MERMERTABATKAN INTITUSI ISLAM

MERMERTABATKAN INTITUSI ISLAM

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, institusi Islam di Malaysia diuji dengan cabaran yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Cabaran yang menjangkau daripada integriti pengurusaan kewangan sehinggalah kepada ancaman akidah, yang merebak pantas di ruang digital disebabkan lebih ramai yang berhasrat mendapatkan pengaruh walaupun sebahagiannya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenainya.

Kita telah diasak oleh isu-isu yang boleh menggegarkan integriti dan imejninstitusi agama, kerana dunia maya sangat cenderung kepada pembentukan persepsi, yang hadir dalam bentuk sentimen dan pendapat semata-mata. Tujuan asasnya bukan untuk memperbaiki atau menambahbaik, tetapi menggunakan sentimen awam untuk meruntuhkan sesuatu sistem  yang dilihat seolah-olah cukup bermasalah, bahkan juga untuk mengeruskan suasana dan menjatuhkan kredibiliti, seolah-olah isu yang muncul  itu hadir dalam ketirisan pengurusan  kewangan serta sebagai  beban warisan. Perspektif yang mereka bawa bermakna satu kemestian, perlunya dilaksanakan proses pembersihan dan penegasan semula, juga ‘membuang buah busuk’; walhal ‘buah busuk’ itu sebenarnya tidak ada. 

Ketika inilah muncul seorang tokoh dengan latar belakang profesional yang unik dan berwibawa. Bukan seorang ahli politik, tetapi merupakan bekas Ketua Hakim Syarie, iaitu Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar. Beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Agama dan melangkah masuk dengan komitmen untuk mentadbir secara neutral dan berlandaskan perundangan dan pengalaman luas sebagai pentadbir dan pengurusan organisasi.

Pada tahun 2024, telah muncul satu ancaman dari sudut aqidah umat Islam di Malaysia, apabila pengikut ajaran sesat Ahmadi Religion of Peace and Light muncul di mediasosial. JPM Hal Ehwal Agama terpaksa berhadapan dengan ajaran sesat dan ekstremisme yang bukan sahaja boleh memporak-perndakan ikatan sosial, juga boleh rmerosakkan keyakinan akidah dan perpaduan ummah.

Usaha ini adalah perjuangan melawan penyimpangan akidah. Kita telah menyaksikan bagaimana ajaran sesat ini mengelirukan umat, terutamanya di laman sosial Tik tokdi media sosial. Langkah drastik itu dilakukan bukan hanya untuk menjaga aqidah dan keimanan umat Islam, tetapi juga kerana penganut ini telah menghina Nabi Muhammad SAW dengan begitu dahsyat sekali. Dakyah yang mereka cipta, untaian frasa yang mereka sampaikan dan pemesongan ajaran Islam telah direkayasakan dengan lojik dan falasi, wajib dicantas dengan penuh hati-hati. Ia perlu dibuat berdasarkan prosedur yang ditetapkan dan eviden yang lengkap, kerana kealpaan akan menjejaskan imej kerajaan. Mereka akan mencari kelompongan teknikal dan cuba melihat secara intensifnya untuk digandingkan dengan undang-undang sivil, kebebasan hak asasi dan universalisme memilih untuk berpendirian dan bersikap.

Tahun 2024 juga telah menyaksikan penangkapan ahli-ahli tertinggi GISBH, sebuah syarikat warisan dari pertubuhan Al-Arqam. Al-Arqam telah diharamkan pada tahun 1994 melalui pewartaan Majlis Fatwa Kebangsaan brtarikh 5 Ogos 1994. Al-Arqam difatwakan sebagai sebuah pertubuhan sesat dan melaksanakan aktivitinya tanpa berpaksikan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk undang-undang yang mengharamkan pembudayaan Aurad Muhammadiyah, yang mempercayai bahawa pengasasnya, Syeikh Muhammad as-Suhaimi tidak mati. Sedangkan, kita diajar dan dididik bahawa setiap kehidupan, akan berakhir dengan kematian. Syeikh Muhammad as-Suhaimi juga dikatakan telah bertemu dengan Rasulullah SAW dalam Kaabah dan menerima lafaz syahadah palsu, mendapat pengiktirafan sebagai khalifah dan posisinya adalah setaraf dengan Khalifah ar-Rasyidin.

Setelah beberapa tahun diharamkan, embrio al-Arqam tidak mati. Ia muncul dengan wajah dan bentuk yang baharu sehingga dikesan melakukan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan ajaran Islam sendiri. Dari satu aspek, Global Ikhwan Services and Business Holdings cukup berjaya dalam bidang perniagaan hingga ke luar negara,  tetapi dari segi operasinya berselindung dalam beberapa tindakan gelap, termasuk mengeksploitasi ahli al-Arqam sebagai pekerja yang tidak dibayar upah berdasarkan undang-undang buruh, dan turut mengekploitasi anak-anak ahlinya. Kes ini dilabelkan sebagai  kes berprofil tinggi.  Pihak berkuasa agama dari JAKIM dan JAIN, dengan kerjasama PDRM, bergerak pantas untuk menyelamatkan anak-anak kecil serta golongan tertindas. Tindakan ini menunjukkan komitmen JPMHEA bagi memelihara kesucian akidah (Hifz al-Din), dan ianya diambil berdasarkan fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan fakta yang sahih.

Namun dalam masa yang sama, JAKIM didakwa lambat bertindak, Dikatakan laporan telah dibuat sekian lama, tanpa tindakan. Suara-suara kecil yang lantang mempersoalkan, walhal mereka tidak memahami bahawa untuk melaksanakan sesuatu tindakan, sangat memerlukan evidens yang sahih, peta kesalahan dan pelanggaran undang-undang, dan melihat sendiri apa yang berlaku. JAKIM tidak mempunyai kuasa menangkap, maka ia perlu dikordinasikan dengan pihak yang ada kuasa penahanan, menangkap dan mendakwa.

Satu langkah kritikal yang diambil di bawah pengawasan JPM Hal Ehwal Agama ialah penegasan mazhab rasmi negara. Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mazhab rasmi negara dari segi perundangan. Penegasan ini, yang dibuat selari dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa MKI pada tahun 1996, memastikan umat Islam di Malaysia berpegang teguh kepada ajaran ASWJ dari segi akidah, syariah, dan akhlak. Tindakan ini penting bukan sahaja untuk menyatukan umat, tetapi juga untuk menjauhi sikap ekstrem sesama Muslim yang sering timbul akibat perbezaan pandangan dan aliran pemikiran. JAKIM kini diperkukuh untuk bekerjasama dengan Institusi Agama Islam Negeri bagi memastikan pengurusan agama Islam selari dengan prinsip ASWJ.

Pada masa yang sama, YB Menteri Agama tegas terhadap pihak yang cuba membawa politik melampau ke tempat ibadah. Beliau mengeluarkan amaran keras kepada pembangkang agar tidak menggunakan masjid dan surau untuk propaganda politik. Ini adalah langkah kritikal untuk memastikan institusi agama kekal sebagai medan dakwah yang neutral dan berpegang kepada kedaulatan Raja-Raja. Dengan obligasi itu, tempat-tempat ibadat  akan terhindar daripada sengketa aliran pemikiran dan pegangan politik. JAKIM  mengambil ikhtibar daripada     beberapa kes   ketidakharmonian masyarakat, perpecahan dalam komuniti, pengasingan sembahyang berjemaah akibat imam yang berbeza fahaman politik, isu takfiri dan keruntuhan rumah tangga akibat berbeza parti politik yang berlaku pada pertengahan 1980-an.

Ketegasan juga ditunjukkan dalam isu moral dan kandungan media. JAKIM, di bawah kepimpinan beliau, amat bertegas dalam isu akidah dan moral awam. Ini terbukti dalam tindakan pengharaman filem Mentega Terbang atas dakwaan mempromosi pluralisme agama. Beliau juga kritikal terhadap drama televisyen yang didakwa menampilkan dialog kotor, serta adegan yang tidak menjaga adab. Ini menunjukkan komitmen berterusan JPMHEA dalam memelihara moral (Hifz al-Nafs dan Hifz al-'Aql) umat Islam dalam negara dan menyuburkan pola hidup masyarakat beradab.

Dalam tempoh ini juga, Mahkamah Syariah diuji di peringkat tertinggi. Isu utama yang menjadi perhatian adalah kes Nik Elin yang mencabar kuasa jenayah Syariah di Kelantan. YB Menteri Agama menegaskan bahawa isu ini bukan tentang akidah Islam, tetapi tafsiran Perlembagaan. Tindakan susulan beliau seterusnya dilihat sebagai tindakan proaktif. Beliau mengumumkan usaha untuk menutup kelompongan Akta 355 dan undang-undang Syariah negeri akan dilaksanakan, tetapi ia memerlukan libat urus yang memadai, tanpa libat urus yang memadai, ia akan terus menjadi bahan polemik tanpa berpenghujung.

Di bawah JPMHEA juga, pelbagai reformasi institusi digerakkan, seperti:

  • Usaha sedang dijalankan untuk menyamakan Akta Persaraan Hakim Syariah dengan Hakim Sivil.
  • Kajian mendalam untuk penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia.

Selain itu, JPMHEA menggunakan pendekatan Rahmatan lil Alamin dan Maqasid Syariah untuk menangani krisis perceraian. Ini termasuk pelancaran Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) dan penambahbaikan Modul Kursus Kahwin JAKIM. Ertinya, JAKIM sentiasa meletakkan syariah di hadapan, sebelum boleh dikategorikan sebagai Maqashid Syariah. Dalam pengurusan kes-kes mahkamah berkaitan pembubaran perkahwinan, JAKIM berusaha memendekkan tempoh perbicaraan, memberikan bantuan kaunseling kepada pasangan yang bermasalah, dibentuk jawatankuasa timbang tara (hadanah) dan terbaharu ialah memotong gaji si suami yang enggan membayar nafkah selepas penceraian berlaku dan disahkan oleh mahkamah.

Legasi yang sedang dibina bukanlah tentang menetapkan trend baharu, atau membuat perubahan yang radikal dan meletakkan agenda politik dalam pengurusan hal ehwal Islam.  Sebaliknya, ia mencerminkan keseimbangan yang halus dan berstrategik. Mengekalkan status quo institusi agama sebagai asas utama, sambil memperkenalkan reformasi yang diperlukan dalam sistem kehakiman dan penguatkuasaan agama. Ia perlu bagi memadankan neraca kehidupan yang semakin mencabar dan isu yang muncul semakin kritikal. Ia berlaku apabila corak berfikir, kaedah budaya manusia berkembang dan berubah. Kedinamikan pola hidup harus diselarikan dengan kesesuaian fungsi, kaedah dan pembaharuan semasa, dan dalam masa yang sama tidak mengelakkan diri daripada keperluan syariah.

Beliau berjaya mengemudi JAKIM dan JPMHEA dengan integriti institusi dan neutraliti, memenuhi tuntutan masyarakat untuk ketegasan dalam isu akidah dan pada masa yang sama, membawa pemartabatan perundangan (Akta 355) dan pembaharuan sosial (ILQ).

Perjuangan untuk memartabatkan Islam di Malaysia sesungguhnya belum selesai; ia hanyalah permulaan kepada fasa yang lebih kompleks. Namun, dengan inisiatif dan reformasi yang sedang dan sentiasa berjalan, jelas bahawa usaha ini berada di landasan yang tepat. Kita harus sedar, cabaran dunia moden dan geopolitik yang bergolak akan sentiasa melahirkan cabaran-cabaran baharu. Maka, menjadi tanggungjawab kepimpinan negara untuk terus berhikmah, mencari solusi yang terbaik, dan memastikan setiap tindakan membawa maslahat ke atas seluruh rakyat. Tanggungjawab kita sebagai umat Islam pula adalah untuk sentiasa mengamalkan adab (adabul ikhtilaf), iaitu adab dalam berbeza pandangan, dan terus menyokong institusi Islam dalam negara agar dapat melaksanakan amanah dalam menjaga akidah dan syiar Islam sebaik-baiknya.

Akhirnya, kita sedang membina sebuah peradaban baharu yang menghormati nilai dan falsafah hidup; kita melangkah dalam situasi menghormati perbezaan sebagai wadah yang mencorakkan kesepaduan masyarakat pada satu titik persamaan, bukan memperluaskan jurang perbezaan yang boleh menyebabkan konflik serta kekacauan. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019393
Hari ini: 243
Minggu Ini: 1,988
Bulan Ini: 4,534
Tahun Ini: 19,393
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.