TAHNIAH buat MB Kedah. Beliau secara sahnya mengakui telah berkahwin seorang lagi. Menariknya, isteri dan anak-anak hadir sama ketika dirinya melafazkan akad nikah dengan seorang janda beranak satu, anggota polis yang dikenali ketika melakukan siasatan berhubung kebakaran di kediaman rasmi MB Kadah, bukan menyiasat kes lombong haram REE (nadir bumi) yang dikaitkan dengan MB Incorporated.
Dengan pengesahan Sanusi kahwin seorang lagi, tidak ada sesiapa pun yang berhak mempertikaikannya. Sebabnya, Sanusi berpoligami dengan persetujuan isteri dan anak-anaknya. Tidak ada isu berbangkit, apatah lagi isterinya, Toh Puan Sri Jusmalaihi Jusoh menjadi orang perantaraan yang berperanan dalam keputusan suaminya untuk berpoligami. Toh Puan Sri masuk meminang, dan menjadi ‘saksi’ ijab kabul itu.
Bekas MP Petaling Jaya, Marina Chin tidak patut pertikaikan mengenai poligami Sanusi. Marina Chin tidak perlu mengecam Sanusi, yang berkata, saya masih ada kouta dua lagi dan menyifatkan ‘gurauan’ itu seumpama ’menukar berus gigi’. Tidak ada lojik hukum dan moral yang boleh dijadikan asas untuk membenarkan kecaman tersebut.
Dalam Islam peraturannya jelas. Seseorang lelaki diharuskan berpoligami dengan empat orang isteri pada masa yang sama. Islam meletakkan syarat, apabila seseorang lelaki sanggup memelihara dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya, dalam soal nafkah, tempat tinggal dan permbahagian waktu, ia dibolehkan berkahwin lebih seorang wanita.
Apabila seseorang lelaki khuatir tidak dapat berlaku adil, maka Islam melarang berkahwin lebih seorang. Cukup dengan seorang isteri sahaja sepanjang hidupnya. Tidak kiralah sama ada seorang isteri itu adalah dikahwini kali pertama, kedua, atau ketiga, asalkan dalam masa yang sama hanya cukup dengan seorang sahaja. Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka kahwinlah (dengan) sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain); dua, tiga atau empat, kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.’ (Surah an-Nisa’, ayat ke-3).
Adil tidak bermaksud samarata sebagaimana difahami oleh kebanyakan orang. Adil, secara istilahnya membawa maksud, meletakkan sesuatu di tempat yang benar atau sepatutnya. Adil membawa makna, tidak menzalimi atau mengkhianati apa yang sepatutnya menjadi hak atau privasi seseorang. Isteri pertama ada hak dan privasinya. Isteri kedua juga ada hak dan privasinya. Antaranya, diberikan tempat tinggal yang selesa (bukan tempat tinggal yang mewah), yang selamat (bukan kediaman robek dan uzur), ada kelengkapan asas (elektrik, air dan akses utiliti awam), dinafkahi setiap seorang (zahir dan batin), dan yang penting bersetuju giliran bermalam di antara isteri=isteri. Yang tidak dianggap adil ialah apabila si suami lebih mengutamakan salah seorang daripada isteri-isterinya.
Dari segi sejarah, poligami bukanlah dibenarkan oleh agama Islam sahaja. Agama-agama lain turut membenarkannya, kerana itulah poligami sudah pun berlaku sebelum Islam lagi. Agama Nasrani misalnya, tidak ada satu ayat dalam kitab suci mereka yang mengharamkan poligami. Poligami diharamkan setelah mereka melihat keburukan poligami yang berlaku dalam masyarakat, kerana si suami tidak mampu berlaku adil. Hasilnya, walaupun diharuskan dalam kitab Injil, mereka membuat keputusan untuk tidak membenarkannya, lebih cenderung membudayakan monogami. Ia kemudiannya menjadi peraturan oleh penguasa gereja, dan menganggapnya sebagai peraturan agama, setelah mendapati sebahagian besar lelaki berpoligami hanya lebih mengutamakan isteri yang lebih muda, lebih cantik dan cukup manja. Sabda Nabi Muhammad SAW dengan maksud:
“Barang siapa memiliki dua orang isteri, dan ia condong kepada salah seorang di antara keduanya – dalam lafal yang lain – ia tidak bersikap adil di antara keduanya, pada Hari Kiamat ia akan dibangkitkan dalam keadaan salah satu sisi badannya miring.” ( Riwayat At=Tarmidzi, Abu Daud dan Ibnu Hibban, dalam Imam Al-Ghazali, Nasihat Pernikahan: Menuju Keluarga Samawa, Jakarta: PT Rene Turos, cetakan ke-3, 2021, hal. 126).
Berpoligami bukan berdasarkan pemenuhan hawa nafsu semata-mata, seperti kebanyakan wanita melihatnya sebagai tindakan yang perlu dikecam atau disekat. Islam misalnya, dalam mengatur konsep kemanusiaan yang luhur, memberikan kekuatan dengan jumlah penganutnya yang ramai. Penganut yang ramai terjadi dalam dua sebab, melalui pertambahan semula jadi (kelahiran) dan meningkatnya pemeluk baharu (mualaf).
Salah satu jalannya ialah dengan berkahwin dan melahirkan zuriat (memperbanyakkan keturunan). Nabi Muhammad SAW bersabda, dengan maksud:
“Berkahwinlah dan beranak-pinaklah kamu banyak-banyak kerana aku akan berbangga dengan kamu terhadap umat-umat terdahulu kelak di hari Kiamat”. (dalam kitab Imam al-Qadhi Shikhul Hanabai Abi Ya’la Muhammad Ibnul Hussain bin Muhammad Ibnul Farro’ al-Hanballiy (380-458H), Al-Jami’us Soghir, Jld 1, hal. 133).
Seruan Nabi Muhammad SAW itu menatijahkan bahawa mempunyai zuriat yang ramai akan memberika kekuatan kepada Islam dan dalam situasi sekarang, banyak negara mula berhadapan dengan kekurangan bilangan penduduk akibat kadar kelahiran yang rendah. Kadar kelahiran yang rendah pula disebabkan penurunan kadar kesuburan penduduk, baik lelaki atau perempuan. Namun, yang lebih dibimbangkan ialah bila kadar kesuburan perempuan menjadi semakin rendah.
Kadar kesuburan yang rendah ada pula kaitannya dengan isu-isu yang dilihat meningkatnya umur berkahwin. Daripada perspektif kesihatan, kesuburan seseorang wanita ialah ketika mereka berada dalam kategori umur akhir remaja hingga ke usia 35 tahun. Ini menyebabkan mereka yang berkahwin ketika berusia lebih 35 tahun, potensi melahirkan zuriat sendiri adalah lebih kecil. Walau bagaimanapun, dalam dunia moden, peluang untuk hamil selepas usia 35 tahun tetap ada, tetapi risikonya adalah lebih tinggi.
Pada usia pertengahan 30 tahun, kebanyakan daripada kita, mula merasakan ada gangguan permulaan penyakit, terutama kencing manis dan darah tinggi. Ia bergantung kepada faktor genetik seseorang, gaya hidup yang mereka pilih dan persekitaran pekerjaan, Ketika dalam usia begitu, tekanan kerjaya lebih memuncak, terutama dalam perlumbaan mendapatkan pangkat dan keperluan-keperluan dalam bentuk yang lain.
Faktor ekonomi juga memainkan peranan yang mendorong sama ada seseorang itu sedia berkahwin dan sedia mempunyai anak. Apabila meningkatnya kos sara hidup, tekanan-tekanan masa dan kerjaya, timbul pula kecenderungan fenomena, atau sindrom “hanya kami berdua’ atau childfree, Berkahwin “OK”, anak ‘Tidak OK’. Sindrom ini hadir dengan kepercayaan, dengan mempunyai anak kehidupan ‘tidak bebas’ dan kos sara hidup yang semakin membebankan.
Ini kerana perbelanjaan membesarkan anak-anak semakin mahal. Harga susu, lampin pakai buang, bayaran pengasuh, rawatan kesihatan dan perbelanjaan-perbelajaan lainnya semakin menyebabkan ‘poket kosong’. Mereka yang memikirkan atau bersandarkan kepada pendapat sebegini sebenarnya tidak mempercayai sepenuhnya makna konsep rezeki. Mereka hanya mempercayai dan terpengaruh dengan teras kehidupan berdasarkan hitungan wang ringgit. Ini bermakna mereka tidak memahami firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.” (Surah al-Hud, ayat ke-6).
Ertinya, setiap daripada kita Allah SWT telah menentukan rezeki, maka tidak harus menjadi sebab dengan mempunyai anak maka akan menyempitkan rezeki. Kehadiran anak atau anak-anak sewajarnya disifatkan sebagai rezeki, kerana rezeki itu bukan hanya dalam bentuk wang ringgit. Setiap daripada kita wajib menyedari, kehadiran anak dalam kehidupan akan memberikan kita rasa senang, dan telah lengkaplah peranan sebagai ibu dan ayah. Jangan mudah terpengaruh dengan kehidupan tanpa anak kerana masa tua akan dibelenggu oleh perasaan sepi dan tidak ada apa yang dapat dikongsikan dengan insan yang terdekat.
Jika masyarakat menentang perihal poligami, kita boleh faham bahawa penentangan mereka disebabkan oleh protes dalam kalangan yang cuba menjadikan wanita sebagai kausa pemutusdalam banyak perkara, termasuk kuasa pemutus dalam hal ehwal kekeluargaan. Jiwa mereka terarah kepada kepercayaan ‘monopoli’, seorang lelaki menjadi hak mutlak seorang wanita. Dalam konteks sosiologi keluarga, perihal ini dinamakan matriarki. Matriarki asalnya tidak ada dalam Islam, ia merupakan konsep yang diperjuangkan oleh masyarakat barat yang matriarki boleh menyebabkan wanita mempunyai kuasa dalam kehidupan berkeluarga.
Ia dalam beberapa perkara menyimpang fitrah yang ditetapkan antara lelaki dan perempuan. Ia menjadi asas perjuangan kelompok fenimisme, yang turut mempengaruhi orang Islam apabila mereka terdedah dengan aliran pemikiran barat, menerusi pendidikan, pergaulan dan pengaruh emansipisasi. Bagi Islam, lelaki (suami) adalah orang yang diberikan kuasa sebagai pemutus, yang kita kenali sebagai ketua keluarga. Sebab itulah Islam menjadikan lelaki itu sebagai imam, manakala wanita dan anak-anak sebagai makmun dalam keadah berkeluarga dan bermasyarakat.
Ini tidak bermakna lelali ‘menindas’ perempuan. Tidak ada konsep penindasan dalam rumah tangga kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab khusus dan tanggungjawab bersama. Tanggungjawab khusus seorang lelaki (suami) ialah (1) memberikan maskahwin (al-Mahr) semasa ijab kabul; (2) memberikan nafkah (zahir dan batin); menurut kadar kemampuan suami; (3) memelihara isteri daripada neraka (mengajar isteri dengan nilai-nilai agama – beriman kepada Allah, rukun imam, rukun Islam dan hukum-hukumnya (halal dan haram) dan menunjukkan teladan yang baik; dan (4) mencemburui isteri (hal ehwal agama, sosial dan keharmonian diri); bukan cemburu membabi buta.
Kewajiban isteri ialah: (1) taat kepada suami selagi tidak menyeru kepada perkara yang buruk dan keji (nahi mungkar); (2) memelihara kehormatan dan perasaan suami (mata, telinga dan hati) sehingga suami merasa tenang dan menyukai kehidupan di rumah; (3) menguruskan rumah tangga dengan baik dan memenuhi permintaan suami; (4) menjaga harta suami dan tidak memberikannya kepada orang lain (termasuk saudara mara tanpa izinnya); (5) tidak berpuasa sunat tanpa izin suami; (6) berhias diri untuk suami; (7) berbuat baik kepada ahli keluarga suami; (8) mendidik (mengasuh) anak-anak dengan sabar dan kasih sayang; (9) tidak keluar rumah tanpa izin suami; dan, (10) berkongsi dan bergaul dengan baik (tidak meninggikan suara, bertengkar dan mahu menang sendiri).
Tanggungjawab bersama ialah (1) bersedia memaafkan kesalahan dan kesilapan; (2) masing-masing berkongsi suka dan sedih dalam sesuatu perkara; (3) saling nasihat menasihati dalam mentaati Allah SWT, mempelajari agama dan melakukan ibadat; (4) sama-sama bertanggungjawab mengurus rumah tangga, anak-anak dan membentuk keluarga bahagia (keluarga sakinah; (5) tidak mendedah keburukan dan kecacatan pasangan; (6) mengharamkan persemendaan ibu bapa (mertua), menantu, anak tiri dan emak tiri; (7) pesaka mempusakai apabila salah seorang meninggal; (8) halal melakukan hubungan kelamin antara suami isteri (kecuali dalam keadaan uzur syarie); (9) nasab anak kepada kedua ibu bapa, tetapi anak hanya membawa gelaran bin/binti bapanya; dan (10) berhak bergaul hidup sebagai pasangan dengan cara yang baik dan kasih sayang (bukan mendominasi).
(Haji Mohd Salleh Haji Ahmad, Perkahwinan dan Perceraian Dalam Islam, Batu Caves, Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid Sdn. Bhd., 2012, hal. 37-45).
Apa pun, keputusannya, suami adalah bertanggungjawab dalam banyak perkara manakala isteri bertanggungjawab dalam membangun suasana hubungan dan perskitaran rumah tangga yang baik dan layanan yang berkualiti kepada suami dan anak-anak. Itulah sebenarnya kunci kebahagiaan keluarga, bukan mempamerkan tindakan yang mengada-ngada antara pasangan.
Sebab sebahagian perilaku wanita yang berkongsi suami, ada sikap yang memperlihatkan dirinya cukup mengada-ngada, walaupun tujuannya adalah untuk ‘mengikat suami’ ia akan menyebabkan pada suatu ketika, perilaku sedemikian disedari banyak muslihat dan tidak ikhlas, ia akan menyebabkan berlaku penceraian.
Pada umumnya, mereka yang menentang amalan poligami adalah wanita. JArang kedengaran lelaki menentang poligami. Banyak kita temui, ramai lelaki berfantasi untuk mengahwini lebih seorang wanita, tetapi tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan ‘perang’ dengan isteri pertama (isteri tua). Inilah yang dapat kita lihat bagaimana seseorang isteri mengajukan proses penceraian kerana suami kahwin satu lagi, mereka tidak rela dimadukan.
Mereka tidak mahu dimadukan kerana menganggap seorang lelaki hanya milik mutlak seorang isteri. Lantaran itu, ramai wanita melihat poligami itu sebagai sesuatu yang tidak adil, dan kadangkala terkeluar luah hati dalam media sosial, perasaan marah yang meluap-luap sehingga hidup bersama sudah berubah menjadi ‘neraka’.
Kadangkala ‘rasa marah’ itu sebabnya. Si suami mengambil jalan mudah untuk berpoligami. Seperti kata P Ramlee, sebagai Jamil yang mempunyai tiga orang isteri. Isteri kedua dan ketiga dikahwini secara diam-diam dan setiap kali berhasrat melakukan penggiliran muncul pelbagai alasan atau pembohongan. Namun, Jamil mempunyai sokongan yang cukup kuat daripada bapa mertua (Haji Latiff ) dan seorang pekerja yang paling dipercayai (menjaga rahsia) di pejabat (Rafee).
Misalnya dalam dialog dengan dengan bapa mertua di hadapan isteri pertama (Latifah) dan Rafee , yang pulang ke rumah berbalut seperti orang yang mengalami luka.
“Kenapa abang ni?! Apa yang sudah terjadi?! Kenapa bungkus-bungkus?!”
“Apa dia? Rafee! Apa pasal?”
“Kasihan.”
“Apa yang kasihan?”
“Eh! Agaknya kau dah gila?!”
“Abang kena langgar lori Pah. Tiga hari tiga malam masuk hospital.”
“Langgar? Macam mana boleh jadi berlanggar?”
“Pah, Pah, kau tolong buat kopi sedikit Pah”
“Ya, bang.”
“Jamil, dengan lori apa kau berlanggar?”
“Dengan lori tahi!”
“Jamil, dengan lori apa kau berlanggar?”
“Rafee, beritahu Cik Latifah suruh campur kopi aku dengan madu lebah ya!”
“Baik, encik.”
“Jamil”
“Pak”
“Macam mana engkau boleh berlanggar dengan lori tahi?”
“Berlanggar bohong Pak, bohong sunat!”
“Tak sangka menantu bapak, otak bergeliga, otak penipu!.”
“Nak hidup Pak.”
(Petikan dari filem Madu Tiga (1964), dalam Daniyal Kadir, Membedah P. Ramlee, Bangi: DuBook Press Sdn Bhd, 2015, hal. 169-170).
Namun, dalam filem Madu Tiga, akhirnya ketiga-tiga bersedia bermadu dan menetapkan jadual penggiliran. Sangat kita faham ialah bagaimana P Ramlee berusaha mengkritik kerencaman sosial dalam memperihalkan poligami, kerana perlakuan itu tidak dilaksanakan secara berhemah dan penuh keharmonian, hajat dipenuhi dengan menipu (muslihat), sedangkan menipu itu adalah sesuatu yang sangat buruk dan dilarang oleh agama.
Ini bermakna, ramai yang melakukan poligami menggunakan alasan agama. Kita mungkin ingat bagaimana Shahnon Ahmad mendedahkan perihal itu ketika beliau pernah bersama-sama Al-Arqam. Poligami menjadi hal yang sangat lumrah, dan berlaku di antara pemimpin dan pengikut al-Arqam. Cerita itu dapat kita baca dalam Ummi dan Abang Syeikul, Pulau Pinang: Percetakan Yusran, 1992.)
Saya pernah mempunyai ‘boss’ yang berpoligami. ‘Boss’ bijak memikirkan bagaimana mendapat ‘passport’ untuk keluar malam untuk ke rumah isteri kedua. Beberapa kali dalam seminggu, dimintanya kami ke rumahnya, berbual-bual seketika sebelum meminta izin isteri untuk keluar malam atas alasan ‘ada hal penting’. Oleh kerana ‘boss’ adalah seorang politikus, banyak hendak dilakukan termasuk ‘menjaga kawasan’ dan berbincang-bincang hingga ke lewat pagi. Ada ketikanya, terutama sewaktu diadakan pemilihan (juga pilihan raya), memang berlaku perbincangan, tetapi bila di luar musim, kami diundang untuk membolehkan dapat ‘izin’ keluar malam.
Itu juga merupakan strategi yang digunakan oleh mereka yang mengamalkan poligami secara rahsia. Akhirnya, kisah berpoligami itu diketahui oleh isteri pertama, sedikit sebanyak ‘perang’ terjadi. Namun, tiada desakan dan permintaan untuk mereka bercerai. Isteri pertama menerima kehadiran isteri kedua, tetapi isteri pertama semakin bersifat kuat mengawal. Walau bagaimanapun, si suami masih panjang akal, menemui isteri kedua beberapa kali seminggu pada waktu siang (termasuk pulang lewat dengan alasan banyak kerja), maklumlah dirinya adalah seorang politikus.
Ia cukup berbeza dengan Sanusi alami. Tidak ada bantahan daripada isteri pertama, Bermakna, dalam persoalan penggiliran ‘pulang ke rumah’ tidak menjadi masalah besar, ada persutujuan yang dibuat. Namun, dalam hati kecil ada sifat-sifat ‘tidak bersetuju’ yang terpaksa dipendamkan. Ia bukan seperti kisah Khalid Samad. Isteri pertama menuntut cerai apabila suaminya ingin berkahwin lagi.
Ada juga cerita yang cukup heboh, setelah beberapa lama suami berkahwin seorang lagi, ceritanya baharu terbongkar. Terjadilah ‘perang’ yang kadangkala menyebabkan isteri pertama memberikan pilihan yang cukup memaksa, ceraikan salah seorang. Inilah yang berlaku bagi pasangan Syamsul Yusuf dan Puteri Sarah Liyana apabila mendapat tahu, Syansul berkahwin di Thailand secara diam-diam.
Pada 5 Ogos lepas, Syamsul dengan sahnya melafazkan cerai talak satu ke atas Ira Kazar. Dengan Puteri Sarah, Syamsul sudah pun melafazkan talak satu pada 13 Jun 2024. Ini bermakna, dalam tempoh 20 bulan berkahwin dengan Ira Kazar, Syamsul kembali ‘duda’ sekali lagi. Ada khabar, Syamsul berhasrat merujuk kembali dengan Puteri Sarah, tetapi, setakat ini tidak ada kenyataan yang membenarkan rayuan kembali semula seperti sebelum bercerai.
Tersebar di media sosial bahawa Puteri Sarah tidak memikirkan ‘rujuk’ yang diperkatakan, ia merupakan spekulasi pihak tertentu kerana Puteri Sara belum menikah lagi dengan orang lain, biarpun dikatakan sudah ada ‘kawan yang istimewa’.
Persoalannya, apakah berpoligami itu sesuatu yang buruk atau tidak baik? Menurut laporan Majlis Agama Islam Selangor, dalam tempoh 2019-2022, terdapat 1,617 pasangan berpoligami tanpa kebenaran di Selangor, melebihi daripada jumlah permohonan untuk berpoligami. Berpoligami tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang keluarga Islam, apatah lagi jika poligami itu berlangsung di negara luar (paling ramai berpoligami di Thailand dan juga di Indonesia).
Namun, pola lelaki Malaysia berpoligami di Indonesia dilihat semakin berkurangan kerana Indonesia telah menetapkan undang-undang yang lebih ketat perkahwinan rentas negara. Ketika ini, ramai yang ingin berpoligami melakukannya di Thailand, kerana kosnya lebih murah dan prosesnya lebih mudah, kerana sebahagian jurunikah tidak menetapkan syarat yang ketat (boleh bernikah walaupun tidak wali, dengan menggunakan wali hakim) dan jurunikahnya, dikatakan ada yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Thailand sendiri.
Jika bernikah di Thailand, tanpa mendaftar kembali di Malaysia, yang menjadi masalahnya apabila pasangan itu mempunyai anak, perkahwinan mereka terbubar dan bila suami (lelaki Malaysia) meninggal dunia. Pada suatu ketika, ramai juga lelaki Malaysia berkahwin lagi di Kemboja, dengan berselindung di sebalik aktiviti dakwah dan membantuk warga Islam Kemboja yang hidup susah dan miskin.
Apa pun keputusan seseorang untuk berpoligami, ia perlu memikirkan masa depannya dengan baik. Seseorang itu perlu mempertimbangkan persoalan penerimaan isteri pertama, dan tidak tersangat yakin bahawa si suami akan berlaku adil sebagaimana ditetapkan sebagai syarat utama berpoligami, biarpun si suami merupakan seorang yang ada kemahuan dan kekayaan. Adil itu perlu difahami daripada perspektif seluas-luasnya termasuk emosi dan persekitaran dalam amalan prinsip-prinsip agama.
Sebabnya, dalam Islam syariat lebih diutamakan daripada pemenuhan nafsu. Ini kerana banyak kisah rumah tangga yang gagal dalam suasana berpoligami. Menurut Siti Hajar Maskurin daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM): poligami boleh mendatangkan impak negative kepada semua yang terbabit kerana membabitkan isu perasaan, keadilan, kesamarataan dan kesetiaan yang perlu dititikberatkan suami. Poligami menjadikan isteri hilang kepercayaan kepada suaminya,
Selain itu, poligami yang dilakukan seolah-olah mengabaikan emosi atau perasaan isteri dan anak kerana lumrah seorang wanita diciptakan dengan kelembutan, selain mudah mengutarakan perasaan. Impaknya, seorang isteri akan berasa kecewa atau marah jika dia dikhianati dan dinafikan sejak sekian lama.” (Berita Harian, 23 Disember 2023).
Apa yang penting bagi sesebuah keluarga yang bahagia, bukan hanya sifat seorang isteri yang menuntu haknya sahaja. Seorang isteri wajib memenuhi hak seorang suami ke atas seorang isteri. Apa yang kita dengar, bila masalah muncul, suami dipersalahkan walhal realitinya, isteri juga ada kesalahannya sehingga si suami cenderung memikirkan untuk berkahwin lagi tanpa pengetahun isteri pertama. Analisis sebab dan akibat perlu dibuat, bukan sekadar mengatakan, saya sudah banyak berkorban, tetapi, suami mahu kahwin satu lagi.
Tidak semua poligami berlaku atas maksud memenuhi tuntutan nafsu. Tetapi, perlu diingati bahawa seks juga perlu dalam kehidupan berumah tangga. Bagaimana jika setiap kali suami perlukannya, isteri memberikan pelbagai alasan untuk menolaknya? Apakah tindakan sedemikian merupakan satu bentuk pengorbanan?
Dalam Islam, hukum berpoligami itu ada tiga kategori: Sunat, Makruh dan Haram. Sunat apabila isteri pertama tidak dapat memberikan zuriat (ada masalah kesihatan dan disahkan mandul). Makruh apabila poligami dilihat sebagai menambahkan keseronokan, kemegahan diri dan dalam masa yang sama tidak mampu berlaku adil. Haram apabila benar-benar tidak melakukan keadilan terhadap isteri-isteri atas sebab miskin, tidak mampu mengawasi kecenderungan dan prejudis.
Atau terpengaruh dengan rakan-rakan yang telah berpoligami (cerita indah dan berfantasi “bila isteri marah, balik ke rumah isteri nombor dua’, bila isteri nombor dua marah, balik ke rumah isteri nombor tiga, bila dua-dua marah, balik ke rumah isteri tua. Kalau ketiga-tiga marah, ‘tidurlah di surau’ atau cari ‘roomstay’).
Jika berhasrat berpoligami, jangan bertindak seperti kuda liar; belajarlah menjadi suami yang rasional, dan berjiwa kental berhadapan dengan pelbagai karenah yang muncul di antaranya. Ini kerana berpoligami itu haram jika tiada kemampuan fizikal, kewangan dan juga persiapan mental. Tanpa kemampuan tersebut, ia akan mendatangkan kesan buruk atas perbuatan itu terhadap isterinya dan anak-anaknya sendiri, termasuk anak-anak yang bakal lahir. Ia adalah dosa yang terpaksa ditanggung selain kutukan moral dalam kalangan masyarakat.
Kata Baltasar Gracian (1601-1658), ahli falsafah Sepanyol: It is not enough to be intelligent; you must also have the right character”.
Kata Imam al-Ghazali: Berahi tidak menjadi berapi-api, kecuali disebabkan oleh sikap melampaui batas dalam menurut syahwat. Ini merupakan penyakit hati ketika ia menjadi benar-benar kosong, tidak ada kemahuan apa pun di dalamnya, kecuali syahwat.” (Imam al-Ghazali, Nasihat Pernikahan, hal. 275).
Akhirnya, ramai yang menunggu cerita manisnya bermadu daripada Sanusi Mohd Noor. Kita juga mahu melihat sejauhmanakah ‘cinta selepas kahwin’ cukup membahagiakan setelah berkahwin seorang lagi dengan seorang anggota polis atas restu dan persetujuan isteri pertama; meminang dan mengaturkan perkahwinan buat suaminya. Kita doakan semoga mereka bahagia.
