Menjelang Maghrib semalam, Ahad 8 Mac 2026 telah perginya seorang pemikir, ahli akademik dan ahli falsafah Islam Nusantara yang cukup disegani dalam kalangan cendekiawan Muslim dunia. Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.47 petang dalam usia 96 tahun. Jenazah dijangka disemadikan hari ini (9 Mac 2026) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas disembahyangkan di Masjid at-Taqwa. Taman Tun Dr Ismail.
Syed Muhammad Naqiub al-Attas adalah rakyat Malaysia kedua yang dianugerah gelaran Profesor Di Raja (Oktober 2024) selepas Almarhum Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz (1978). Gelaran itu merupakan gelaran tertinggi yang dikurniakan oleh Yang di Pertuan Agong sebagai penghormatan negara kepada tokoh akademik yang berprestasi tinggi dan ketajaman pemikirannya, yang menjadi rujukan intelektual di seluruh dunia.
Syed Muhammad Naquib dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 5 September 1931, bersekolah di Johor dan mendapat pendidikan tinggi di Singapura (Universiti Malaya), Kanada (McGill University) dan England (Universiti London). Beliau telah menghasilkan lebih 30 buah buku akademik yang kini masih menjadi rujukan masyarakat antarabangsa. Beliau juga turut melahirkan ratusan ahli akademik yang sudah dan sedang membina reputasi akademik masing-masing baik di Indonesia mahupun Malaysia.
Antara muridnya yang terkenal ialah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Allahyarham Profesor Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Allahyarham Dr Siddiq Fadhil (ayahanda Menteri Pendidikan sekarang, Fadhlina Sidek), Dr Adian Husaini, Dr Hamid Fahmy Zarkasi dan Dr Khalif Muammar A Harris (kini sedang giatkan usahakan terjemahan buku-buku Allahyarham ke bahasa Malaysia).
Pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas bukan sahaja dibincangkan dalam kuliah-kuliah akademik malah ikut menjadi bahan perenungan dalam kalangan mereka yang cuba memikirkan semua arah sistem pendidikan negara dalam kerangka pendidikan Islam di seluruh dunia. Semasa hayatnya, Syed Muhammad Naquib dianggap sebagai pelopor dalam meletakkan semula asas pendidikan Islam moden yang dimulainya dalam satu persidangan yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 1977. Iaitu konsep ta'adib yang berpaksikan adab dan tauhid.
Kertas kerja tersebut kemudiannya diterbitkan sebagai buku dengan judul, Aims and Objective of Islamic Education (1979). Buku ini cukup berpengaruh dan menjadi asas kepada pembentukan universiti-universiti atau sistem pendidikan tinggi Islam di seluruh dunia. Syed Muhammad Naquib merupakan pengasas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (18 Mei 1970), universiti pertama di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kesemua kuliah dan tutorial.
Buku ilmiahnya yang paling terkenal dan dianggap cukup monumental ialah Islam and Secularism (pertama kali diterbitkan pada tahun 1978), disifatkan oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Daud sebagai "sebuah karya agung kulli, sejagat dan universal, kerana seluruh isi kandungannya membincangkan dan menganalisa perkara-perkara paling asas dalam kebudayaan Barat dan agama Islam.
"Pendekatannya sekaligus ilmiah dengan hujjah yang kukuh dan dalil yang mengagumkan. Pendekatannya juga bersifat amaliah bila merencanakan perubahan kurikulum dan penubuhan institusi pengajian tinggi sebagai wahana paling strategis untuk mengembalikan kekuatan dan kemajuan umat Islam sedunia.
"Bahkan, bahagian lampiran yang meringkaskan tahap-tahap dan daya usaha pengislaman Alam Melayu mempunyai kaedah pengkajian dan penilikan yang dapat digunakan untuk memahami hakikat yang sama di daerah-daerah lain. Ciri-ciri yang terdapat pada karya ini secara langsung dapat difahami golongan Islam berpendidikan di seluruh dunia."
(Wan Mohd Nor Wan Daud, "Pengantar: Islam dan Sekularisme, Suatu Karya Agung Kulli" dalam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dan Sekularisme, terjemahan Khalif Muammar A Harris, K.Lumpur: RZS-CASIS HAKIM, cetakan kedua edisi bahasa Melayu, 2021, hal.xiv-xv).
Setelah tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syed Muhammad Naquib merupakan arkitek penting membina wawasan pemikiran dan corak keilmuan menerusi Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) yang terletak di Bukit Tunku. Ia dibangunkan dengan corak seni bina Islam yang diterjemahkan cukup berseni oleh Syed Muhammad Naquib dan juga menjadi peletak asas falsafah keilmuan Islam, yang pada konsepnya sangat dikenali sebagai gagasan Islamisasi Ilmu.
ISTAC dibangunkan pada 27 Februari 1987 sebagai sebuah institusi penyelidikan pascasiswazah (postgraduate studies) dan dirasmikan pada tahun 1991. ISTAC merupakan sebuah institusi yang autonomi di bawah UIAM, dengan bangunan bersifat seni bina Islam zaman Andalusia. Apabila berlakunya krisis politik pada tahun 1998, autonomi ISTAC ditarik balik pada 16 Ogos 2002, dan kembali sebagai salah satu kuliyyah di bawah UIAM. Tahun 2015, ISTAC ditutup dan programnya dipindahkan dan diganti dengan nama Ibnu Khaldun International Institute of Advanced Research (ISLAH).
ISLAH ditukar pula kepada International Institute of Islamic Civilisation and Malay World (ISTACH) pada tahun 2017. ISTACH kembali dinamakan ISTAC pada tahun 2019, tetapi kegemilangannya tidak lagi seindah dan segah ketika dipimpin oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Antara tahun 1998 hingga 2000, saya merupakan salah seorang yang cukup suka bersembahyang Jumaat di ISTAC dan meminati cara Khutbah Jumaat disampaikan oleh para ilmuan yang mengajar di situ.
Mereka tidak menggunakan teks yang disediakan oleh pihak berkuasa agama, ia disampaikan secara impromtu. Khutbah yang disampaikan oleh Dr Malik Badri seorang pakar psikologi Islam cukup diminati kerana almarhum cukup memahami manusia, dan walaupun disampaikan dalam bahasa Inggeris, ia cukup mudah difahami.
Sebagai seorang ilmuan, Syed Muhammad Naquib tidak putus semangat walaupun tidak lagi dikaitkan dengan ISTAC selepas krisis kepimpinan politik yang melanda negara, beliau terus menyumbangkan idea dan pemikirannya. Tahun 2012, Syed Muhammad Naquib dilantik sebagai Profesor Terulung di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia sehingga tahun 2016.
Buku Historical Fact and Fiction (2011) menjadi satu lagi rujukan penting mengenai pemaknaan sejarah dalam konteks Alam Melayu yang cuba diperbetulkan orientasinya oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas kerana sejarah Alam Melayu banyak menerima dan berasaskan pendekatan sejarawan atau konteks ilmu pensejarahan barat. Dr Khalif Muammar A Harris sekali lagi tampil dengan terjemahan yang cukup baik, memakai judul Sejarah Islam Di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan. Terjemahan ini diterbitkan oleh UTM Press, 2025.
Karya ini dimulai dengan penafsiran semula kisah Merah Silu dan pembukaan Melaka serta identiti mubaligh Muslim di Kepulauan Melayu, pada period awal penyebaran Islam di Alam Melayu antara Abad 12 hingga ke-16.
Dalam analisis Syed Muhammad Naquib, melalui pelbagai gabungan tentang asal muasal penyebaran Islam ke Kepulauan Melayu, "muncul teori-teori yang berkaitan, seperti teori muballigh, teori pengaruh tasawwuf, teori ekonomi, teori politik, teori Perang Salib, setiap satunya tidak mencukupi dalam memberi penjelasan yang sah dalam penyusunan peristiwa sejarah berkenaan Islam".
Hal ini berlaku menurut Syed Muhammad Naquib, kerana: "Penyelidikan mereka terhadap peristiwa-peristiwa sejarah dijalankan dengan menggunakan kaedah empirikal yang menitikberatkan fakta-fakta yang selari dengan apa yang nyata (actual), dengan apa yang ada (is) tanpa mempertimbangkan nilainya (value).
"Akan tetapi, bukan seperti fakta-fakta ekonomi dan sains sosial yang diperolehi melalui pengalaman langsung, fakta-fakta tentang sejarah ialah fakta-fakta lampau yang tidak lagi boleh dialami secara langsung.
"Memang benar bahawa terdapat tinggalan-tinggalan masa lalu yang ditemui masa kini, seperti surat-surat, daftar rasmi, rakaman peristiwa, tulisan-tulisan pada batu bersurat, manuskrip, duit syiling, bangunan, pelbagai peralatan dan seumpamanya, yang merupakan bahan-bahan penting yang para sejarawan mengambil data-data untuk menceritakan semula sejarah.
"Namun, penyusunan fakta masa lalu dan fakta masa kini tidak dapat dilakukan dengan tepat tanpa mempertimbangkan nilai, kerana sesuatu fakta itu bukan hanya apa yang ada (what is), tetapi termasuk juga apa yang terbit daripadanya melalui penjelasan..
Kerana itu, tambah Profesor Di Raja Syed Muhammad Naquib: "Islam telah datang dan tersebar di sini lama sebelum kedatangan orang-orang Eropah, dan peristiwa-peristiwa yang menyusuli kedatangan tersebut tidak dapat disesuaikan dengan kerangka kronologi mereka. Oleh kerana kekurangan dokumen, manuskrip, batu bersurat, dan tarikh serta permasalahan pentafsiran dan penjelasan yang membingungkan, para sejarawan mengambil kaedah pentaakulan induktif dalam membuat andaian dan kesimpulan...
"...mereka tafsirkan dan jelaskan tanpa syak dan tanpa berbolak-balik telah menjadi alasan untuk mereka mengabaikan dan menggantung sejarah Islam dalam penulisan dan penyelidikan. Sejarah bukan sahaja pembacaan tarikh yang dengannya sejarawan percaya bahawa mereka boleh mula menetapkan hutan peristiwa yang sah perihal pentafsiran dan penjelasan...
"Ilmu tentang tarikh yang tepat yang padanya adalah peristiwa penting mengambil tempatnya yang sepatutnya adalah sudah semestinya mustahak dalam menentukan bilakah ia berlaku, tetapi tidak semestinya bagaimana dan mengapa ia berlaku ketika itu.
"Dalam penjelasan tentang peristiwa sejarah, kekurangan bahan-bahan masa lalu dan ketiadaan tarikh tidak sepatutnya menghalang sejarawan daripada mengetengahkan perkiraan yang munasabah, bukan hanya tentang bila sesuatu peristiwa penting itu berlaku, tetapi bagaimana dan mengapa ia berlaku pada masa itu dan bukan masa lain. " (Syed Muhammad Naquib al-Attas, Sejarah Islam Di Akan Melayu: Antara Fakta dan Rekaan, terjemahan Khalif Muammar A Harris, K.Lumpur- Johor Bahru: UTM Press-RZS-CASiS, 2025, hal. xii-xiv)
Itu adalah sebahagian daripada pemikiran yang ditinggalkan oleh Allahyarham Prof Di Raja, Syed Muhammad Naquib al-Attas yang terus dikaji dan dijadikan asas penyelidikan para ilmuan yang berminat dengan pendekatan Islam. Allahyarham turut menjadi idola bagi sebahagian muridnya, terutama mereka yang pernah mendapat bimbingan langsung semasa di ISTAC, Universiti Malaya, UKM, mahupun ketika hari-harinya di RZS-CASIS, UTM.
Walaupun jasadnya sudah berpisah dan meninggalkan kita, ilmu-ilmu yang ditinggalkan akan terus menjadi "pembuka jalan sebuah penerokaan masa depan falsafah pendidikan Islam yang lebih besar dan bermakna" kerana Allahyarham telah meletakkan asas yang kukuh, ilmu yang berpaut dengan pandangan tauhid, amalan keadaban yang tinggi (pola pemikiran dan pendekatan tasawwuf), yang sepatutnya menjadi tunjang kehidupan setiap manusia yang sedar akan kedudukannya sebagai hamba Allah SWT, bukan hamba kepada nafsu dan pesona dunia yang fana serta penuh keserabutan.
Semoga ilmu-ilmu yang diajarinya menjadi sebuah manfaat buat manusia yang meletakkan adab di atas segala-galanya, dan Allah SWT mengampuni kesalahan-kesalahannya, kerana manusia sebenarnya tidak sunyi daripada kesilapan dan kekemahan diri.
Takziah untuk seluruh keluarga Allahyarham Profesor Di Raja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dan bertabahlah menghadapi kehilangan orang yang dikasihi. Allahyarham juga dikasihi dalam kalangan ahli akademik di seluruh dunia, dan sebagai orang awam, saya doakan semoga Allah SWT lindunginya daripada siksaan kubur dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal sholeh, diterima tanpa hisab di syurga-Nya.
Al-FATIHAH: Selamat berangkat ke Negeri Abadi wahai Guru Bangsa yang tidak pernah kenal letih dan penat bagi membina anak bangsa dan memugar minda agar tidak terserpih jauh ke alam Sekularisme, dan jika sebelah kaki sudah berada didalamnya, kembalilah ke jiwa Islam kerana kerangkanya sudah dibentuk, cuma tinggal bagaimana untuk mengisi dan memadukannya dengan semangat zaman.