Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam satu kisah di mana seorang sahabat melewati sebuah lembah yang bermata air yang sangat jernih airnya sehingga mempesonanya. Ia lalu berfikir untuk mengasingkan diri dari masyarakat dan ingin menghabiskan masa untuk beribadah di lembah itu. Ia kemudian memberitahu hasratnya kepada Rasulullah s.a.w. Maka jawab Rasulullah s.a.w. :
“Janganlah engkau lakukannya, kedudukan engkau di jalan Allah lebih utama daripada solat yang engkau lakukan di rumahmu selama tujuh puluh tahun. Tidakkah kamu ingin agar Allah mengampuni dosamu dan memasukkan kamu ke syurga. Berjuanglah di jalan Allah”.
[Riwayat Tirmizi]
Adalah tidak tepat bagi sesiapa pun untuk menolak dunia atas alasan demi keutamaan hidup di akhirat atau menolak akhirat untuk hidup selesa di dunia. Inilah dua golongan manusia ekstrim yang menyempitkan keluasan, kesesuaian dan keunggulan Islam.
Betapa pentingnya urusan muamalat sehingga dalam kitab-kitab hadith, bab ibadah hanya merupakan sebahagian kecil dari seluruh hadith. Dari dua puluh jilid Fath al-Bari, Syarah Shahih Bukhari, hanya empat jilid berkaitan dengan urusan ibadah. Kenapa hari ini kebanyakan kita lebih menekankan persoalan ibadah daripada urusan muamalat. Perpecahan di kalangan umat Islam dibiarkan tanpa ada usaha untuk menjernihkanya. Sedangkan dalam sebuah hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud :
‘Barangsiapa bangun di waktu pagi dan berniat menolong orang yang teraniaya dan memenuhi keperluan orang Islam, baginya seperti haji mabrur. Hamba yang paling dicintai Allah ialah yang paling bermanfaat bagi manusia dan amal yang paling utama ialah memasukkan rasa bahagia pada hati orang yang beriman, menutup rasa lapar, membebaskan dari kesulitan atau membayarkan hutang’.
[Hadith riwayat Ibnu Hajar al-Asqalani]
Justeru itu dikatakan bahawa ibadah yang bersifat kemasyarakatan lebih tinggi nilainya dibandingkan dengan ibadah perseorangan. Ibadah solat jamaah, solat Jumaat, ibadah haji dan zakat mempunyai pertautan dari segi sosial. Ia bukan sekadar bersifat ritual.
‘Perumpamaan kaum mukmin dalam hal jalinan kasih sayang, kecintaan dan kesetiakawanan, sama seperti satu tubuh, yang bila salah satu anggotanya mengeluh kerana sakit, maka seluruh anggota lainnya menunjukkan simpatinya dan berjaga semalaman dan menanggung panas kerana demam’. [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Pemikiran yang memisahkan di antara dunia dan akhirat, pemahaman ibadah hanya dari perspektif yang sempit, tanggapan ilmu agama hanyalah yang berhubung langsung dengan ibadah khusus dan tidak mencakupi ibadah umum hendaklah dibuang demi kecemerlangan masa depan ummah.
Umat Islam seharusnya sedar bahawa perbuatan menyakiti jiran, memutus hubungan silaturrahim, merampas hak yang bukan milik kita, berbuat zalim sesama makhluk tidak dapat ditebus dengan urusan ibadah semata-mata malah selagi kita berdosa dengan makhluk tersebut maka selagi itu ibadah kita tidak diterima oleh Allah. Hal ini dapat dilihat dalam satu peristiwa seorang yang banyak ibqdah tetapi dia dimasukkan ke neraka kerana menganiayai seekor kucing dengan mengurungnya tanpa memberi makan sehingga mati kelaparan. Demikian juga sebaliknya seorang pelacur yang diampun dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kelaparan di tengah padang pasir. (Maksud hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
‘Aku hanya akan menerima solat dari orang yang merendahkan diri kerana kebesaranku, yang tidak sombong pada makhlukku, yang tidak mengulangi maksiat kepadaku, yang mengisi siang dengan zikir padaku, yang menyayangi orang miskin, ibnu sabil, janda dan mengasihi orang yang mendapat musibah’.
Islam meletakkan kehidupan bersosial dan bermasyarakat merupakan kerja-kerja yang tidak boleh diketepikan, bahkan lebih penting kerana pengekalan ummah dan penerusan mereka di dunia ini bergantung kepada kekuatan sosial ummah yang berkenaan.
