MAULID NABI: TAK KENAL MAKA TAK CINTA

MAULID NABI: TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Bulan  Rabiulawal Tahun Gajah mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad s.a.w. Justeru, kita memperingati Maulud Nabi s.a.w untuk mengungkapkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta. Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.


Perayaan yang kita sambut adalah sebagai bukti cinta iaitu kenikmatan menyebut nama orang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi s.a.w wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Tetapi setelah didesak oleh orang ramai termasuk Sayidatina Fatimah r.a (semoga Allah meredhainya) akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya. 


Ketika azan dikumandangkan dan sampai kata ``wa asyhadu anna Muhammad...'' suara Bilal terhenti. Suaranya tersekat-sekat dan ia menangis sekuatnya. Nama ``Muhammad'' kekasih yang baru saja kembali ke Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal. Bagi Bilal ia berhenti azan kerana nama itu mengingatkan dia kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling dekat dengan aku hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat ke atasku." Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagongan dan keprihatinan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Beliau adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruhnya. 


Dalam pada kita merayakan Maulidur Rasul bagi tujuan membangkitkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w jangan pula kita gelak ketawa atau melakukan perkara-perkara mungkar yang akan merosakkan suasana perayaan tersebut. Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanan yang tidak ternilai. Sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi s.a.w serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada beliau dan keluarganya.


Keluhuran budi Nabi s.a.w bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ``Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia'' tetapi juga diakui oleh kawan dan lawan. Malah ketika diminta untuk mengutuk Nabi s.a.w menjawab ``aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat''.

 

Kenneth Crags seorang pendeta Kristian Anglikan kontemporari mengingatkan bahawa: Penilaian negatif terhadap diri Muhammad adalah salah satu kekeliruan yang harus dihindari. Malah keyakinan Kenneth Crags akan kebenaran agamanya tidak menghalang beliau untuk mengakui bahawa, sebagai seorang monotheis sejati yang memiliki misi kenabian, Muhammad yang menjalin hubungan dengan Tuhan melalui wahyu dan kitab suci telah berhasil menciptakan masyarakat beriman.


Sifat kasih sayang Nabi terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah-lembutnya serta perbuatan baiknya kepada makhluk Tuhan. Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain daripada-Nya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Utusan-Nya, nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataan-Nya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk. (surah Al-A 'Raaf ayat 158).


Sebahagian ulama tafsir menyimpulkan Nabi s.a.w telah meneladani sifat-sifat terpuji para Nabi sebelumnya.  Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda. 


Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW. 
Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad.

Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5) 


Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta. Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda. 


Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud. 


Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

024994
Hari ini: 412
Minggu Ini: 1,462
Bulan Ini: 924
Tahun Ini: 24,994
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.