KEBAHAGIAAN

MENGUKIR KEBAHAGIAAN

SIAPAKAH di antara kita, manusia yang hidup di dunia ini dahagakan sebuah kehidupan yang sedih, duka dan lara?

Bila soalan itu ditanya, tidak seorang pun mengakui untuk hidup dalam keadaan tersebut. Semua orang berusaha untuk menikmati kebahagiaan, tetapi apakah yang dimaksudkan dengan kebahagiaan itu?

Bagi Murad, seorang lelaki remaja nakal sempadan bahagia baginya ialah apabila usikannya mendapat reaksi balas yang kontra. Setiap diusiknya Nurjanah, Murad merasa amat bahagia sekali bila usikannya itu dibalas dengan herdikan dan kemarahan. Bagi Murad, reaksi balas Nurjanah yang sebegitulah dikehendakinya setiap hari dan itulah yang berlaku sepanjang hari-hari mereka sempat ketemu.

Pada suatu hari, Nurjanah mendapat akal untuk tidak membahagiakan Murad. Walaupun sukar untuk menukarkan tindak balasnya, Nurjanah tetap mencubanya. Hari pertama dia gagal kerana Murad boleh membaca gerak geri tubuh Nurjanah saperti dipaksa untuk senyum. Tidak ada kemanisan dalam senyuman itu.

Selepas gagal dalam percubaan pertama, Nurjanah berlatih secara bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang murah dan mudah senyum apabila Murad mengusik. Tujuannya adalah jelas, untuk menjadikan Murad tidak bahagia. Jika berjaya, dalam andaian Nurjanah, Murad tidak akan mengganggunya lagi.

Sebulan kemudian Nurjanah mula dibenci oleh Murad. Apabila menjelang petang, Nurjanah sentiasa bersedia menongkat dagunya di jendela menanti kehadiran Murad yang habis kerja. Nurjanah tidak putus-putus menggayakan bentuk senyuman yang boleh menyebabkan Murad kecewa.

Petang itu Nurjanah berjaya. Sebaik sahaja mendengar suara Murad, Nurjanah tersenyum sambil menungkat dagu di jendela. Murad mengusik Nurjanah, Nurjanah sentiasa mempamerkan senyuman dan kedua-dua lesung pipitnya. Dicubanya lagi. Banyak kali Murad cuba mengusik, tetapi Nurjanah terus tersenyum hinggalah Murad saperti mati akal untuk terus mengganggu Nurjanah.

Keesokannya, Murad tidak lagi mengambil jalan pulang yang sama saperti kebiasaannya. Murad tidak lagi teringin untuk melintasi rumah Nurjanah untuk pulang ke rumah selepas habis kerja. Tetapi, dalam hati Nurjanah tetap timbul tanda tanya: kecewakah Murad atau hatinya yang terasa sepi. Murad tidak mengusiknya lagi.

Kebahagiaan bagi Murad ialah ketika melihat Nurjanah marah-marah. Setelah Nurjanah tidak lagi marah-marah walaupun diusik beberapa kali, Murad mula merasa bimbang dan curiga. Peristiwa itu benar-benar membuatkan Murad kembali berfikir dan mencari makna kebahagiaan.

Dalam bahasa Inggeris, istilah happiness adalah sepadan dengan perkataan kebahagiaan. Oxford Compact Andvanced Learner’s English-Malay Dictionary (2007:653) memberikan makna happy, iaitu perkataan asal yang menerbitkan kata nama happiness, (1) merasakan atau menyatakan kegembiraan, senang hati, puas hati dsb; (2) (dalam sapaan) penuh keriangan; (3) gembira membuat sesuatu; (4) beruntung, bernasib baik; dan, (5) digunakan sebagai ucapan kepada seseorang pada hari jadinya. 

Kamus Dewan (edisi keempat, cetakan kedua 2007:104) menjelaskan bahagia itu ialah (1) suasana senang dan aman, aman damai serta gembira; dan (2) beruntung manakala istilah kebahagiaan bermaksud ‘perasaan bahagia, kesenangan hidup, kemujuran, keberuntungan.”

Sebenarnya untuk memahami konsep kebahagiaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tidak semudah bagaimana kita diajar menghafal abjad-abjad tertentu atau keseluruhannya yang kemudiannya kita gunakan untuk membaca dan memahami ilmu pengetahuan. Kebahagiaan bukanlah hadir dalam bentuk benda yang boleh dihitung atau dikumpulkan. Kebahagiaan itu adalah hakikat yang dirasai oleh emosi kita sendiri, saperti Murad merasai ketika Nurjanah melontarkan reaksi marah, benci dan menyampah kerana diusik.

Ahli falsafah barat, misalnya John Stuart Mill (1806-1873) menjelaskan kebahagiaan itu adalah kesenangan dan hilangnya kesedihan. Secara berlawanan, kesedihan adalah petunjuk tidak bahagia dan berkurangnya kesenangan. Jika seseorang itu beriya-iya menunjukkan kebahagiaan, dia sebenarnya belum bahagia. Kebahagiaan hadir tanpa kita sedar dan tanpa suara. Dan, kerana itulah apabila kita menjerit memberitahu ‘kita bahagia’, sebenarnya kita belum menemui kebahagiaan. 

Suatu ketika kita mungkin teringat dengan huraian menarik oleh seorang pemikir terkenal dari Amerika Syarikat, iaitu Dale Carnagie (1888-1955). Beberapa buah buku tulisannya membuatkan kita percaya, setiap orang boleh menemui kebahagiaan berdasarkan apa yang difahaminya. Salah sebuah bukunya yang banyak mempengaruhi pemikiran orang di seluruh dunia ialah How to Stop Worrying and Start Living (1948), yang kemudiannya diadaptasikan oleh Dr Muhammad al-Ghazali dengan  tajuk Jaddid Hayataka dan kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul Renew Your Life (Perbaharui Hidupmu: Sambutlah Hari esok Tanpa Cemas!), Gadika Pustaka, 2007.

Dr Muhammad al-Ghazali (1917-1996) mengadaptasi karangan Dale Carnagie itu dengan tujuan “mengembalikan kandungannya kepada inti ajaran Islam”. Pada suatu ketika, proses sedemikian dikenali dengan nama Islamisasi Ilmu. Walaupun Dale Carnagie bukanlah seorang yang boleh dianggap memahami Islam, tulis Muhammad al-Ghazali: kesimpulan yang dia paparkan setelah menelaah ungkapan para filosof dan pembimbing spiritual serta kondisi khusus dan umum, dari banyak segi, sangat selaras dengan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits Rasullullah s.a.w. “ (hal. 9).

Sebagai pakar motivasi terkenal, Carnagie merungkaikan tentang kecenderungan manusia terlalu mengharapkan ‘hari esok’ atau masa hadapan dan dalam masa yang sama mensia-siakan ‘hari ini’. Ia seumpama seorang yang sedang bermimpi, fikirannya menerawang ke sana ke mari tanpa kesudahan sehinggalah terkejut oleh sesuatu keadaan. Ketika terkejut itulah sang pemimpi sedar dan mula merasa cemas atau saperti kehilangan sesuatu.

Hasil pengamatan yang mendalam, Carnagie merumuskan bahawa mereka yang berjaya ialah mereka yang tidak terpaku dengan hari esok yang belum pasti. Orang yang berjaya itu memperoleh kebahagiaan dalam hidupnya kerana memberikan perhatian serius ‘hari ini’ dan mengisinya secara tekun. “Kita tidak boleh terpaku dengan sebuah impian esok yang belum pasti. Tetapi, yang lebih penting adalah bagaimana kita mengerjakan apa yang terpampang di hadapan kita.” (hal. 29).

Rumusan itu mempunyai persamaan dengan apa yang dilakukan oleh seorang wanita kerjaya di Amerika Syarikat yang akhirnya menemui kebahagiaan dalam keluarga dengan mengamalkan “projek kebahagiaan”. Wanita itu ialah Gretchen Rubin.

Saya pernah menulis mengenai keazaman Gretchen Rubin ini dalam sebuah rencana bertajuk ‘Mencari Bahagia’, http://tanwir.my/mencari-bahagia/ pada 1 November 2016. Tulisan itu berdasarkan memoir Gretchen sendiri yang dibukukan dengan tajuk The Happiness Project: appiness Project : Or Why I Spent a Year Trying to Sing in the Morning, Clean My Closets, Fight Right, Read Aristotle, and Generally Have More Fun (2009). Buku ini, berada dalam senarai buku terlaris selama dua tahun di New York Times, dan masih menjadi bahan bacaan menarik mengenai perjalanan mencari bahagia. Gretchen juga telah berjaya menawarkan modul kebahagiaan sehingga dirinya semakin terkenal sebagai pakar motivasi kebahagiaan rumah tangga.

Saya hanya ingin mengulangi sedikit mengenai keputusan Gretchen Rubin ketika hatinya berdetik untuk bereksperimen dalam mencari kebahagiaan selepas berhadapan dengan kemelut kerjaya dan keluarga. Saya petik sedikit ungkapan menarik: ketika merasa tidak bahagia, aku merasa putus asa, lesu, mudah tersinggung dan tidak tertarik dengan orang lain…Sebaliknya, ketika merasa bahagia, aku menjadi lebih riang, murah hati, kreatif, baik hati, mengambil hati orang lain dan lebih mudah membantu.” Ertinya, kebahagiaan itu dirasai apabila kita berjaya membahagiakan orang lain. Inilah inti kebahagiaan itu, bukan jumlah wang banyak, barangan yang berharga dan kedudukan status dalam masyarakat yang tinggi.

Kita mungkin merasa pelik kenapa Mark Zukerberg, pengasas facebook mula merasa cemas dengan kekayaannya sehingga terpaksa meningkatkan perbelanjaan tahunan untuk menjamin keselamatan keluarga. Sebabnya mudah, kekayaan telah membuka kepada pelbagai situasi cemas, termasuklah kemungkinan dirompak, dijadikan tebusan oleh kumpulan penjenayah dan sebagainya.

Beberapa hari lalu, akhbar melaporkan bahawa Finland merupakan negara paling bahagia di dunia hasil kajian yang terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Rumusan itu mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pelbagai pihak yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di Finland. Malaysia menduduki tangga ke-35, iaitu satu tangga di belakang Singapura

Iklim di negara tersebut pernah meningkat kepada sejuk melampau, kecenderungan bunuh diri yang tinggi (kedua tertinggi selepas Hungary) dan reaksi ini disangkal oleh Pakar Institut Kesihatan dan Kebajikan Kebangsaan Finland, Timo Partonen.

Menurut Partonen “Jika anda tertekan di mana-mana saja di muka bumi ini, anda tetap berdepan risiko bunuh diri. Saya fikir hubungan sosial dan sejauh mana keinginan anda untuk mencari atau menerima bantuan adalah perkara paling penting.” Ini bermakna, konsep dan ukuran kebahagiaan bukanlah sesuatu yang boleh disifatkan sepenuhnya objektif. Ia bergantung kepada bagaimana kita mengukur dan merasainya.

Dalam mencari kebahagiaan, menurut Rasullullah SAW: “Aku sangat kagum akan keadaan orang beriman itu. Semua urusan (dalam hidupnya) baik baginya di mana keadaan itu hanya ada pada orang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya”. - Riwayat Muslim

Hidup merupakan anugerah. Segala yang berlaku dalam kehidupan sama ada baik atau buruk merupakan suatu kebaikan jika kita memahami dan menghayati kehidupan berpandukan iman. Hanya orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dapat merasakan hidup adalah proses penyempurnaan hakikat kehambaan.  Pemahaman ini menjadi pengukur kebahagiaan yang sebenarnya di sisi Allah SWT, kerana tujuan hidup kita ialah mengabdikan diri kepada-Nya.

Dalam mencari kebahagiaan, kita tidak sepatutnya hanyut untuk membuat ukuran berdasarkan pertimbangan material, kerana pertimbangan tersebut akan menyebabkan hati dan perasaan kita tidak tenteram. Seluruh proses kehidupan yang kita lalui dipenuhi dengan sifat dengki, iri hati dan berlumba-lumba untuk mengumpulkan kekayaan sedangkan kekayaan bukanlah pengukur sebenar erti kebahagiaan.

Carnagie menulis : “Jika kita tidak mampu menjadi pohon yang besar, jadilah semak. Tetapi jadilah semak yang indah, yang dapat membuat orang senang melihatnya. Jika kita tidak dapat menjadi semak, jadilah rumput sahaja. Tetapi jadilah rumput hijau yang indah sejuk dipandang mata.”

Dan sebagai orang Islam, menurut Ustaz Yunus Mansur,: Allah teramat kuasa untuk membuat kita tidak bahagia, meskipun ketika kita seharusnya menjadi orang yang berbahagia menurut kebanyakan orang. Ertinya, Dia hilangkan rasa kebahagiaan di hati kita; di kehidupan kita. (Wisata Hati, 2007: 50-51).

Kita berhak mencari kebahagiaan, tetapi Allah SWT yang menentukan kebahagiaan itu milik kita atau tidak. Sebagai seorang hamba, untuk meraih kebahagiaan ialah dengan berbuat baik kepada setiap orang. Seorang isteri wajib membahagiakan suami; suami wajib membahagiakan isteri. Untuk membahagiakan seseorang, kita wajib melakukan kebaikan kepada orang yang kita sayangi dan dekat dengan kita. Sekiranya orang yang dekat dengan kita merasa bahagia, maka kita juga merasa bahagia.

Jika inilah yang dapat dilakukan oleh seluruh pasangan Islam yang berkahwin, maka tidaklah berlaku musibah dalam kehidupan dan kekeluargaan. Tentunya, rekod penceraian dalam kalangan pasangan muslim di Malaysia tidak akan terjadi, satu penceraian dalam tempoh tiga belas minit.

Ustaz Yunus Mansur memberikan kita amaran: Jangan sampai kebahagiaan kita tukar dengan penderitaan dan kesedihan. Mencari kebahagiaan itu umpama perjalanan kita menuju ke syurga. Sekiranya dalam perjalanan itu tidak diisikan bekalan, kita tidak mungkin sampai ke sana. Syurga adalah untuk orang-orang yang bertakwa dan taqwa itu bermula dengan mempertingkatkan percaya diri serta peri laku keimanan. Tanpanya, nerakalah tempatnya.

Begitu juga dengan kebahagiaan. Ia tidak hadir bergolek, sebaliknya kitalah yang mengisinya berdasarkan apa yang kita yakin dan apa yang dipandukan oleh pengetahuan kita sendiri dengan rasa syukur dan penuh keinsafan. Kita padamkan ego, dan kita perkuatkan azam memperbanyakkan apa sahaja tindakan yang diistilah baik dan berfaedah untuk orang-orang yang berada di sekitar kita.  

Kita penuhi pengetahuan kita dengan pengetahuan agama. Kita pertingkatkan amalan dengan beribadat kepada-Nya. Kita sentiasa mengingati pesanan Rasullullah SAW:  “Sesiapa yang mempelajari ilmu agama dengan bertujuan untuk habuan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak.” - Riwayat Abu Daud.

Bukan meneruskan perangai Murad yang suka mengusik Nurjanah. Kita mesti belajar bagaimana Nurjanah membalas usikan nakal Murad dengan senyuman. Senyuman itulah akhirnya mengubah bagaimana Murad menjadi seorang yang baik, berhemah dan menghormati orang lain. Murad tidak lagi menjadi seorang yang nakal dan suka mengusik. Walaupun Murad dan Nurjanah bukanlah pasangan sehidup semati melalui perkahwinan, kedua-dua mereka sedia berubah dan bersedia memahami erti kebahagiaan dengan menyingkirkan rasa dendam dan dengki.

Kebahagiaan itu hadir apabila kita bersedia berubah menjadi lebih baik. Untuk menjadi lebih baik, kita mestilah bersedia untuk menyingkirkan tabiat buruk. Tabiat buruk itulah menyebabkan hati kita tidak pernah tenteram dan apabila hati berkecamuk, kebahagiaan semakin jauh pergi.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049181
Hari ini: 103
Minggu Ini: 611
Bulan Ini: 4,643
Tahun Ini: 49,181
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.