KEHILANGAN DAN KETENANGAN SENANTIASA BERPROSES

KEHILANGAN DAN KETENANGAN SENANTIASA BERPROSES

Lembayung senja sudah menampar usia kita yang sudah dikatakan warga emas Tetapi, lembayung senja masih menarik bagi seseorang yang mencintai kehidupan, dan menjadi bosan oleh seseorang yang kehilangan apa yang pernah menjadi sebahagian daripada ketenangannya. Itulah perjalanan hidup, sebuah perjalanan yang akan sampai ke destinasi bila tiba waktunya.
 
Ketika mengembara di lautan media sosial, saya ketemu ungkapan: "Cintamu menghilang tiba-tiba, seperti hujan berhenti tanpa pelangi" Wajahnya cukup sedih, sehingga saya melihatnya ikut terasa hiba, tetapi saya tidak mampu untuk mententeramkan jiwanya yang terluka itu. Saya hanya mampu doakan, agar cinta kembali mekar dan pelangi kehidupan terus mendepakan warna-warni yang begitu indah sekali, setelah hujan teduh.
 
Kita belajar bagaimana untuk melupakan kesedihan dan meyelakkan sesuatu yang hilang itu sebagai hal yang positif kerana Tuhan lebih tahu apa yang baik untuk kita. Apa yang penting ialah kita berusaha dan terus berdoa, kerana Dia tidak pernah mungkir janji sebagaimana seseorang yang pernah kita cintai.
 
Dalam sebuah buku tentang pengalaman mencari dan menyembuhkan cinta yang patah, Bell Hooks, menulis: "Kita mampu menemukan cinta yang diharapkan, hanya ketika kita telah mengikhlaskan duka akibat hilangnya cinta di masa lalu." (Bell Hooks, All About Loves: New Visions, New York: William Morrow-HarperCollins Publishers, 2001).
 
Cinta yang terkandas atas sebab kehilangan dan terhalang cukup pedih, sehingga kehidupan diumpamakan seperti sedang cemas dilanda bencana, bahkan gerak hati cukup kuat bergelora, boleh jadi sekuat badai tsunami, atau hujan turun tanpa henti pada musim La Nina. Seluruh Dataran Irrawadi banjir, seluruh Lembah Mekong menjadi lautan dan ketika semuanya surut, hati menjadi semakin kejam seperti kejamnya El Nino: bumi merekah, pokok kelayuan, udara terlalu panas sehingga ada yang mati kerana strok haba, dan hati mungkin akan tertutup selama-lamanya untuk hidup berpasang-pasangan semula.
 
Semuanya tidak boleh dipercayai. Semuanya hanya manis di bibir, tubir kehidupan semakin keras dan tajam, bagaikan belati tajam menikam-nikam. Dalam ratapan pilu atas kehilangan, mungkin benar satu ungkapan kata-kata: cinta itu kuasa yang menghidupkan: "cinta juga menjadi kuasa yang mematikan". Cinta berada di dalam dua kontinum yang saling berkontradik di antaranya. Cukup dahsyat.
 
Jalaludin Rumi berusaha memaknakan cinta itu sesuatu yang tetap hidup dan mampu mengubahkan:
"Kerana cinta, pahit berubah menjadi manis
Kerana cinta, tembaga berubah menjadi emas
Kerana cinta, noda pun menghilang
Kerana cinta, yang mati pun dibuatnya hidup
Kerana cinta, seorang raja menjadi hamba."
 
Tetapi kenapa cinta juga dianggap mematikan? Kerana ada cinta yang jahat: cinta palsu atau cinta yang hadir dalam diri seseorang yang digelar narsis. Cinta luhur, tidak akan pernah menyakitkan. Cinta sejati tidak akan berakhir dengan kehilangan. Cinta penuh makna, cinta yang bukan sekadar mudah disebut "I love you"; ia hadir bersama pengorbanan, toleransi dan adaptasi.
 
Cinta penuh makna saling berkorban kerana toleransi dan adaptasi itulah nikmatnya atas dasar dan tujuan cinta. Cinta sejati, kadangkala dianggap gila seperti gilanya Qais kepada Layla. Cinta antara keduanya tidak berpenghujung, walaupun secara zahirnya terhalang. Di kuburan Layla, Qais yang sudah Majnun (mabuk asmara) merintih tetapi akhirnya mereka bersatu di alam kematian.
 
Tulis Syeikh Nizami Ganjavi, "Kegelapan menyelimuti malam, sangat pekat dan hitam laksana jiwa Majnun yang kelam. Majnun mengenang kekasihnya dari dalam gua nan kotor di lembah wadiyain. Dari lidahnya meluncur syair-syair kisah cinta mereka. (Syeikh Nizam Ganjavi, Layla Majnun: Kisah Cinta Mengguncang Dunia, edisi baru, terjemahan Ummu Kusnawati dan Lathifatul Izzah, Yogyakarta: Diva Press, 2023, hal. 127-128).
 
"Jiwa orang yang di mabuk cinta
Akan terasa sakit kerana rindu
Sebab pencinta ingin selalu bersama
Tapi halangan tiada ada henti-henti
Pencinta seperti dua ekor kijang di bukit tandus
Walau tiada makanan, tetapi mereka tetap bersama
Atau seperti burung merpati
Meskipun terbang bebas di angkasa luas
Tetap saja kembali kepada kekasihnya
Atau ibarat ikan tuna
Tetap tabah meskipun dipermainkan ombak
Timbul tenggelam di laut
Meskipun sentiasa dicaci dan dicela
Batin menjerit tubuh musnah
Walau lapar dan disia-siakan
Namun jiwa pencinta akan sentiasa memaafkan
Kerana pencinta tidak memerlukan pujian
Dan pengorbanan pencinta tidak akan sia-sia
Kupandang bintang kutub dan bintang kejora
Demikian juga cinta
Dalam singgahsana hati
Dan bagi pencinta
Kebahagiaan dan kesedihan sama indahnya
Jiwaku dan jiwa Layla akan tetap bersama
Andai pun tidak di dunia
Tentu jiwa kami akan bersatu di liang lahat
Dan kelak nanti akan dibangkitkan bersama
Hingga bersatu selama-lamanya
Mataku berkorban untuk Layla dengan segenap curahan air mata
Berharap liang lahatmu adalah liang lahatku
Supaya jenazah kita berpadu dan bersatu."
 
Kata orang, jodoh dan pertemuan ditentukan oleh takdir. Takdir ditentukan oleh Allah SWT. Maka suratan Layla tidak bahagia setelah dikahwinkan dengan pemuda lain, Qais kehilangan jiwa dan akhirnya menjadi gila, berkawan dengan binatang, tinggal di dalam gua dan hutan rimba menjadi alam yang lebih memahami hatinya yang luluh.
 
"Tiada yang sia-sia, apa pun yang menimpa kita selalu menghadirkan makna, walaupun sering kali sulit difahami. Kitab kehidupan selalu mempunyai dua sisi pada setiap helai halamannya.
"Pada sisi muka, kita menuliskan rencana [rancangan, keinginan], impian, dan harapan kita. Kemudian, di sisi belakang terisi kenyataan yang tidak mampu memilihnya, yang tidak jarang berkebalikan dengan keinginan kita." (hal. 214).
 
Walaupun Ibnu Salam memiliki Layla, ia hanyalah sekadar perhiasan yang berharga, kerana apa yang digenggam "hanya sebatas ilusi. Ia tahu itu, dan ia harus menyimpan diam-diam...Ia terus menjaga sebuah harta di dalam bilik yang tiada pintu terbuka untuknya. Ia tidak pernah diizinkan menikmatinya, meskipun harta itu miliknya."
 
Pelek bukan, Layla dan Ibnu Salam sudah berkahwin, tetapi hati dan perasaan Layla kekal "milik Qais", walaupun cinta Ibnu Salam terhadap Layla begitu kuat. Ibnu Salam tidak menyesal, bahkan menganggap dirrinya seperti seorang tukang sihir yang menjaga bidadari di dunia manusia, untuk dipuja selama-lamanya. (hal. 215).
 
Tukang sihir yang menjaga bidadari tidak lama kemudian meninggal dunia. Kematian suami, Layla secara fizikalnya merasa bebas dan "tiada lagi rasa takut, untuk membersihkan hati dan jiwanya kepada kekasihnya." (hal. 218).
 
Di suatu musim gugur, Layla yang sudah menjadi balu, sangat merindukan Qais. Namun kekasihnya itu belum muncul dari persembunyiannya. Pada suatu musim gugur, setelah menanggung rindu yang panjang, "Layla pun mulai pudar, terkulai...layu dan gontai [terhuyung-hayang]. Kini rembulan telah redup dan pucat. Tubuhnya yang dahulu sejenjang cemara kini tinggal seutas bayangan. Kini, bunga tulip telah melepaskan kelopak-kelopaknya.
 
"Demam kini menggerogoti [menggigit] tubuhnya dan menyebarkan bisul serta noda-noda hitam di wajahnya. Layla hampir tiada daya meninggalkan ranjangnya [tempat tidur], jiwanya siap meninggalkan tubuhnya, seperti burung pegar yang akan segera meninggalkan pucuk pohon cemara kering.
 
"...ketika ia merasa bahawa ajalnya akan segera menjemput, ia tidak mengizinkan orang memasuki biliknya, kecuali ibunya. Kepadanyalah sebuah rahsia terungkap, rahsia cinta yang terungkap untuk pertama dan sekaligus terakhir."
 
Si ibu mendengar dengan rasa terharu dan sedih, Layla membuktikan bahawa badai kasih sayang kepada Majnun belum pudar. Di setiap nafas yang dihelanya, tetap mengalir masuk udara cinta Qais. Apakan daya, mereka sudah dikisahkan dan Qais sudah menjauhkan diri dalam kerinduan yang parah, hidup di hutan bersama unggas dan margastua.
 
Dalam keadaan tidak bermaya itu, Layla berpesan kepada ibinya:
"Ketika dia [Qais] datang, ibu, sampaikan pesanku kepadanya. Katakanlah: " Ketika Layla akan memutuskan rantai dunia ini, ia pergi, memikirkanmu dengan penuh rasa sayang, ia setia hingga akhir hayat. Kesedihanmu adalah kesedihannya. Dan, ia membawanya bersama rohnya, menjadi bekal dalam perjalanannya. Kerinduannya kepadamu tidak mahu mengikuti mati.
 
"Di balik selimut bumi, kau tidak akan melihat matanya, namun mata itu akan mencari-cari, mengikuti ke mana kau pergi. Mata itu akan bertanya: 'Bilakah kau datang, sayang?'. Sampaikanlah kepadanya, Ibu. Berjanjilah kepadaku.' (hal. 219-221).
 
Setelah itu, Layla benar-benar meninggal. Beberapa hari kemudian, Qais (Majnun) mendapat tahu, Layla sudah tiada. Majnun semakin tidak keruan, dan 'orang-orang yang melihat Majnun...berlari menuju kuburan kekasihnya. Seperti guntur [bunyi kuat yang terhasil dari petir] yang melesat dibawa badai dan jatuh di atas kuburan kekasihnya, seolah tersambar halilintar.....
 
"Majnun menggeliat penuh duka seperti ular yang membelit dan berputar-putar di atas hartanya. Lidahnya menyuarakan ratapan penuh duka." (hal.222).
 
Dikisahkan oleh Rumi, setelah berpisah dengan Layla, Majnun jatuh sakit. Para tabib berusaha untuk menyelamatkan Majnun, membuang sebahagian darah bagi menurunkan suhu badannya. Majnun menolak, bukan kerana takut tetapi katanya "Jangan-jangan pisau bedah itu menyakiti Layla."
Jawab tabib: "menyakiti Layla? Mana mungkin? Yang dibedah itu badah kamu!".
Bentak Majnun: "Justeru itu. Layla berada di dalam setiap anggota tubuhku. Mereka yang berjiwa cerah tidak akan melihat perbezaan antara aku dan Layla."
 
Majnun ingin cepat bertemu Layla, dimulakan perjalanan ke kuburan kekasihnya dengan menunggang unta betina. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama tiga hari, cerita Rumi: "memakan masa bertahun-tahun.
 
Lalu dibisikkan kepada unta betina: "Sudah saatnya kita berpisah. Cintamu dan cintaku tidak sehaluan. Kerana menunggangimu, selama ini aku berjalan di tempat. Kadangkala ke depan dan kadangkala ke belakang. Perjalanan beberapa hari memakan waktu enam puluh tahun. Tidak, aku tidak akan menunggangimu lagi.'
 
Majnun kemudian melompat turun. Tulang kakinya patah, tetapi semangatnya tetap kuat dan berkobar-kobar. Dia tidak putus asa, lalu mengikat kedua kakinya dan menggelindingkan badan persis seperti bola. Majnun bergelinding [berguling-guling] terus, dan akhirnya bertemu juga Layla ." (Harsa Al-Baqi, Maha Cinta Jalaludin Rumi; Keindahan Cinta, Spiritualitas dan Kehidupan Sang Sufi Sejati, Yogyakarta: Araska Publisher, 2025, hal. 41-42).
 
Di pusara Layla, Majnun yang terlalu hiba tidak pedulikan apa pun, hanya memuja dan bertanyakan Layla : "Bagaimana keadaanmu di sana, dalam gelap dan sepi keseorangan. Kerana cinta mengatasi segala-galanya." Majnun kemudiannya terbujur kaku di pusara kekasih. Majnun kemudiannya disemadikan bersebelahan pusara Layla.
 
Bagi Rumi, cinta Layla dan Majnun bukan cinta yang berlandaskan kecantikan mahupun kerana tubuhnya: "Setiap kekasih pasti indah. Tetapi tidak setiap yang indah adalah kekasih. Keindahan menjadi bahagian dari kekasih - sang inti. Apa pun, ketika menjadi kekasih, pastilah indah. Bahagian sesuatu tidak akan terpisahkan dari sang inti. Ia melekat. Erat.
 
"Pada masa Majnun, banyak gadis yang lebih menarik berbanding Layla, tetapi Majnun tidak suka. Orang-orang berkata kepada Majnun: 'Ada ramai gadis jelita yang lebih cantik daripada Layla. Kami akan hadirkan mereka untukmu!"
 
Pintas Majnun: "Silakan. Aku mencintai Layla bukan kerana bentuknya. Layla bukanlah bentuk. Bagiku, Layla ibarat cangkir. Darinya aku meneguk anggur. Aku berasyik-masyuk dengan anggur yang kuteguk dari cangkir itu. Kalian hanya melihat cangkir, tak tahu apa-apa tentang anggur.
 
"Jika aku memiliki cangkir emas berhias permata, tetapi ia hanya berisi cuka atau apa pun selain anggur, apakah ertinya cangkir itu bagiku? Sungguh, wadah usang lagi retak berisi anggur lebih kusukai daripada ratusan cangkir emas berhias permata yang tidak berisi anggur.
 
"Manusia harus memiliki Cinta dan kerinduan agar memahami anggur, bukan cangkir." (Adiba A Soebachman, Pesan-Pesan Cinta Jalaludin Rumi, Yokyakarta: Araska Publisher, 2024, hal. 236).
 
Jawapannya, memang tidak setiap kali hujan berhenti, pelangi akan muncul. Kerana warna-warni pelangi itu adalah suatu keindahan yang Allah SWT jadikan untuk kita melihat kebesaran-Nya, yang tidak mampu manusia rungkaikan. Hanya sekadar berteka-teki. Teka-teki itulah juga perjalanan hidup kita. Tidak semua yang kita inginkan akan segera dimiliki walaupun hati teguh berproses untuk mendapatkanya. Ada takdir, ada suratan yang tidak mampu kita atasi, tetapi Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.
 
Namun, sesekali pelangi akan muncul jua, seperti diri kita dalam setiap kehilangan, kecewa dan rasa terhina oleh kehilangan atau ditinggalkan. Hadapilah dengan jiwa yang jernih kerana Allah SWT sedang menguji sejauhmanakah diri boleh bersabar dan menadah tangan kepada-Nya. Dialah Maha Pemurah, tak terhitung banyaknya pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak pernah surut.
 
Pelangi akan muncul bila Allah SWT mahu memunculkan. Ia terus berproses walaupun ada ketika kita tidak mampu dan lemah membuat perhitungan rasional. Sebabnya, kita adalah makhluk yang lemah, tetapi dengan pertolongan-Nya kita mampu muncul bersama kekuatan tanpa dapat diduga dan boleh menikmati keindahan warna-warni pelangi, dalam waktu-waktu yang akan ditentukan-Nya. Dia adalah segala-galanya, kita adalah tetap hamba-Nya, biarpun kita lahir dalam keluarga ternama dan kaya.
 
Kalaupun kita lahir dalam keluarga miskin dan hina di mata masyarakat, Allah tetap melimpahkan kasih sayang-Nya. Kasih sayang-Nya tidak bertepi, kerana Allah berusaha menunjukkan jalan bagaimana menjadi hamba sejati, hamba yang mengenali diri dan hidup kerana-Nya, bukan atas ihsan makhluk.
 
.........
"...Rumi gently guides us to become free from our attachments to the material realm and our own "self" through reflections, devotion, and the overpowering force to love. A touch of insanity doesn't hurt, either! "
 
.....
Know that the spirit is one
but the body has become numbered
a hundred thousand times -
just as almonds share
in being milky
when mixed together.
There are many languages in the world; but all with one meaning.
Water becomes one ; when you break the jars.
The soul will send news to all
posesed of spiritual vision
when you break
the heart
from words."
 
(Emily Jane O'Dell, The Gift of Rumi: Experiencing the Wisdom of the Sufi Master, New York: St Martin Publishing Group, 2022, hal. 2 dan 13-14).

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010741
Hari ini: 50
Minggu Ini: 2,143
Bulan Ini: 3,990
Tahun Ini: 10,741
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.