SYUKURI NIKMAT, BUKAN RIAK

SYUKURI NIKMAT, BUKAN RIAK

TERDAPAT SEBUAH anekdot menarik bagaimana dua pihak saling berbeza pandangan mengenai sebuah gelas yang berisi hanya separuh air. Bagi mereka yang berfikiran positif, perspektif yang dilihat ialah gelas itu separuh berisi dan berusaha untuk mengisi separuh lagi supaya gelas itu penuh.

Pihak yang satu lagi berfikir berasaskan ruang yang kosong, maka kekosongan dipersalahkan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Walau bagaimanapun, pihak kedua tidak mengambil peluang berfikir untuk memenuhi kekosongan tersebut. Malah, dia hanya berusaha untuk mengurangkan air yang mengisi separuh gelas itu sehingga kosong. Anekdot ini amat relevan apabila kita menilai kembali apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat, terutamanya apabila berhadapan dengan perebutan kuasa politik.

Semenjak manusia mencipta ruang politik sebagai kaedah mendapat kuasa secara sah dan mencuba kaedah demokrasi sebagai perantaranya, persekitaran semakin ‘bertaburan’ dengan riak. Pihak yang memandang gelas separuh kosong sentiasa mempersoalkan orang yang mengisi air hanya separuh gelas.

Dalam pandangan itu tersasul pula pelbagai teori. Pihak yang mengisi air separuh gelas dituduh tidak akan memenuhkan gelas tersebut kerana air akan digunakan untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni. Namun, lebih ketara mereka yang membuat tuduhan itu sebenarnya lebih banyak menggunakan air di dalam separuh gelas itu untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni.

Ragam berebut air yang separuh gelas itu oleh pihak yang memandang gelas separuh kosong adalah simbol kepada sikap melampau; melampau kerana memandang gelas itu separuh kosong diibaratkan tidak menghargai apa yang telah dilakukan oleh orang lain yang bertungkus-lumus mengisi air sehingga mampu sampai ke separuh gelas.

Orang tidak menghargai jasa dan keringat orang lain termasuk dalam golongan orang yang tidak tahu dan tidak mahu bersyukur. Mereka adalah golongan yang riak dan takbur.

Sikap riak dan takbur merupakan perilaku yang dibenci oleh Allah SWT. Salah satu prinsip asas Islam ialah mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya. Nikmat itu memang banyak. Menyedari kekurangan diri, manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi kekurangan tersebut.

Dalam percubaan mendapatkan keselesaan, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah ada. Ini akan mendorong kita berfikir secara positif sepertimana difikirkan oleh mereka yang telah mengisi air ke dalam gelas tersebut.

Apabila merasa bersyukur, seseorang akan memperoleh ganjaran psikologi dan ketenteraman hati. Mereka akan dapat menjalani kehidupan yang aman, sejahtera dan tidak diselubungi oleh rasa takut akan kehilangan sesuatu kerana dia yakin bahawa Allah SWT Yang Maha Pemurah sentiasa memberi pertolongan.

Mereka yang tidak bersyukur akan terus dihimpit suasana resah dan bimbang. Dia bimbang dengan air separuh penuh tidak akan dinikmatinya, maka dari situlah dia memulakan propaganda dengan pelbagai fitnah.

Air yang diisi dikatakan tidak bersih. Air yang separuh itu bukan datang dari sumber yang sah dan halal. Maka di situlah bermulanya polemik, sedangkan yang membuat tuduhan itu tidak pernah mampu menghasilkan sesuatu yang memberikan faedah atau manfaat kepada orang lain.

Sebagai seorang yang beriman dan menyedari tanggungjawab membantu sesama manusia, apa yang dapat dilakukan untuk memenuhi tanggungjawab itu merupakan sesuatu yang amat besar ertinya. Hasil yang diperoleh, walaupun sedikit, akan menjadi sesuatu yang membanggakan kerana mereka sedar dan insaf, masih ada jalan untuk melakukan kebaikan untuk manusia yang lain.

Ini tidak berlaku kepada mereka yang hanya tahu bercakap tetapi tidak banyak melaksanakan tindakan yang boleh menghasilkan impak berguna kepada orang lain. Mereka hanyalah sekadar lancar berkata-kata, bijak mengatur slogan dan membina retorik pemikiran yang jauh daripada realiti. Mereka sebenarnya telah mereka-reka sesuatu sehingga membawa kepada kefasikan, pembohongan dan kesombongan diri tanpa menyedari mereka semakin menjauhkan diri daripada mendapat keredaan Allah SWT.

Menyelusuri sejarah kesungguhan kerajaan membangunkan infrastruktur, menyusun sistem pendidikan, merangka rencana bagi menghasilkan lebih banyak sumber kekayaan melalui potensi sumber asli, mengeluarkan hasil bumi dan menggerakkan rangkaian jual-beli, jelas, adalah satu tanggungjawab yang besar.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

010740
Hari ini: 49
Minggu Ini: 2,142
Bulan Ini: 3,989
Tahun Ini: 10,740
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.