Dahulu, siang itu 12 jam. Hari ini, siang masih 12 jam. Dahulu, malam itu 12 jam, dan kini malam masih 12 jam. Matematik alam yang ditentukan Allah SWT tidak pernah berubah. Namun mengapa orang dahulu, walaupun hidup serba perlahan, seolah-olah “memiliki” masa? Mereka sempat berladang, sempat bertandang, sempat mengarang kitab tebal berjilid-jilid, dan sempat menjaga keluarga.
Manusia zaman ini sebenarnya hidup dalam satu paradoks yang sangat besar. Perjalanan yang dahulu memakan masa beberapa hari, kini hanya mengambil 4 jam. Mesej yang dulu mengambil masa 4 minggu untuk sampai, kini tiba dalam 4 saat. Urusan bank yang dahulu perlu lenguh beratur, kini selesai di hujung jari dalam beberapa minit.
Secara logiknya, kita sepatutnya menjadi generasi yang paling banyak masa terluang dalam sejarah manusia. Tetapi realitinya, kita menjadi generasi yang terpaling sibuk, terpaling stress, dan terpaling tidak sempat. Ke mana perginya masa yang sepatutnya “jimat” itu?
Ilusi Kelajuan & Perangkap Teknologi
Kebanyakkan teknologi yang tercipta hari ini bertujuan untuk menyenangkan kerja dan menjimatkan masa manusia. Mesin basuh, kereta, komputer, telefon pintar dan lain-lain, dicipta atas dasar memudahkan kehidupan harian. Hakikatnya, teknologi hanya mengubah cara manusia membuang masa. Masa yang dijimatkan daripada perjalanan, tidak kita gunakan untuk keluarga atau Tuhan. Sebaliknya, kita laburkan semula masa itu kepada pembaziran. Kita ada masa untuk menonton Netflix berjam-jam tanpa henti.
Orang Melayu ada masa untuk bertelagah isu politik di Facebook dan TikTok, dengan orang yang kita tidak kenal langsung. Kita terus bertelagah kerana kuasa yang ingin dimiliki. Seolah-olah tidak ada masa untuk kita hidup harmoni walaupun sejenak. Percayalah orang-orang Melayu telah hidup dalam kerugian, dalam dosa, hipokrit, dan sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Hiduplah seperti mana dalam syurga yang penuh keharmonian, ketenangan, tiada dengki tiada hasad dan penuh kasih sayang.
Kita ada masa untuk melihat hidup orang lain dan berangan-angan di Instagram. Namun bila diajak untuk menziarah ibu bapa, kita menjawab "Aku tak ada masa." Bila diajak ke masjid pada malam Jumaat, kita berkata "Aku sibuk." Alasan Tiada Masa telah menjadi mantera harian manusia zaman ini, untuk menutup hakikat bahawa kita sebenarnya telah hilang prioriti.
Maka terlihatlah kesannya pada jiwa masyarakat khususnya umat Islam hari ini. Kelajuan dan kejar-mengejar harta kekayaan telah membunuh adab dan kesabaran. Ketika jalan raya sesak, kita memotong dan mencipta lorong ketiga dengan tanpa rasa bersalah. Kita rasa masa kita itu lebih berharga dari pengguna jalan raya yang lain. Kita lihat penunggang motor memulas minyak dengan sebelah tangan, sebelah lagi memegang telefon. Kita sanggup gadai nyawa demi menjimatkan beberapa saat untuk menjawab mesej.
Kita menjadi robot yang sentiasa berpusu-pusu ke destinasi yang entah di mana. Kita bergerak dengan laju, tetapi sebenarnya jiwa kita masih tertinggal di belakang. Kita mempunyai kelajuan, tetapi telah hilang Sakeenah.
Krisis Keberkatan
Dalam Islam, masa itu bukan sekadar detik jam. Masa merupakan bekas, dan dalamnya adalah konsep yang kita lupa, iaitu Barakah. Jika Allah SWT berkati masa itu, maka 24 jam sangat cukup untuk mentadbir separuh dunia seperti Sayyidina Umar Al-Khattab RA. Cukup untuk menulis ratusan kitab seperti Imam An-Nawawi RH yang umurnya tidak begitu panjang. Namun apabila Barakah itu dicabut oleh Allah SWT, setahun terasa seperti sebulan. Sebulan rasa seminggu. Seminggu rasa sehari.
Nabi SAW pernah bersabda tentang tanda akhir zaman, yang bermaksud: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” - [Riwayat al-Bukhari (1036)]
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan beberapa pandangan dalam memahami makna masa berlalu dengan pantas seperti pendeknya umur, pendeknya malam dan siang seperti yang disokong di dalam hadith lain yang menyatakan masa berlalu dengan pantas sehingga setahun dirasa seperti sebulan dan juga manusia berterusan berada di dalam kejahilan.
Hari ini, kita rasa kesannya. Umat Islam kini sibuk melakukan segala-galanya, tetapi di hujung hari, kita rasa kosong, seperti tidak melakukan apa-apa. Kita rasa tiada apa yang tercapai.
Maka apakah solusinya bagi umat Islam? Sebenarnya alasan seperti “Aku tak ada masa” selalunya adalah satu pembohongan, kepada diri sendiri dan orang lain. Ia hanyalah satu tabiat buruk yang kita sendiri telah lama amalkan. Namun tabiat yang buruk masih boleh diubah. Kembalikan Barakah itu dengan memanjangkan masa bersujud. Basahkan lidah kita dengan zikrullah, dan kurangkan membuang masa dengan telefon pintar. Jika kita tidak berusaha untuk meluangkan masa demi akhirat kita, maka kita tergolong dalam orang-orang yang paling rugi.
“Wal ‘Asr. Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” - Surah Al-’Asr.
Dalam surah Al-’Asr, Allah SWT telah bersumpah atas nama masa. Apabila Allah bersumpah dengan makhluk, ini menunjukkan tentang kepentingan makhluk tersebut dalam kehidupan manusia.
Masa adalah perkara yang selalu disesali oleh manusia. Malah dengan sebab masa, orang yang telah meninggal dunia memohon hidup semula untuk beramal, orang kafir memohon hidup semula untuk kembali beriman. Demikianlah betapa berharganya makhluk bernama masa, yang Allah SWT bersumpah dengannya.
Dunia kini merupakan medan uji buat manusia. Pertarungan di antara kebenaran dan kebatilan sentiasa terjadi. Di sinilah timbul keperluan menghidupkan sikap saling menasihati atas nama kesabaran dalam mengalahkan hawa nafsu.
Ibnu ‘Atha’illah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam menyebutkan, “Berapa banyak umur yang meluas jangkauannya meski sedikit bilangannya. Berapa banyak pula umur yang begitu sempit jangkauannya meski banyak bilangannya. Barangsiapa mendapat berkat dalam umurnya, dalam waktu yang singkat ia akan memperoleh banyak anugerah yang tidak cukup terungkap dengan kata-kata.”
