2026 TAHUN PERPADUAN

2026 TAHUN PERPADUAN

Setelah beberapa dekad kedua belah pihak bertembung, bercakaran dan bahkan sehingga sampai pada peringkat menggugat akidah dengan fenomena kafir mengkafir  pada era tahun 1980-an, sudah tiba masanya kedua parti tunjang Melayu PAS  dan UMNO berganding bahu dan bekerjasama secara erat dalam mempastikan harkat dan martabat umat Islam tetap terjaga dan terbela dengan baik. Apatah lagi, kedua belah pihak bersedia untuk melupakan dan saling memaafkan kisah masa silam yang kelam itu dan berikrar untuk menatap masa hadapan dengan lebih positif.

Tahun 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya telah memberi tapak dan landasan yang kukuh kepada pihak-pihak terbabit untuk meningkatkan lagi usaha-usaha untuk perpaduan ummah ini. Oleh sebab itu, kita patut menyongsong tahun baru 2026 dengan keazaman dan semangat baru untuk lebih menegaskan lagi impian perpaduan ummah dalam bentuk yang konkrit.

Ibarat membina sebuah rumah, tahun 2025 merupakan tempoh bagi membuat kerja-kerja persediaan pembinaan seperti mencari ‘tapak rumah’, merangka dan menulis pelan pembinaan. Manakala tahun 2026 ialah masa yang sesuai bagi ‘pembinaan rumah’ dalam bentuknya yang konkrit yang ditandai dengan wujudnya pembinaan secara fizikal. Di dalam ‘rumah’ yang sama inilah semua pihak yang sebelum ini kerap bertelagah dan terpisah disebabkan perbezaan politik dapat berkumpul bersama bagi masa depan ‘zuriat’ yang lebih terjamin dan tercerahkan.  

Sudah tentu, dalam proses pembinaan ‘rumah’ ini akan ada pihak-pihak yang menentang dan tidak senang dengan usaha perpaduan ini. Ada juga yang secara sinikal beranggapan perpaduan ini hanya menguntungkan elit politik tertentu sahaja, sedangkan di peringkat akar umbi berbelah bahagi. Sesetengah pihak lagi mungkin merasa terancam survival politiknya kerana ia akan menjejaskan peluang kumpulan ini meraih sokongan kaum Melayu dan umat Islam. Perpaduan politik ini sangat menakutkan mereka kerana ia memberi ‘senjata’ dan kekuatan besar membolot dokongan dan simpati di semua peringkat masyarakat Islam.

Meskipun wujud penentangan dan penolakan terhadap usaha-usaha menyatupadukan unsur-unsur kekuatan umat Islam di negara ini, bukan bermakna usaha ini terhenti. Sebaliknya ia perlu lebih dipergiat dan dipertingkatkan lagi memandangkan perkara ini amat ditekankan dalam prinsip Islam. Dalam perjuangan untuk mengangkat martabat dan syiar Islam, persatuan dan perpaduan umat Islam merupakan intipati kekuatan sekaligus menjadi sumber ketakutan kepada musuh-musuh Islam.

Ada yang menyifatkan mereka yang menghalang penyatuan Melayu dan Islam sebagai pengkhianat, maka itu  ramai pula yang tampil memberikan pendapat. Bagi kelompok tersebut, Pas dan UMNO tidak perlu bersatu. Kedua-dua parti itu hanya perlu duduk semeja bekerjasama dan tidak kurang juga yang memberikan pandangan penyatuannya akan menyebabkan hilangnya peranan check and balance.

Jika gabungan Pas boleh bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), tentunya kekuatan Melayu akan dilihat sebagai sesuatu yang utuh dan mapan. Dengan menganggap mereka yang menolak penyatuan Melayu-Islam sebagai pengkhianat, mungkin akan menyebabkan pihak tertentu membuat andaian, bahawa Melayu sebenarnya sedang berada dalam zon yang parah. Sebenarnya, zon Melayu masih belum lagi parah. Kekuatan Melayu masih besar, cuma mengalami sedikit hakisan.

Dalam konteks Islam, perpecahan adalah sesuatu yang dianggap sebagai dosa dan malapetaka umat. Perpecahan antara Islam bukan sahaja boleh menghancurkan ummah malah bakal menyebabkan pupusnya sesuatu budaya. Allah akan menurunkan bala dan malapetaka bagi umat yang tidak mahu bersatu.

Islam telah hadir sebagai cara hidup yang mementingkan perpaduan dan penyatuan setiap individu dalam satu dasar yang kuat. Islam tidak menjadikan etnik atau kaum sebagai asas, namun hakikat kepelbagaian bangsa dan keturunan juga harus diakui sebagai ciptaan Allah SWT bagi membolehkan antaranya berkenal-kenalan dan hidup dalam kemesraan.

Islam ditegakkan sebagai agama yang menyanjung tinggi prinsip bantu membantu, kerana itu akan melahirkan kesejahteraan kehidupan. Hakikat ini sebenarnya difahami oleh banyak orang, tetapi sesetengahnya cuba memasang lukah ketika hujan melimpah dan air di kuala menjadi keruh. Hakikat ini tidak difahami oleh segelintir pemimpin politik yang memikirkan kedudukan dan kelebihan partinya sendiri, sehingga lebih banyak menaburkan retorik.

Penting juga untuk dicatat di sini bahawa usaha-usaha perpaduan ini pada asasnya tidak hanya tertumpu kepada kaum Melayu sahaja, akan tetapi ia perlu melibatkan kaum-kaum yang lain. Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, semangat persatuan yang kukuh di antara semua rakyat membolehkan negara ini akan mampu menjadi negara yang maju, makmur dan sejahtera. Sudah tentu wujud perbezaan dan kefahaman yang tak sama, akan tetapi perbezaan itu tidak boleh menepikan cita-cita bersama dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

Penyatuan dan perpaduan telah menjadi prioriti bersama seluruh komponen masyarakat tanpa mengira perbezaan politik. Ia menjadi satu perkara yang mendesak (bersifat daruriyat) yang boleh mengancam keberlangsungan manusia itu sendiri. Hal ini kerana tahun 2026 dijangka menjadi tahun yang mencabar berikutan situasi ekonomi global yang tidak menentu dan tempiasnya ke negara kita, memerlukan kita untuk bersatu padu mendepani cabaran getir itu.

Pada masa yang sama, pertelingkahan dan perebutan kuasa perlulah dikurangkan demi mengurangkan resiko keadaan yang tidak stabil. Sudah sewajarnya tahun 2026 diinsafi sebagai semangat baru bagi menjalani kehidupan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya dalam segala hal. Bukan dengan sibuk memenuhi gairah dan ego peribadi membolot kuasa dengan saling menjatuhkan dan mengaibkan di antara satu sama lain.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016816
Hari ini: 251
Minggu Ini: 1,621
Bulan Ini: 1,957
Tahun Ini: 16,816
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.