ISLAM TEMUI AMERIKA SEBELUM COLOMBUS

ISLAM TEMUI AMERIKA SEBELUM COLOMBUS

Siapakah yang membuka Pulau Pinang? Kalau anda jawab Kapten Francis Light, maka jawapan anda itu adalah SALAH.

Yang membuka Pulau Pinang tidak lain dan tidak bukan, orang-orang Melayu. Ia bermula dengan Datuk Nakhoda Intan yang berasal dari Paya Kumbuh, Sumatera Barat. Beliau membuka pelabuhan Batu Uban dan membina petempatan di kawasan berkenaan pada 1734 setelah mendapat perkenan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah II.

Pada tahun sama, dua orang saudara Datuk Nakhoda Intan iaitu Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kecil juga telah datang ke negeri ini dan kemudian membuka petempatan di Bayan Lepas serta Jelutong. Maka bermulalah kehidupan masyarakat Melayu di negeri berkenaan.

Bagaimana dengan Francis Light? Bukankah Inggeris telah mensejarahkan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh pegawainya itu? 

Hmmm.. Francis Light sebenarnya hanya tiba di Pulau Pinang pada 1786 (dan membuat perjanjian bersama Sultan Kedah), iaitu selepas 52 tahun kedatangan Datuk Nakhoda Intan, Nakhoda Bayan serta Nakhoda Kechil. Tapi biasalah, sudah namanya penjajah, mereka ini bukannya ada rasa malu. Mereka suka-suka hati menukar sejarah negeri ini dengan mendakwa Francis Light sebagai orang yang bertanggung jawab membuka Pulau Pinang. Kurang asam betul!

Georgetown yang kononnya dibuka Francis Light dan menjadi ibu negeri Pulau Pinang hari ini sebenarnya juga bernama Tanjung Penaga. Nama itu diberikan penduduk tempatan sebelum kedatangan pegawai British berkenaan. Sudahlah menukar nama tempat, mengaku pula tempat itu dia yang membukanya. Ceh!

Namun sudah namanya penjajah. Semuanya mereka mahu ambil. Semuanya mereka mahu jadi hero. Mungkin agaknya itu sebahagian daripada dasar White Supremacy, White Man Burden dan Gold, Glory and Gospel. Merekalah penyelamat, merekalah juga yang mengeluarkan bangsa kulit berwarna dari kekolotan, merekalah bangsa yang mulia... kononnya.

YA, BENAR, sejarah kebanyakannya ditulis oleh masyarakat kulit putih. Apabila mereka yang menulisnya, maka merekalah yang mentafsirkannya. Mereka boleh saja mengeksploitasi bukti, dan sebahagian besar, akhirnya merekalah yang menjadi heronya.

Tidak ramai yang berani mencabarnya kerana ia memerlukan bukti dan penyelidikan yang bukan sedikit. Malah, cukup banyak artifak, manuskrip, babad, kitab dan barang-barang tamadun silam turut mereka bawa lari dari tanah-tanah jajahan ke negara masing-masing. Pada barang-barang tamadun silam inilah terkandung bukti-bukti sejarah yang sengat berharga, tetapi akhirnya hilang, rosak, disembunyikan atau disimpan ketat di pusat-pusat penyelidikan mereka.

Begitu jugalah dengan sejarah benua Amerika. Sejak sekian lama, barat mendakwa ia ditemui oleh pelayar Itali bernama Christopher Columbus pada 1492. Sedangkan hakikatnya, sebelum Columbus, orang Viking dari Sacndinavia dikatakan telah terlebih dahulu sampai ke benua itu. Dan sebelum Viking pula, bumi yang luas terbentang itu telah diduduki zaman berzaman oleh masyarakt peribumi Red Indian.

Tapi sudah dasar penjajah, mereka akan gunakan apa saja cara untuk menjadi hero. Termasuklah melalui sejarah. Dengan hanya sedikit penggelapan dan putar belit fakta, mereka angkat diri sendiri menjadi wira dunia. 

Justeru, amatlah menarik apabila Presiden Turki, Recep Erdogan pada November 2014 lalu, dalam ucapannya di sebuah televisyen negara berkenaan mendakwa, Benua Amerika sebenarnya ditemui oleh orang Islam, tiga dekad sebelum Christopher Columbus. Perkara ini diucapkan Erdogan sewaktu menyambut kedatangan pemimpin-pemimpin Islam dari Amerika Latin.

Benarkah dakwaan Erdogan ini?

Kata Erdogan, Columbus menemui benua Amerika pada penghujung tahun 1492. Sedangkan hubungan di antara Amerika Latin dengan Islam sebenarnya sudah terjalin pada abad ke-12 lagi, iaitu pada 1178, melalui para pelayar. Ini terbukti jelas apabila Colombus sendiri menyatakan dalam catatan pelayarannya tentang kewujudan sebuah masjid di atas bukit di pantai Cuba.

Walaupun tidak menyebut sumber maklumatnya, apa yang dinyatakan oleh Erdogan itu turut dinyatakan dalam kajian yang dilakukan oleh Dr. Youssef Mroueh dari Yayasan As-Sunnah Amerika, yang beribu pejabat di Michigan, Amerika Syarikat.

Menurut Dr. Youssef dalam tulisannya yang berjudul Muslims in the Americas Before Colombus (1996), terdapat banyak bukti yang menunjukkan tentang kedatangan para pelayar dan imigran dari Sepanyol serta Afrika Barat ke benua tersebut. Ia berlaku sekurang-kurangnya lima abad sebelum kedatangan Columbus. 

Bukti pertama: Seorang ahli sejarah dan geografi, Abul Hassan Ali Ibn Al-Hussain Al-Masudi (871-972) antaranya menulis di dalam buku beliau, Muruj Adh-dhawab wa Maadin al-Jawhar (Kolam Emas dan Kuari Batu Permata) menyatakan bahawa semasa pemerintahan Khalifah Abdullah Ibn Muhammad (888-912) di Sepanyol, seorang pelayar Islam bernama Khashkhash ibn Saeed ibn Aswad dari Cordoba telah berlayar meninggalkan Delba (Palos) pada tahun 889 Masihi merentasi Lautan Atlantik. 

Setelah lama berlayar, beliau akhirnya sampai ke sebuah kawasan yang tidak diketahui. Khashkhash kemudiannya pulang dengan membawa barang-barang berharga dan batu permata yang cukup banyak serta mahal harganya.

Ibn Al-Masudi melakarkan peta kawasan yang dimaksudkan itu, iaitu sebuah kawasan yang amat luas di lautan yang gelap dan berkabus (Lautan Atlantik). Tanah baru itu merujuk kepada Benua Amerika.

Kedua: Ahli sejarah, Abu Bakar Ibn Umar Al-Gutiyya menceritakan bahawa semasa pemerintahan Khalifah Hisham II (976-1009) di Sepanyol, sorang lagi pelayar Islam bernama Ibn Farrukh dari Granada telah berlayar dari Kadesh (pada Februari 999) menuju ke Atlantik. Kapalnya berlabuh di Gando (Kepulauan Great Canary) lalu mengunjungi Raja Guanariga. Kepulauan Canary terletak berhampiran Maghribi, Afrika Utara.   

Setelah itu Ibn Farrukh meneruskan pelayarannya ke arah Barat sehingga sampai ke pantai dua buah pulau, Capraria dan Pluitana. Beliau kembali semula ke Sepanyol, dan tiba di sana pada Mei tahun yang sama.

Dr. Youssef seterusnya menyatakan, Coloumbus belayar dari Palos (Delba), Sepanyol menuju ke Kepulauan Canary. Pelayarannya diteruskan hinggalah beliau sampai di sebuah pulau kecil di Bahamas pada 12 Oktober 1492. Nama pulau itu Guanahani, tetapi kemudian dinamakan semula oleh Columbus menjadi Pulau San Salvador.

Guanahani, kata Dr. Youssef sebenarnya adalah modifikasi yang dibuat oleh penduduk asalnya (Mandika) daripada bahasa Arab. Perkataan Guana sebenarnya berasal daripada perkataan Ikhwana yang bermaksud `Saudara-mara.’ Perkataan Hani pula adalah nama seseorang yang berbangsa Arab.  Maka, perkataan asal Guanahani sebenarnya adalah Ikhawana Hani, atau `Saudarta-mara Hani.’

Anak lelaki Colommbus, Ferdinand Columbus menulis tentang masyarakat kulit hitam di Honduras yang diceritakan oleh bapanya. “Masyarakat yang tinggal di Timur Pointe Cavinas, sejauh Cape Gracios a Dios, semuanya berkulit hitam.”

Pada waktu yang hampir sama di wilayah berkenaan, tinggal suku kaum Almamy yang beragama Islam. Dalam bahasa Mandika dan Arab, Almamy berasal daripada perkataan Al-Imam atau Al-Imamu. Ia bermaksud `Pemimpin sembahyang’ dan dalam sesetengah keadaan, ia merujuk kepada `Pemimpin komuniti atau masyarakat Islam.’

Seorang Sejarawan dan pakar Linguistik Universiti Harvard, Leo Weiner daam bukunya yang berjudul Africa and the Discovery of America (1920) mencatatkan bahawa Colombus amat sedar tentang kewujudan masyarakat Mandika di Dunia Baru dan masyarakat Afrika Barat yang tersebar di sekitar kepulauan Carribean, tengah, utara serta selatan Amerika Utara termasuk Kanada. Mereka ini berdagang serta berkahwin dengan masyarakat peribumi Red Indian Iroquois dan Algonquin.

Dan anda jangan terperanjat, sebenarnya telah ada tulisan dan kajian yang mengatakan bahawa sebenarnya ramai di kalangan masyarakat Red Indian benua Amerika yang beragama Islam semasa bumi itu dijajah serta dijarah oleh warga kulit putih dari Eropah.

Sejarah sentiasa terbuka untuk ditulis semula. Ia boleh dicabar dan ditafsir kembali. Apa yang perlu dibawa ke hadapan adalah bukti. Terima kasih Erdogan...

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016832
Hari ini: 267
Minggu Ini: 1,637
Bulan Ini: 1,973
Tahun Ini: 16,832
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.