Ketika Nabi Ilyasa’ sudah lanjut usianya dan tugas dakwahnya harus diteruskan, Allah S.W.T mengutus Nabi Ilyasa’ untuk meneruskan tugas dakwah Nabi Ilyas kepada kaum Bani Israel. Sejak menjadi anak angkat Nabi Ilyas, Ilyasa’ menjadi pengikut setia bapa angkatnya itu. Setelah Nabi Ilyas wafat, Ilyasa’ meneruskan dakwah beliau. Ilyasa’ meyampaikan ajaran-ajaran yang ditingalkan Nabi Ilyas tentang ketuhanan dan keimanan kepada kaumnya. Kisah Nabi Ilyasa’ tidak banyak diceritakan dalam al-Quran. Namanya hanya disebut dua kali, iaitu dalam surah al-An’am ayat 86 dan surah Sad ayat 48. Meskipun demikian, dinyatakan dalam ayat itu bahawa Ilyasa’ tergolong sebagai salah seorang Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah S.W.T.
KUFUR
Peringatan Nabi Ilyasa’ kepada kaumnya membuahkan hasil. Oleh sebab takut akan seksaan Allah S.W.T, mereka mentaati perintah dan ajaran Ilyasa’ sehingga kaumnya kemudian hidup aman dan makmur. Namun, setelah Nabi Ilyasa’ meninggal dunia, kaumnya kembali ke jalan sesat. Dari hari ke hari, mereka semakin kufur dan derhaka kepada ajaran Allah S.W.T yang pernah disampaikan Ilyasa’ semasa hidupnya. Disebabkan keingkaran mereka, Allah S.W.T melenyapkan dan menarik kembali nikmat yang diberikan kepada mereka. Pada masa itulah Nabi Yunus lahir.
ILYASA’ DALAM AL-QURAN
Nama Ilyasa’ hanya disebut dua kali dalam al-Quran. Dlaam surah al-An’am ayat 86 dikatakan: “dan Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Luth. Masing-masingnya Kami lebihkan darjatnya di atas umat (pada masanya).” Sementara itu, dalam surah Sad ayat 48 dikatakan: “Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang yang paling baik”.
ANAK ANGKAT ILYAS
Ketika masih kecil, Ilyasa’ hidup menderita bersama-sama ibunya. Mereka bertemu Nabi Ilyas yang hendak bersembunyi di sebuah rumah kerana dikejar oleh kaumnya yang ingin membunuhnya. Nabi Ilyas kemudian bersedia mengasuh Ilyasa’ dan menjadikannya anak angkat. Dengan izin ibunya, Ilyasa’ dibimbing oleh Nabi Ilyas. Baginda sering dibawa bersama oleh Nabi Ilyas berdakwah meyampaikan risalah kenabian.
PENERUS NABI ILYAS
Setelah Nabi Ilyas wafat, Allah S.W.T mengangkat Ilyasa’ menjadi nabi dan rasul. Ilyasa’ meneruskan tugas dakwah ayah angkatnya kepada kaum Bani Israel yang gemar menyembah berhala. Baginda juga memberikan peringatan tentang ancaman seksaan daripada Allah S.W.T apabila kaumnya tidak mahu meninggalkan kekufuran dan kemusyrikan.
